Honda Malaysia hari ini melancarkan satu lagi varian tambahan untuk Civic generasi ke-11 – ini dia Honda Civic RS e:HEV. Seperti namanya, model ini menerima penggayaan paling sporty seperti Civic RS Turbo, tetapi menerima unit rangkaian kuasa hibrid dua motor elektrik intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD).

Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM166,500, atau RM15,800 lebih mahal dari Civic RS Turbo yang dijual pada harga RM150,700, menjadikan ia model tertinggi dalam barisan model Civic di Malaysia buat masa sekarang. Ini juga bukan kali pertama Honda Malaysia membawakan varian hibrid untuk Civic pada pasaran tempatan, kerana pada pada 2007 syarikat tersebut telah melancarkan Civic Hybrid generasi pertama (dalam badan Civic generasi ke-lapan) di sini.

Dimensi untuk Civic RS e:HEV ini juga sama seperti model petrol dengan 4,678 mm panjang, 1,802 mm lebar, 1,415 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,734 mm, Namun ia mempunyai jarak kelegaan tanah sedikit lebih tinggi iaitu 128 mm (126 mm, untuk petrol), tetapi dengan titik graviti yang didakwa 10 mm lebih rendah.

Model RS e:HEV ini menggandingkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 143 PS (139 hp) dan tork maksima 189 Nm, bersama dua buah motor elektrik. Ia berfungsi sama dengan sistem 1.5L i-MMD pada City dan HR-V hibrid, di mana enjin petrol yang dibekalkan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri.

Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 315 Nm. Ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol, dan sebab itulah ia masih diberikan transmisi E-CVT.

Dengan komponen unit rangkaian kuasa yang lebih rumit, model hibrid ini juga 100 kg lebih berat dari versi turbo, walaupun sebenarnya Honda telah membuat pelbagai proses untuk mengurangkan beratnya. Antara perkara yang dibuat termasuk menggunakan aluminium dalam pendawaian kabel bervoltan tinggi, mengurangkan 37% berat berbanding wayar tembaga yang digunakan sebelum ini.

Civic ini diberikan bateri lithium-ion 72-sel 1.05 kWj yang diletakkan dalam intelligent Power Unit (IPU) dengan berat keseluruhan 37 kg, diletakkan sekali pada ruang enjin, menjadikan bahagian hadapannya 15 kg lebih berat dari model turbo. Walau bagaimanapun, menurut Ketua Projek Besar Civic e:HEV RS ini iaitu Tomoyuki Yamagami, agihan berat keseluruhan model ini telahpun dibuat seimbang 50:50 bagi memastikan pengendalian dan dinamik pemanduannya tidak terjejas.

Dari segi rupa, seperti yang dinyatakan tadi model RS hibrid ini menerima kit yang nampak sama seperti RS Turbo. Ia diberikan lencana ‘RS’ pada gril hadapan dan juga spoiler belakang yang diberikan kemasan hitam berkilat. Namun model RS hibrid ini tidak diberikan rim 18-inci (rekaan sama seperti Civic SI di AS) kemasan hitam seperti model RS Turbo, sebaliknya digantikan dengan rim 18-inci kemasan dua tona.

Model lebih mesra alam ini juga diberikan serlahan biru pada bahagian latar belakang ‘Logo H’ gril hadapan dan juga pada penutup but belakang, lebih kemasan krom diberikan pada gril hadapan, bezel dalam lampu hadapan dan juga pada bahagian atas tingkap sisi. Model hibrid ini juga hanya diberikan satu tip ekzos di belakang, berbanding dua tip untuk model RS Turbo.

Antara perincian yang diberikan pada model RS e:HEV ini termasuk ruang dalaman berwarna hitam, sistem pendingin hawa dua-zon bersama penghembus untuk kabin belakang, skrin infotainmen Display Audio sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar serta penghidup enjin jarak jauh.

Model ini turut menerima perincian khas yang tiada pada versi petrol termasuk Honda Smart Key Card (kunci seakan kad), paparan instrumen digital 10.25-inci dan pengecas tanpa wayar Qi. Ia juga di dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang meliputi sistem seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran keluar laluan, lampu tinggi automatik, cruise control adaptif dan amaran bergerak kenderaan hadapan.

Empat warna badan ditawarkan untuk Civic RS e:HEV ini iaitu Ignite Red, Meteoroid Gray, Platinum White Pearl dan Crystal Black Pearl. Ia menerima perlindungan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan bersama lima servis dengan kos buruh percuma dan tambahan waranti lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk bateri lithium-ion.


Pembentangan produk Honda Civic RS e:HEV 2022 pasaran Malaysia