Toyota Yaris G Limited kini di Malaysia – RM99,600, talaan prestasi dan pengendalian, hanya 600 unit

Toyota Yaris G Limited kini di Malaysia – RM99,600, talaan prestasi dan pengendalian, hanya 600 unit

Kita di Malaysia masih lagi belum menerima Yaris facelift dengan muka jerung hammerhead seperti yang sudah diterima di Thailand. Namun hari ini UMW Toyota Motor (UMWT) membuat kejutan dengan memperkenalkan Toyota Yaris G Limited ke pasaran tempatan, yang bukan sahaja hadir dengan perincian kosmetik tambahan, malah turut diberikan tingkat taraf prestasi sebenar pada casis dan unit rangkaian kuasa!

Model ini masih lagi dijana oleh enjin Dual VVT-i 2NR-FE 1.5 liter empat silinder. Namun enjin berkenaan kini dipertingkat dengan sistem kemasukan udara lebih sejuk (cold air intake atau CAI) yang menampilkan penapis udara jenis open pod yang menerima udara dari luar terus dari pengalir, dan juga air ram baharu yang disambung ke unit throttle body.

Sistem berkenaan didakwa dapat membekalkan udara dengan lebih banyak oksigen ke dalam enjin seterusnya memberikan pembakaran yang lebih efisien serta memberikan respon yang lebih baik. Selain itu, Yaris G Limited ini turut diberikan unit pengawal pendikit (throttle controller), yang menurut Toyota memberikan nisbah input pendikit kepada output yang turut menghasilkan respon enjin lebih baik.

Toyota mendakwa dengan pemadanan komponen tingkat taraf ini dapat mempertingkatkan kuasa kuda dan pecutan, namun ia tidak disertakan dengan angka kuasa dan prestasi sebenar. Bagi talaan asal, enjin pada perut Yaris berkenaan menghasilkan kuasa 107 PS dan tork maksima 140 Nm. Kotak gear CVT automatik yang diberikan mod manual dengan tujuh-kelajuan maya terus digunakan tanpa sebarang peningkatan.

Toyota Yaris G Limited kini di Malaysia – RM99,600, talaan prestasi dan pengendalian, hanya 600 unit

Manakala untuk pengendalian, Yaris G Limited ini diberikan unit penyerap hentak baharu dalam kemasan merah yang diberikan talaan lebih keras, serta pendakap-pendakap casis Gazoo Racing bagi memperkuatkan kerangka badan kereta berkenaan. Toyota menyatakan bahawa talaan ini dapat mengurangkan olengan badan dan meningkatkan ketepatan stereng, seterusnya membolehkan “pemandu menukar lorong dengan lebih yakin” dan “mengambil selekoh tanpa gusar”.

Pada bahagian luar, model istimewa ini boleh dikenali dengan kit aero baharu dalam kemasan serlahan merah pada splitter hadapan, skirt sisi serta diffuser belakang. Bagi warna badan Red Mica Metallic dan Platinum White Pearl ia ditawarkan dengan tema dua tona menerusi cermin sisi, bumbung dan spoiler belakang yang diwarnakan hitam. Emblem ‘Limited’ turut ditampal pada pintu hatch belakang.

Seperti namanya, Yaris edisi khas ini diasaskan dari varian G. Jadi ia menerima perincian standard lain seperti lampu hadapan LED bersama fungsi follow-me-home, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang halogen, cermin sisi auto-lipat, rim aloi 16-inci,cermin hadapan akustik, penderia parkir hadapan dan juga brek cakera belakang.

Dalam kabin, ia menerima meter Optitron, skrin pelbagai info 4.2-inci, roda stereng yang dibalut kulit, pedal penukar gear, port USB type C untuk penumpang belakang, tempat duduk fabrik, kamera perakam digital (dashcam) hadapan, tombol gear balutan kulit, pendingin hawa automatik, enam pembesar suara dan cermin pandang belakang elektrokromik.

Untuk keselamatan pula, model ini datang dengan Sistem Telematik Kenderaan (VTS), kunci automatik berdasarkan penderia kelajuan, tujuh-beg udara, penderia parkir belakang, VSC, Traction Control, sistem brek ABS dan EBD serta BA, dan bantuan mula mendaki.

Pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) juga turut diberikan, menampilkan sistem seperti sistem pra-pelanggaran (PCS) dengan brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan (LDA), pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang serta kamera pemantau panaromik 360-darjah.

Untuk semua ini Toyota Yaris G Limited dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM99,600, namun ia dihasilkan terhad hanya sebanyak 600 unit. Ia turut diberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan, namun aksesori tambahan yang dipadankan hanya diberikan waranti selama setahun atau 20,000 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required