Seiring dengan pengumuman yang dibuat tahun lalu, Volvo Cars kini secara rasmi telah menghentikan sepenuhnya pengeluaran kenderaannya yang dijana oleh bahan api diesel, bagi membolehkan ia lebih menumpukan penghasilan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV).
Unit terakhir model diesel Volvo yang dibuat di kilang Torslanda di Sweden merupakan sebuah SUV XC90 keluar dari barisan produksi pada 25 Mac lalu, manakala unit model diesel terakhir di kilang Ghent, Belgium pula keluar sehari selepas itu, iaitu sebuah model wagon V60.
Ini bermakna Volvo sudahpun menghasilkan kenderaan dengan enjin diesel selama 45 tahun, bermula dengan model sedan Volvo 244 1979. Bagi memperingati hari bersejarah tersebut, Volvo turut membawa salah satu unit 244 diesel itu ke kilang Torslanda bagi ‘dipertemukan’ dengan XC90 diesel terakhir berkenaan.
Menurut Volvo, lima tahun lalu model-model diesel merupakan model utama yang dijual dan begitu laris di pasaran Eropah, di mana majoriti kenderaan yang dijual di benua berkenaan pada tahun 2019 adalah model yang digerakkan dengan enjin diesel.
Volvo memperkenalkan versi diesel bagi 244 pada 1979 menerusi model GL D6, ketika itu pasaran Sweden dan Eropah masih belum berminat dengan enjin diesel dan ia hanya digemari oleh pemandu teksi dan mereka yang kerap mengembara dalam jarak jauh.
Volvo 244 GL D6 berkenaan dijana oleh enjin diesel yang dibekalkan oleh Volkswagen. Ia bukan hanya kereta pertama dari Volvo yang dilengkapi oleh enjin diesel, malah ia juga sebenarnya merupakan kereta penumpang pertama di dunia menggunakan enjin diesel enam-silinder, dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berminat dengan teknologi diesel dengan kuasa tork lebih besar.
Volvo kemudiannya menghasilkan enjin dieselnya sendiri, diperkenalkan buat pertama kali pada model V70 pada 2001. Enjin diesel lima-silinder tersebut dipasang di kilang unit rangkaian kuasa Volvo di Skövde, Sweden dan ia kemudiannya turut ditawarkan pada model-model lain.
Enjin berkenaan turut digunakan oleh kereta-kereta lumba dalam siri perlumbaan one make S60 Challenge, dan ia juga dihasilkan untuk kegunaan industri marin menerusi divisi Volvo Penta.
Kemudian pada 2008, Volvo menghasilkan barisan enjin diesel generasi baharu yang digelar sebagai Drive-E, di mana ia turut disertai oleh versi kompak dengan kapasiti hanya 1.6 liter yang begitu efisien, membolehkan perjalanan sejauh 1,300 km di buat dengan hanya satu tangki bahan api.
Enjin berkenaan kemudiannya digandingkan dengan teknologi plug-in hybrid pada 2012 menerusi Volvo V60 D6 PHEV, di mana model berkenaan merupakan model pertama seumpamanya di dunia menampilkan teknologi sedemikian. Ia bukan hanya cukup berkuasa bagi memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 6.2 saat, malah mampu bergerak sejauh 1,000 km dengan satu tangki bahan api dan jarak pemanduan elektrik penuh sejauh 50 km.
Kali terakhir Volvo memperkenalkan enjin diesel generasi baharunya adalah pada 2013 menerusi barisan Volvo Engine Architecture (VEA), di mana ia menggandingkan sistem suntikan bahan api dengan tekanan lebih tinggi dan juga teknologi i-ART.
Namun dengan perkembangan teknologi EV yang begitu cepat serta bagi mencapai cita-cita jenama itu bagi menjadi pengeluar EV sepenuhnya menjelang 2030, model-model utama Volvo yang dijual di Eropah kini dijana oleh elektrik sepenuhnya. Menurut Volvo, tahun lalu jualan model-model EVnya meningkat sebanyak 70%, membolehkan bahagian pasaran EV global jenama automotif Sweden itu meningkat kepada 34%.
Malah pada 2023, Volvo turut telah menjual bahagian pembangunan enjin pembakaran dalaman kepada Aurobay, iaitu syarikat usaha sama penghasilan enjin pembakaran dalaman milik bersama Geely Holding.
- Volvo Cars’ last diesel car rolls off the production line
- Volvo Cars’ last diesel car rolls off the production line
- Volvo Cars’ last diesel car rolls off the production line
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.