Hyundai Santa Cruz facelift 2025 – luar dalam terima peningkatan, enjin 2.5L NA/turbo, transmisi 8AT/DCT

Hyundai Santa Cruz facelift 2025 – luar dalam terima peningkatan, enjin 2.5L NA/turbo, transmisi 8AT/DCT

Diperkenalkan kali pertama pada April tahun 2021, Hyundai Santa Cruz kini diberikan facelift dan akan mula dijual di Amerika Syarikat tahun ini. Trak pikap ini menerima beberapa perubahan gaya luaran, bahagian dalam yang disegarkan semula serta tambahan varian baru XRT yang lebih ranggi.

Pada bahagian luar, pembaharuan yang dibuat bertujuan menjadikan Santa Cruz “nampak lebih berani dan gagah,” kata Hyundai dalam siaran akhbarnya. Di hadapan, paling jelas adalah gril yang menggunakan kemasan dalam lebih berpetak serta jumlah DRL LED melintang yang bertambah.

Varian XRT yang dinyatakan tadi mendapat beberapa ciri eksklusif, termasuk rekaan bampar yang sedikit berlainan, gril hitam berbanding krom, cangkuk hadapan, rim 18 inci dengan tayar A/T 245/60 serta sudut menjunam yang lebih baik.

Masuk ke dalam, papan pemuka Santa Cruz diubah sepenuhnya dengan kini menggunakan rekaan melengkung yang lebih kontemporari dan dua skrin 12.3 inci yang disediakan, iaitu untuk panel instrumen digital dan skrin sesentuh infotainmen bersambung sekali dalam satu perumah (sebelum ini cuma 10.25 inci).

Penggunaan skrin berkembar ini juga menyebabkan corong pendingin hawa terpaksa diubah kepada kedudukan lebih rendah sekarang terdapat panel baru untuk mengawal audio, navigasi serta pendingin hawa. Bahagian lain yang diubah adalah seperti roda stereng serta perehat tangan belakang.

Sistem infotainmen Santa Cruz turut mendapat peningkatan, dengan kini boleh disambung dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, kemas kini atas talian, telematik Bluelink+, pengimbas cap jari dan servis bayar dalam kereta Hyundai Pay.

Turut disediakan adalah soket pengecas USB-C serta Digital Key 2 Touch. Pada bahagian sistem bantuan pemandu, sistem sedia ada ditambah lagi dengan Forward Attention Warning, manakala versi XRT menerima kamera keliling kenderaan dan kamera titik buta.

Penggerak trak pikap ini masih lagi sama, iaitu enjin petrol Smartstream 2.5L, yang disediakan dalam dua versi iaitu NA berkuasa 191 hp dan 245 Nm, manakala turbo mampu menghasilkan 281 hp dan 422 Nm. Versi NA cuma didatangkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan dua roda, sementara versi turbo mendapat transmisi klac berkembar lapan kelajuan serta pacuan empat roda.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required