Sementara kita masih terus menantikan ketibaan Honda Civic generasi ke-11 di Malaysia, negara jiran kita iaitu Indonesia telah menyertai Thailand dan Singapura dengan pelancaran sedan segmen-C ini. Seperti di Singapura, hanya satu sahaja varian Civic yang ditawarkan untuk Indonesia, RS dengan harganya mencecah 567 juta rupiah (RM165,570).

RS diberikan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder petrol dengan kuasa 178 PS pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm dari 1,700 hingga 4,500 rpm. Angka prestasinya lebih kurang sama dengan Civic pasaran Thai, dan ia turut digandingkan dengan CVT yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan. Pemandu juga boleh memilih tiga mod pemanduan iaitu Normal, Econ dan Sport.

Bagi kelengkapannya, RS pasaran Indonesia diberikan ciri standard termasuk roda aloi hitam pekat 17-inci, lampu utama LED-penuh dengan lampu nyalaan siang LED, kawalan suhu dwi-zon (dengan corong di belakang), kemasukan tanpa kunci dan penghidup enjin (dengan fungsi kawalan penghidup enjin), Honda Smart Key Card, tempat duduk hadapan larasan elektronik, pencahayaan ambien merah, upholstery kombinasi kulit-suede dan pedal penukar gear.

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan sistem infotainmen skrin sesentuh Display Audio sembilan-inci yang merupakan unit OEM Honda sendiri, dan ia boleh diakses dengan tatapan kenderaan termasuk sokongan Apple CarPlay. Skrin lain yang ada pada kabin termasuk kluster instrumen digital 10.2-inci dengan paparan kustom.

Untuk aspek keselamatan, RS.menerima enam beg udara, dan sistem keselamatan pasif. Turut diberikan sistem Honda Sensing yang merangkumi Collision Mitigation Brake System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation System (RDM), Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low-Speed Follow, Auto High Beam dan Lead Car Departure Notification System (LCDN). Walau bagaimana pun, tiada ciri pemantauan titik buta, sebaliknya diberikan LaneWatch.

RS diberikan empat pilihan warna – Ignite Red Metallic, Meteoroid Grey Metallic, Crystal Black Pearl dan Platinum White Pearl, serta aksesori Modulo ditawarkan secara pilihan. RS turut didatangkan dengan cermin sisi dan pembuka pintu hitam, dua corong ekzos serta boot lid spoiler hitam. Pakej penggayaan Modulo pula ditambah dengan kemasan gril hadapan, spoiler lip hadapan, skirting sisi, spoiler di bawah untuk bahagian belakang dan door visor, sementara untuk bahagian dalamnya diberikan alas but dan alas lantai getah.