Beijing 2024: Jetour X70 Plus facelift, model off-road ringan T2 versi PHEV dan SUV L6 dipertonton

Beijing 2024: Jetour X70 Plus <em>facelift</em>, model <em>off-road</em> ringan T2 versi PHEV dan SUV L6 dipertonton

Ketika di pameran Auto China 2024, ruang pamer jenama Jetour — sebuah lagi jenama China yang akan masuk ke pasaran Malaysia — menampilkan beberapa model terkini syarikat itu. Merupakan sub-jenama kepada Chery, Jetour akan memperkenalkan model Dashing dan X70 Plus di Malaysia pada separuh kedua 2024.

Jetour X70 Plus

Di China, X70 Plus telah menerima facelift yang ketara dengan wajah depan yang berbeza: gril besar dengan garis lintang. Lampu depannya juga kini dalam bentuk jalur yang terletak di bawah garisan bonet. Di belakang pula tidak terlalu besar pembaharuannya, menampilkan lampu dengan grafik baru, sementara bamparnya kini dengan elemen di bahagian sudut — kemasan krom di ekzos juga nampak jelas.

Di dalam, X70 Plus yang dikemaskini ini mempunyai dua paparan yang lebih besar dengan papan pemuka yang corong pendinginnya luas. Skrin ketiga untuk sistem pendingin pula kekal sama, tetapi konsol tengah menerima tuil gear kaca yang menarik.

Untuk kuasa, ia menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empats-silinder sebaris yang menjana sebanyak 156 PS (154 hp atau 115 kW) dan 230 Nm untuk pasaran China. Ini digandingkan sama ada dengan transmisi manual enam-kelajuan atau DCT pacuan roda depan. Ada juga enjin 1.6 liter dengan janaan 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan 290 Nm yang digandingkan dengan DCT tujuh-kelajuan, juga dengan pacuan roda depan.

Beijing 2024: Jetour X70 Plus <em>facelift</em>, model <em>off-road</em> ringan T2 versi PHEV dan SUV L6 dipertonton

Jetour L6

Tambahan model terbaru jenama ini ialah L6, yang menjadi sebahagian daripada siri tenaga diperbaharui (NEV) Shanhai untuk pasaran di sana. Dipertontonkan sebagai model konsep X-2 di Auto Shanghai tahun lalu, L6 akan ditawarkan sebagai model plug-in hybrid dan elektrik penuh, menurut laporan media China.

Versi pertama dikatakan menggunakan sistem C-DM Chery dengan enjin 1.5 liter turbocas dan motor elektrik untuk memberikan jarak hibrid sejauh 1,400 km — versi EV pula belum ada maklumat lanjut. L6 bakal menjadi varian NEV terbaru bagi Dashing, dan mempunyai ukuran dimensi yang sama — 4,590 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi dengan jarak roda 2,720 mm.

Kabinnya juga mirip Dashing, dengan sebuah skrin sentuh besar mendominasi di tengah. Stereng juga nampak sama, sementara kluster instrumen digital kecil disepadukan di depan pemandu. Satu perbezaannya ialah di konsol tengah, yang bersambung dengan corong pendingin untuk L6, dan terpisah untuk Dashing.

Beijing 2024: Jetour X70 Plus <em>facelift</em>, model <em>off-road</em> ringan T2 versi PHEV dan SUV L6 dipertonton

Jetour T2

T2, atau turut dikenali sebagai Traveller bukanlah model baru dalam barisan kenderaan Jetour, namun unit yang dilihat ini ialah versi plug-in hybrid. Dilancarkan ketika pameran tersebut dengan harga antara 179,900 dan 209,900 yuan (sekitar RM118k dan RM138k), versi PHEV ini juga sebahagian daripada model siri Shanhai.

T2 dilengkapi enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menghasilkan 156 PS (154 hp atau 115 kW) dan 220 Nm dan digandingkan bersama Dedicated Hybrid Transmission (DHT) tiga-kelajuan dan motor elektrik, yang menjana 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan 390 Nm untuk memberikan output keseluruhan 381 PS (375 hp atau 280 kW) dan 610 Nm.

Dua kapasiti bateri lithium iron phosphate (LFP) ditawarkan sebagai pilihan: unit 26.7-kWh yang memberikan 100 km jarak elektrik sepenuhnya mengikut kitaran WLTC, serta laju maksimum 197 km/j; dan pilihan kedua, unit 43.24-kWh yang memberikan jarak elektrik 161 km (WLTC), dengan laju maksimum 210 km/j. Dalam mod hibrid, jarak maksimum yang boleh dicapai ialah 1,300 km.

Perincian pengecasan tidak dinyatakan, tetapi T2 menyokong pengecasan AC dan DC, serta ada fungsi V2L sehingga 6.6 kW, dengan satu lagi soket luaran di bahagian barangan tersedia dengan output 2.2 kW.

Jetour X70 Plus

Jetour L6

Jetour T2

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required