Kali terakhir diberikan perubahan pada tahun 2022, Yamaha Y15ZR kini sekali lagi ditampilkan dengan warna baru, dalam tiga pilihan iaitu kelabu, biru dan cyan. Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) masih tidak berubah, iaitu RM8,998 tidak termasuk insurans.
Bagi warna biru dan cyan, motosikal ini masih lagi datang dengan rim yang berwarna hitam, tetapi bagi warna kelabu, rimnya dicat warna merah, sama seperti jalur yang digunakan pada pelekat di bahagian tepi dan hadapan.
Selain penampilan, bahagian lain motosikal ini tidak mengalami sebarang perubahan, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.5 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm.
Motosikal ini datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter. Di hadapan penunggang terdapat meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.
Perincian lain Y15ZR adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.