Honda Malaysia akan lancar 2 model baharu tahun ini – versi facelift City Hatchback & Civic, atau ZR-V?

Honda Malaysia akan lancar 2 model baharu tahun ini – versi facelift City Hatchback & Civic, atau ZR-V?

Honda City Hatchback facelift pasaran Thailand

Dalam pengumuman sasaran jualan dan halatuju perniagaan bagi tahun 2024 yang dikeluarkan menerusi satu kenyataan pagi tadi, Honda Malaysia turut mengesahkan bahawa ia akan melancarkan dua model baharu tahun ini. Walau bagaimanapun, syarikat tersebut masih belum memperincikan model-model yang akan dilancarkan kelak.

Namun seperti biasa, kita boleh membuat beberapa andaian menerusi model-model Honda yang telah dilancarkan pada pasaran lain bagi membuat jangkaan apa model yang bakal dibawa ke Malaysia tahun ini.

Yang pertama dan sudah hampir pasti tentulah Honda City Hatchback facelift. Honda Malaysia sudahpun memperkenalkan versi facelift untuk City sedan tahun lalu, manakala City Hatchback dalam versi facelift pula baru sahaja muncul di Thailand bulan lalu.

Tingkat taraf bagi model hatchback facelift ini juga boleh dijangka menyamai apa yang ditawarkan pada model sedan facelift. Antaranya perubahan yang diberikan pada bahagian bampar hadapan, serta penawaran varian RS untuk versi petrol sepenuhnya selain versi RS hybrid e:HEV, bagi menggantikan varian V sebelum ini.

Honda Malaysia akan lancar 2 model baharu tahun ini – versi facelift City Hatchback & Civic, atau ZR-V?

2025 Honda Civic Hybrid

Teaser Honda Civic facelift pasaran Amerika Syarikat

Bagi model kedua yang berpotensi untuk dilancarkan di Malaysia adalah Honda Civic FE dalam versi facelift. Model ini masih belum membuat kemunculan di pasaran-pasaran rantau ASEAN yang lain, tetapi ia baru sahaja ditunjuk dalam teaser di Amerika Syarikat pada Januari lalu, dijangka akan dilancarkan di sana pada musim panas tahun ini.

Perubahan ketara untuk versi facelift Civic ini adalah pada gril hadapan dengan diberikan elemen sarang lebah bersama kerangka yang dibina berbeza dengan bahagian muncung lebih tajam dan bawahnya nampak lebih lebar. Elemen sarang lebah yang sama turut dibawa ke gril bampar di bawah yang direka dengan bentuk heksagon, berbanding gril dengan elemen bar melintang dan bentuk trapezium pada model sedia ada.

Rekaannya yang sama sebenarnya telah pun didedahkan menerusi Honda Civic RS Prototype di Jepun ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2024 pada awal tahun ini, namun Civic RS tersebut dihasilkan dalam badan hatchback.

Memandangkan model ini masih belum didedahkan sepenuhnya di Amerika Syarikat dan usia Civic FE sedia ada masih belum mencapai tiga tahun di Malaysia selepas dilancarkan pada Januari 2022, sebenarnya peluang untuk Honda Malaysia melancarkan Civic facelift ini dalam pasaran tempatan ini masih lagi 50-50.

Honda Malaysia akan lancar 2 model baharu tahun ini – versi facelift City Hatchback & Civic, atau ZR-V?

Honda ZR-V pasaran Jepun

Namun ada satu model lagi yang kami rasa berpotensi untuk dilancarkan pada pasaran tempatan tahun ini, iaitu SUV segmen-C Honda ZR-V.

Model ini membuat kemunculan sulung globalnya di Amerika Syarikat pada April 2022, tetapi dikenali sebagai HR-V pada pasaran berkenaan. Ia kemudiannya telah didedahkan di Jepun pada September 2022 sebelum mula dijual di negara tersebut bermula pada April tahun lalu, dan kemudiannya turut dilancarkan di Australia.

Honda ZR-V ini diasaskan dari platform yang sama dengan dengan Honda Civic FE, serta berkongsi pelbagai komponen lain seperti bahagian dalaman, suspensi dan juga pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.5 liter VTEC turbo dan hybrid e:HEV dengan enjin petrol 2.0 liter.

Honda Malaysia akan lancar 2 model baharu tahun ini – versi facelift City Hatchback & Civic, atau ZR-V?

Honda ZR-V pasaran Jepun

Sekiranya model ini dibawa ke Malaysia, ia sudah tentu akan diletakkan pada posisi tengah antara Honda HR-V dan juga Honda CR-V. Jadi ZR-V akan mengisi ruang kosong yang diwujudkan oleh CR-V yang kini bukan hanya semakin besar, malah harganya juga semakin mahal. Malah ZR-V juga boleh diletakkan sebagai pencabar terus kepada Toyota Corolla Cross yang kini diterima baik dalam pasaran tempatan.

Honda ZR-V ini tampil dengan dimensi panjang 4,568 mm dan lebar 1,840 mm dan jarak roda 2,655 mm. Jadi berbanding Corolla Cross, ZR-V adalah lebih besar dengan 108 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar bersama jarak roda yang 15 mm lebih jauh. Bukan sahaja saiznya lebih besar, malah ZR-V turut menerima sistem suspensi jenis sistem multilink yang sama dengan Civic di belakang berbanding Corolla Cross yang hanya menggunakan torsion beam.

Jadi apa pula pendapat anda? Selain dari tiga model ini, agaknya model mana lagi lebih berpotensi untuk dilancarkan oleh Honda Malaysia pada tahun ini? Kongsikan pendapat tersebut di ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Blergh on Mar 16, 2024 at 6:29 am

    Honda kena bawak masuk BRV balik. Market bawah 100k ni senang nak tackle, tengok WRV tu, mahal2 pun ramai kot pakai. Skng ni 7 seater bawah 100k tinggal berapa kerat je, 2 dari perodua, 1 dari toyota dgn Mitsubishi. Bawak masuk BRV, then pilihan dah ada lagi 1 utk pengguna. 2 seat belakang tu mmg bukan selalu guna, tapi time nak guna, seat tu mmg function gila. Pelik kenapa tak byk manufacturer bawak masuk 7 seater dah

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 2
 

Add a comment

required

required