BYD Seal dilancarkan di Malaysia – dua varian, hingga 530 PS/670 Nm, jarak gerak 580 km; dari RM180k

BYD Seal dilancarkan di Malaysia – dua varian, hingga 530 PS/670 Nm, jarak gerak 580 km; dari RM180k

BYD Cars Malaysia selaku pengedar model BYD di sini telah pun melancarkan sedan sport elektrik empat-pintu dengan gaya seperti coupe, BYD Seal, untuk pasaran tempatan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, dua varian ditawarkan iaitu Premium Range RWD dan Performance Range AWD. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM179,800 tanpa insurans untuk Premium Range RWD dan model spesifikasi penuh Performance Range AWD pula berharga RM199,800.

Berukuran 4,800 mm panjang, 1,875 mm lebar dan 1,460 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,920 mm, Seal dibangunkan dengan e-platform 3.0, sama seperti Atto 3 dan Dolphin. Namun tidak seperti dua model tersebut, Seal menggunakan platform binaan elektrikal 800V sama seperti EV yang lebih mewah misalnya Porsche Taycan dan Audi e-Tron GT.

Seal juga menjadi model pertama yang dilengkapi teknologi CTB (sel pada badan) inovatif, yang menyepadukan Blade Battery ke dalam struktur kenderaan, memastikan kestabilan dan keselamatan dalam pelbagai keadaan. Seal turut diposisikan sebagai pesaing kepada segmen yang sama dengan BMW i4 dan Tesla Model 3.

BYD Seal dilancarkan di Malaysia – dua varian, hingga 530 PS/670 Nm, jarak gerak 580 km; dari RM180k

Varian Premium menggunakan tetapan motor tunggal yang memacu roda belakang, dengan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 360 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat. Dengan menggunakan bateri lithium-iron phospate (LFP) Blade 82.5 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 650 km mengikut NEDC dan 570 km mengikut WLTP.

Varian teratas bagi sedan EV ini adalah Performance AWD, yang datang dengan tetapan dua motor dan pacuan semua-roda, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan tork 670 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 3.8 saat. Ia menggunakan bateri 82.5 kWh sama seperti varian Premium RWD, tetapi jarak geraknya berkurang sedikit menjadi 580 km (NEDC) atau 520 km (WLTP).

Seal boleh dicas menggunakan pengecas AC 7 kW (15.2 jam untuk penuh), tetapi DC meningkat sehingga 150 kW, membolehkan baterinya naik dari 10-80% dalam masa 37 minit.

Sedan sport ini turut diberikan sistem Kawalan Adaptasi Tork Pintar (ITAC) bagi memberikannya prestasi optimum dalam pelbagai keadaan pemanduan. Manakala agihan bebanan gandar depan dan belakang 50:50 bagi pemanduan yang seimbang dan responsif.

Sedan empat-pintu dengan gaya coupe ini menampilkan garisan bumbung yang condong dan dek belakang yang pendek. Direka oleh bekas pereka Audi yang kini Ketua Pereka Global BYD, Wolfgang Egger bersama pasukannya, Seal digambarkan sebagai sebuah jentera yang memiliki imej yang menawan yang berasaskan falsafah ‘Ocean Aesthetic’, walau pun gabungan lengkung yang bersifat agak generik dari sudut tertentu.

Imej luaran Seal ditampilkan dengan lampu utama double-u Floating LED dengan gaya seksi, lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang LED serta pemegang pintu boleh ditarik keluar dan bumbung suria panoramik. Ia juga diberikan roda aloi rekaan unik pelbagai-jejari 19-inci dengan dibaluti tayar profil 235/45R19.

Di dalamnya, imejnya kurang sarat dan kelihatan lebih ringkas, tidak seperti Atto 3. Sifat minimalis ini jelas kelihatan pada bahagian papan pemuka, yang menampilkan panel instrumen bersaiz 10.25-inci di hadapan pemandu yang menampilkan meter digital dan maklumat kenderaan. dan skrin sesentuh bersaiz 15.6-inci di bahagian tengah yang boleh dipusingkan dalam orientasi landskap/potret. Rak bahagian tengahnya ditampilkan dengan tombol Crystal Gearshift dengan rekaan futuristik.

Tempat duduk balutan kulit diberikan untuk kedua-dua varian, dengan tempat duduk pemandu menerima lapan-cara larasan kuasa dan bahagian penumpang hadapan dengan enam-cara larasan kuasa. Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan sistem bunyi premium HIFI Dynaudio 12-pembesar suara, pendingin hawa dwi-zon, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, kad kunci NFC, paparan utama W-HUD, dua pengecas telefon pintas tanpa wayar, ketersambungan Bluetooth, Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar dan sistem penapis PM2.5.

BYD Seal dilancarkan di Malaysia – dua varian, hingga 530 PS/670 Nm, jarak gerak 580 km; dari RM180k

Seal yang diberikan penarafan lima-bintang dari ANCAP turut diberikan ciri keselamatan pasif termasuk sembilan beg udara, sistem ADAS, dua penderia parkir hadapan, empat penderia parkir belakang dan sistem kamera resolusi tinggi 360. Selain itu, ia dilengkapi dengan sistem brek pintar, EBD, Hill Hold Control (HHC), Adaptive Cruise Control (ACC), Brek Kecemasan Sendiri (AEB), Amaran Ketibaan Lorong, Bantuan Kekal Lorong Kecemasan, Pengesan Isyarat Trafik, Bantuan Lampu Tinggi, dan Pengesan Titik Buta.

Beberapa warna ditawarkan untuk Seal iaitu Cosmos Black, Aurora White dan Atlantis Grey, namun varian Performance AWD menerima satu lagi warna tambahan iaitu Arctic Blue. Seal telah pun mula dibuka tempahan sejak 19 Januari lalu, dan pembeliannya didatangkan dengan waranti enam-tahun/150,000 km, waranti bateri lapan-tahun/160,000 km, dan waranti unit pemacu lapan-tahun/150,000 km.

Selain itu, dua pakej servis turut diperkenalkan iaitu pakej Standard dan Plus. Ia merangkumi khidmat penjajaran, pengimbangan dan penggiliran tayar yang diberikan untuk kedua-dua pakej berkenaan. Bagi 800 tempahan pertama akan menikmati pengecas wallbox percuma dan kredit cas Gantri atau ChargEV bernilai RM800 secara percuma.

BYD Seal Premium Range RWD

BYD Seal Performance Range AWD

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required