PANDU UJI: Honda Civic RS 2022 di M’sia – RM144k

PANDU UJI: Honda Civic RS 2022 di M’sia – RM144k

Apa ada dengan Honda Civic 2022 atau turut dikenali sebagai Civic FE? Sejak generasi ke-11, Civic FE, muncul di pasaran pada Januari lalu, nama pendahulu sedan segmen-C ini kembali panas dan disebut-sebut oleh pemerhati dunia automotif. Ramai yang berpersepsi, sebut saja Civic, pasti ia sinonim dengan kombinasi prestasi yang padu dengan imej yang menggiurkan. Namun, adakah Civic FE ini memang menepati citarasa penggemarnya dan kehadirannya boleh membantu merancakkan lagi jualan Honda Malaysia?

Seminggu sebelum Aidilfitri lalu, Honda Malaysia memberi peluang pada media permotoran tempatan untuk memandu uji Civic 2022 ini. Biar pun sudah beberapa bulan ia dilancarkan iaitu Januari lalu, ditambah pula sesi pandu ují dilakukan pada bulan puasa, sekaligus mempengaruhi mood untuk mengujinya tidak seghairah mana. Lemau dan lesu melayan ‘penat berpuasa’. Tetapi Civic 2022 ini pantas menyingkirkan rasa lemau itu sebaik sahaja stereng dipegang.

Perjalanan dari Saujana Subang menuju ke Pulau Pinang, sempat singgah sejenak di Ipoh dan Taiping, melalui jalan luar bandar dan lebuh raya memberikan pengalaman pengendalian yang berbeza-beza.

PANDU UJI: Honda Civic RS 2022 di M’sia – RM144k

Pertama, berhubung prestasinya. Walau masih mengekalkan enjin yang sama iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder, namun lonjakan kuasanya telah ditambah sebanyak 10 PS dan tork 20 Nm, menjadikan output keseluruhan mencecah 182 PS pada takat 6,000 rpm dan 240 Nm bermula 1,700 rpm hingga 4,500 rpm. Memang terasa ada bezanya lonjakan kuasa Civic FE ini dengan Civic ‘ketam’.

Ia terasa sedikit perlahan ketika mula bergerak, tetapi tidak mengambil masa yang lama untuk memuntahkan kuasanya mengikut kelajuan yang dingini. Malahan untuk mendapatkan kelajuan yang tinggi juga mudah dan pantas terutamanya jika ingin memotong kenderaan lain.

Gabungan enjin ini dengan CVT automatik baharu juga boleh disifatkan cukup menyatu dan padu. Kuasa dari enjin disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT automatik ini. Walau pun ia masih kotak gear yang sama dari Civic FC, namun diberikan talaan baharu yang menjadikan ia lebih responsif dan seronok dipandu. Ia juga diberikan tujuh-kelajuan maya serta mod manual yang boleh dioperasikan dengan pedal penukar gear.

PANDU UJI: Honda Civic RS 2022 di M’sia – RM144k

Kedua, Civic FE ini juga mampu memberikan pengalaman pemanduan yang berbeza-beza mengikut kondisi jalan dan cara pengendalian tatkala itu. Walau bagaimana pun, ketika sedan ini merentasi lebuh raya, dengan kelajuan yang adakalanya sedikit tinggi dan sederhana, bunyi geseran tayar dan seretan angin dari luar masih jelas kedengaran, menerobosi bahagian kabin. Walau pun Honda berkata, tahap kebisingan Civic FE ini dikurangkan, tapi macam tidak banyak perubahan. Terutamanya jika ia dipandu melebihi 120 km/j.

Tapi kebarangkalian juga dipengaruhi oleh kualiti permukaan jalan yang berbeza-beza membuatkan tahap bising itu adakalanya agak mengganggu halwa pendengaran (terutamanya jika sedang bersembang dengan penumpang), tapi ada masanya ia lebih senyap dan tahap getaran juga dirasakan sedikit rendah. Walau pun mungkin pada sesetengah pemandu, isu kelemahan NVH ini bukanlah masalah utama yang perlu diambil kira. Asalkan ia ‘sedap’ dibawa, memberikan penjimatan bahan api dan selesa, sudah mencukupi.

Untungnya bila diberikan Civic RS untuk diuji, jadi penulis boleh memilih untuk menggunakan ‘mod manual’ dengan pedal penukar gear di belakang stereng, terutamanya ketika melenjan laluan berselekoh. Sifat pengendalian ala ‘sporty’ dari Civic FE ini memang cukup menyerlah, malahan kawalan pengendalian juga lebih baik dan menyeronokkan.

