GALERI: GWM Ora 07 varian Long Range di Malaysia

GALERI: GWM Ora 07 varian Long Range di Malaysia

Dua minggu selepas GWM Ora 07 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, kami sudah berkesempatan mencubanya serta menyediakan galeri penuh kereta elektrik sedan terbaru ini untuk anda. Unit ini adalah varian Long Range, yang dijual pada harga RM170,500 tanpa insurans.

Satu lagi varian, iaitu Performance pula dijual pada harga RM190,500. Melihat kepada harganya, model GWM adalah lebih rendah berbanding saingannya seperti BYD Seal dan Tesla Model 3. Namun ada sebabnya; kerana Ora 07 mempunyai spesifikasi lebih rendah berbanding dua model pencabar tersebut.

Bagi varian Long Range, ia diberikan motor elektrik dengan pacuan roda-hadapan yang mampu memberikan kuasa 204 PS dan tork 340 Nm dengan jarak gerak sehingga 640 km (mengikut kitaran NEDC). Ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 170 km/j.

Sementara itu, varian Performance pula dilengkapi dua motor elektrik menjadikannya pacuan AWD, dengan janaan kuasa 408 PS dan tork 680 Nm dengan jarak perjalanan mencecah 550 km (NEDC). Varian tertinggi ini juga diberikan mod pemanduan 5 + 1 iaitu Normal, Well Being, Individual, Eco, Sport dan Sport+ (Turbo Mode).

Ora 07 boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat dan kelajuan maksimum mencapai 180 km/j. Bacaan daya rintangan kereta ini juga rendah, dengan 0.22 Cd. Dibangun menggunakan platform Lemon GWM, Ora 07 menggunakan bateri Ternary Lithium berkapasiti 83.5 kWh. Dengan menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan antara 30% hingga 80% boleh dicapai dalam 32 minit.

EV ini berukuran 4,871 mm panjang, 1,862 mm lebar dan 1,500 mm tinggi dengan jarak antara rodanya 2,870 mm. Bagi aspek rekaannya, Ora 07 diberikan sentuhan ala fastback yang diinspirasikan dari jentera sport. Ia dilengkapi dengan lampu utama LED bulat, lampu nyalaan siang LED, pintu tanpa bingkai, dan rim rim bersaiz 18-inci bagi Long Range dan 19-inci untuk Performance. Di belakangnya, ia digandingkan dengan lampu LED berbentuk bujur bersaiz besar, lampu kabus LED dan ciri yang menarik perhatian iaitu spoiler belakang electrik.

GALERI: GWM Ora 07 varian Long Range di Malaysia

Menjengah bahagian kabinnya, ia tampil cukup minimalis dan tidak banyak elemen yang diketengahkan. Ia diberikan dua paparan skrin iaitu meter kluster 10.25-inci dan skrin infotainmen 12.3-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

Selain itu, ia diberikan rekaan bumbung panoramik 1.7 meter persegi ala kubah, konsol tengah yang menempatkan butang kawalan boleh pusing, 11-pembesar suara Infinity, penapis habuk PM 2.5, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, tempat duduk balutan kulit sintetik dengan ciri urut bagi bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

Bagi ciri keselamatannya, ia diberikan sistem ADAS yang dibantu oleh 12 unit penderia ultrasonik, 2 unit millimeter wave radar dan kamera 360-darjah. Turut diberikan lebih 20 ciri keselamatan maju, antaranya ciri bantuan meletak kenderaan, kawalan kelajuan adaptif, amaran penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, pengesan papan tanda trafik, kawalan jarak parkir, kepekaan trafik lintasan belakang, amaran ketibaan lorong, amaran pelanggaran belakang, program kestabilan elektronik dan banyak lagi.

Ora 07 juga diberikan dua pilihan kemasan warna untuk ruang kabin iaitu hitam atau coklat (dengan kos tambahan RM2,500) untuk Long Range Ultra dan coklat yang khusus untuk varian Performance. Tiga pilihan warna badan ditawarkan iaitu Crystal Purple, Amethyst Grey dan Jade White.

Setiap pembelian mana-mana varian Ora O7 ini, ia diberikan waranti sehingga enam-tahun/150,000 km dan juga waranti bateri, motor elektrik dan unit kawalan motor elektrik hingga lapan-tahun/180,000 km.

GWM Malaysia juga menawarkan pertukaran bateri ‘one-to-one’ sekiranya tahap pengecasan bateri jatuh di bawah 70%. Untuk 500 pembeli pertama Ora O7 bakal menerima pengecas wallbox rumah secara percuma dengan tambahan waranti dua-tahun (lapan-tahun atau 180,000 km) mana yang tiba terlebih dahulu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required