Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenaan mengurniakan sebuah MPV Toyota Vellfire untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kurniaan tersebut diserahkan sendiri oleh Seri Paduka Baginda hari ini di Pangkalan Udara Subang, dan ia diterima oleh Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, iaitu Panglima Tentera Udara di pangkalan udara tersebut.
Seri Paduka Baginda sebelum ini memang terkenal dengan sifat permurah untuk mengurniakan pelbagai kenderaan kepada pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan serta jururawat yang berjasa serta dedikasi dalam menjalankan tugas.
Antara kurniaan yang pernah dibuat sebelum ini termasuk 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa besar dikurniakan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010, Proton Suprima dikurniakan kepada semua Pegawai Daerah di Johor pada 2018, 10 Perodua Myvi dikurniakan kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada September 2020, dan juga Proton X70 dikurniakan kepada tiga doktor sebagai penghargaan di atas khidmat mereka dalam pasukan perubatan Istana Johor pada 2021.
Malah pada bulan lalu, baginda telah berkenaan mengurniakan lima buah SUV Segmen-D Proton X90 kepada lima pegawai kerajaan sebagai mengiktiraf sumbangan serta khidmat cemerlang mereka. Penyerahan tersebut telah dibuat pada 8 Mac lalu dan ia disampaikan oleh YBhg Dato’ Zailani Hashim, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.
Lima penerima Proton X90 tersebut adalah Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Polis Negara; Dato’ Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara dan Dato’ Munir Md Salleh, Pegawai Agama Istana Negara; Mejar Jeneral Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin, Mantan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dan Kolonel (B) Dato’ Nazim Mohd Alim.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.