PANDU UJI: Honda Civic RS 2022 di M’sia – RM144k

Ketangkasan penjana kuasanya memang sukar untuk banyak komplen, kerana ia pantas sebati dengan pengendalian dan pemanduan. Ia seimbang di antara sifat sporty tanpa perlu menyingkirkan tahap keselesaannya. Ia adalah hasil ketegaran kerangkanya, malahan sistem suspensi juga memainkan peranan penting untuk menghasilkan pengendalian yang lebih jitu, dalam masa yang sama memberikan keselesaan, biar pun ada kalanya terlanggar lubang atau pun permukaan jalan yang kurang rata termasuk laluan beralun.

Begitu juga dengan stereng yang memberikan tindak balas yang lebih pantas dan mampu memberikan kerjasama yang cukup baik biar pun dalam keadaan terdesak ketika mengelak halangan di jalan raya (termasuk objek seperti serpihan tayar di lebuh raya).

Selain prestasinya, apa lagi tarikan yang ada pada Civic FE ini? Mestilah elemen yang dipersembahkan pada bahagian luaran antara tarikannya. Berbeza dengan Civic ketam yang kelihatan lebih sporty terutamanya pada bahagian belakang, Civic FE ini pula ditampilkan dengan imej yang lebih cool dan kekal maskulin.

Untuk pengetahuan, saiz Civic FE ini lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,678 mm (30 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,735 mm (33 mm lebih jauh), serta 3 mm lebih lebar dengan ukuran 1,415 mm dan tinggi 1,802 mm (1 mm lebih rendah). Manakala untuk ruang but, ia menampilkan ruang kargo berkapasiti 497 liter, lebih kecil sedikit jika hendak dibandingkan dengan Civic FC (519 liter).

Selain itu, Civic FE ini juga diberikan ruang kaki yang lebih besar terutamanya untuk penumpang belakang. Ia juga menampilkan tiang-A yang ‘ditolak’ 50 mm kebelakangan berbanding Civic FC yang bukan sahaja membuatkan tiang tersebut tidak lagi nampak seperti bersambung dengan hab roda hadapan, malah turut membuatkan bahagian bonet hadapan menampilkan bayang badan yang lebih menarik serta memberikan sudut pandang keluar pada cermin hadapan yang lebih baik.

Bagi varian Civic RS 2022, ia banyak diberikan ciri yang lebih unik bagi menampakkan imej yang lebih agresif, termasuk lampu hadapan LED reflektor automatik yang digelapkan pada sebelah dalam, tip ekzos berkembar yang diserlahkan pada bampar belakang, lencana RS pada gril dan penutup but belakang.

PANDU UJI: Honda Civic RS 2022 di M’sia – RM144k

Bukan itu sahaja, Civic RS 2022 juga menerima serlahan-serlahan hitam berkilat pada penutup cermin sisi, spoiler but belakang, pembuka pintu dan juga antena sirip yu. Apa yang menarik, Civic RS pasaran Malaysia ini turut dilengkapi rim aloi 18-inci jejari-Y dalam kemasan hitam kusam, mirp dengan rim Civic Si bagi pasaran Amerika Syarikat.

Menjengah bahagian kabinnya, mata pantas memfokus pada bahagian papan pemukanya. Biar pun rekaannya lebih minimalis dan tidak sarat, namun masih ada daya penariknya di situ. Jika hendak dibandingkan dengan Civic FC yang lebih futuristik bak kapal angkasa, Civic FE boleh disifatkan lebih sempoi dan sentuhan yang lebih kemas.

Selain mata yang bagai terikat pada satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah (dengan material logam, bukan plastik) merentangi papan pemuka tersebut, tangan juga secara automatik terus memegang bahagian itu yang sebenarnya menyembunyikan liang pendingin hawa, yang turut diberikan tombol kawalan joystick bersaiz kecil. Bagi saya, ia merupakan daya penarik utama bagi kabin Civic FE. Tetapi entah mengapa, pada pandangan mata saya, agak sedikit kurang menggemari rekaanya.

PANDU UJI: Honda Civic RS 2022 di M’sia – RM144k

Selain rekaan papan pemuka, posisi butang kawalan termasuk elemen digital pada pada panel paparan juga boleh dianggap sebagai sesuatu yang menarik. Walau bagaimana, mungkin ada yang menganggap jika menampilkan pun butang kawalan fizikal, ia lebih praktikal dan lebih selamat kerana mata tidak perlu memandang ke arahnya berbanding menggunakan kawalan secara digital. Namun, sudah pasti Honda mahu mengikut trend semasa, biarpun rekaan yang ditampilkan tidaklah bersifat futuristik.

