Honda Civic RS Prototype didedah di Tokyo Auto Salon 2024 – transmisi manual, badan hatchback

Honda Civic RS Prototype didedah di Tokyo Auto Salon 2024 – transmisi manual, badan hatchback

Kita di pasaran ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Malaysia sudah pun menerima varian RS bagi Honda Civic generasi ke-11 sejak ia dilancarkan ke rantau ini bermula 2021. Varian berkenaan masih berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama seperti model biasa (1.5L VTEC Turbo/Hybrid e:HEV 2.0L), tetapi tampil dengan penggayaan lebih sporty.

Namun ketika berlangsungnya acara Tokyo Auto Salon 2024 minggu lalu, Honda telahpun mendedahkan model prototaip Civic RS bagi pasaran domestik Jepun yang digelar Honda Civic RS Prototype. Seperti biasa seperti pendedahan-pendedahan Honda sebelum ini, walaupun dinamakan ‘Prototype’, ia sudahpun nampak seperti model produksi sebenar dan dijangka bakal dijual dengan rupa hampir 100% sama.

Tidak seperti pasaran ASEAN yang hanya menerima model sedan, Civic di Jepun hanya ditawarkan dalam versi hatchback. Jadi bagi varian RS JDM ini, ia turut tampil hanya dalam bentuk badan hatchback lima-pintu.

Dari segi penampilan sebelah luar, Civic RS Prototype ini bukan sahaja tidak menampilkan kit penggayaan seperti RS di ASEAN, malah ia turut diberikan gril dan juga bampar hadapan yang berbeza dari Civic Hatchback biasa yang telah pun dijual di Jepun.

Honda Civic RS Prototype didedah di Tokyo Auto Salon 2024 – transmisi manual, badan hatchback

Gril hadapan berkenaan masih diberikan elemen sarang lebah, namun kerangkanya dibina berbeza dengan bahagian muncung lebih tajam dan bawahnya nampak lebih lebar. Elemen yang sama turut dibawa ke gril bampar yang direka dengan bentuk heksagon, berbanding gril dengan elemen bar melintang dan bentuk trapezium pada model biasa.

Bampar hadapan Civic RS JDM ini juga nampak lebih aerodinamik dengan menampilkan panel seperti spoiler pada sebelah bawah serta liang udara sisi menegak pada setiap sisi yang nampak dapat mengalirkan udara ke bahagian perumah roda hadapan.

Namun pada bahagian belakang, model RS ini masih berkongsi rupa yang sama dengan Civic Hatchback biasa yang menampilkan panel diffuser pada bawah bampar bersama perumah ekzos yang pada setiap sisi. Lencana RS berwarna merah pula dilekatkan pada gril hadapan dan pintu hatch belakang.

Prototaip Civic RS ini juga menerima rim 18-inci jejari-Y kemasan hitam matte yang nampak sama dengan rim aloi yang dipadankan pada Civic Hatchback JDM biasa, Civic Si pasaran Amerika Syarikat dan Civic RS pasaran Malaysia. Rim berkenaan dibalut dengan tayar ultra-prestasi Goodyear Eagle F1 bersaiz 235/40R18.

Tiada perincian dalaman didedahkan setakat ini di mana unit yang dipertontonkan di dewan Makuhari Messe minggu lalu juga diberikan filem penapis cermin hitam gelap. Manakala untuk unit rangkaian kuasa pula, Honda hanya memberitahu bahawa model RS ini datang dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

Buat masa sekarang Civic Hatchback pasaran Jepun ditawarkan dalam versi hibrid e:HEV 2.0 liter dan juga 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 182 PS/240 Nm. Model dengan enjin petrol turbo tersebut ditawarkan dalam versi kotak gear CVT automatik dan juga manual enam-kelajuan.

Honda Civic RS Prototype didedah di Tokyo Auto Salon 2024 – transmisi manual, badan hatchback

Bagi model RS JDM ini dijangka masih menerima enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang sama, tetapi mungkin menerima talaan lebih berkuasa yang sama seperti Civic Si dan juga Acura Integra pasaran Amerika Syarikat yang menghasilkan kuasa 203 ps dan tork maksima 260 Nm.

Honda juga menjanjikan model RS JDM ini akan “memberikan keseronokan memandu yang lebih baik”, mungkin membayangkan ia turut diberikan talaan casis serta suspensi yang lebih tersendiri.

Model produksi sebenar Honda Civic RS 2024 pasaran Jepun ini akan dilancarkan di sana pada musim luruh tahun ini. Harga dan perinciannya lanjut berkenaan model ini turut dijangka hanya akan diumumkan ketika pelancarannya nanti.

GALERI: Gambar rasmi Honda Civic RS Prototype 2024 pasaran Jepun

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required