Ciri lain yang ditonjolkan menerusi kabinnya ialah skrin infotainmen yang kini diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas, bukan lagi ‘ditanam’ pada papan pemuka. Untuk varian RS ini, ia turut diberikan skrin sesentuh sembilan-inci dengan fungsi Apple CarPlay tanpa wayar, lapan pembesar suara termasuk empat unit tweeter, tempat duduk pemandu larasan kuasa dan upholsteri kulit yang digandingkan dengan material sued dan jahitan benang merah.

Bukan itu sahaja, elemen sporty bukan setakat ditonjolkan di bahagian luaran, malah untuk kabinnya juga diberikan sentuhan yang cukup bergaya, termasuk menampilkan pelapik bumbung hitam, serlahan jahitan benang merah pada roda stereng dan tombol gear, set pedal aloi, jalur lampu suasana untuk kabin yang bersepadu dengan kemasan hitam berkilat serta lampu pada bahagian ruang kaki.

Kit standard yang diberikan termasuk sistem kemasukan tanpa kunci (dengan fungsi kunci walk away dan penghidup enjin jarak jauh), suis penghidup enjin, paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci (bersama meter kelajuan analog), sistem pendingin hawa automatik zon tunggal bersama corong di belakang.

Memandangkan RS merupakan model spefikasi penuh dalam barisan Civic 2022, ia menerima ciri tambahan lain termasuk servis telematik Honda Connect, cermin pandang belakang auto-malap dan juga cermin solek dengan sistem pencahayaan.

Berada di tempat duduk belakang, sebagai penumpang, keselesaan memang cukup dirasai (kecuali mengenai NVH – yang agak bising). Tempat duduk yang dibaluti kusyen yang selesa dan menyokong bahagian belakang serta ruang kaki juga boleh dikatakan agak luas bagi individu berketinggian sederhana. Malahan tempat duduk belakang masih selesa walau pun tiga individu dewasa duduk di situ.

Untuk keselamatan, barisan Civic 2022 ini hadir dengan enam beg-udara, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem torque vectoring yang diaktifkan oleh brek digelar sebagai Agile Handling Assist.

Ia juga hadir dengan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif bersama fungsi stop & go, bantuan pengekal tengah lorong, bantuan kekal lorong dan juga lampu tinggi automatik.

Kini sistem Honda Sensing pada Civic generasi baharu ini juga tampil dengan sistem Lead Car Departure Notification yang memberikan amaran kepada pemandu bahawa kereta hadapan sudah pun mula bergerak. Kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch turut diberikan pada varian RS ini.

Cukupkah kupasan di atas untuk ‘meracuni’ fikiran dan hati anda untuk memiliki Civic RS 2022 ini? Oh, adakah ia bersesuaian dengan bajet anda? Seperti yang pernah kami laporkan sewaktu pelancarannya enam bulan yang lalu, Civic baharu ini bermula pada harga RM125,635 untuk model asas 1.5 E, diikuti model pertengahan 1.5 V yang berharga RM138,043. Manakala model spesifikasi tertinggi Civic 1.5 RS dijual pada harga RM144,350. Senarai harga ini adalah tanpa cukai jualan yang bakal berakhir pada 30 Jun 2022.

Untuk pengetahuan anda, berbanding dengan Civic FC, harga bagi Civic generasi ke-11 ini lebih tinggi sekitar RM10k hingga RM16k. Jadi, adakah pemilikan Civic FE ini dilihat berbaloi dan ia juga boleh ‘laku keras’ seperti Civic FC?

Tetapi dalam tempoh hampir enam bulan selepas dilancarkan, tidak banyak Civic FE kelihatan di jalan raya. Bukan kerana ‘kurang laku’ tetapi ramai pembaca kami sendiri mengadu, Civic yang ditempah lambat dapat disebabkan masalah stok di pasaran. Apa pun, kami serahkan kepada Honda Malaysia untuk menyelesaikan masalah ini.

Cuma, secara konklusinya, walau pun harganya lebih tinggi berbanding model terdahulu, namun ciri yang diberikan lebih lengkap. Bahkan bahagian mekanikalnya juga diberikan talaan yang lebih mantap, sekaligus menyerlahkan lagi prestasinya. Kalau anda mahu rasa jadi ‘bangsa Honda’, dan bajetnya pula berada dalam kemampuan, boleh jugalah letakkan Civic FE (terutamanya varian RS ini) dalam senarai utama. Apa pun, pilihan di tangan anda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required