Geely Galaxy E5 didedah di China – EV baru guna platform GEA, petunjuk EV Proton pada tahun 2025?

Geely Galaxy E5 didedah di China – EV baru guna platform GEA, petunjuk EV Proton pada tahun 2025?

Geely secara rasminya telah mendedahkan gambar untuk E5, iaitu model elektrik penuh pertama bagi siri Galaxy keluaran jenama itu. Ia dijangka mula dijual di China suku kedua tahun ini, dengan harga jualan antara 150,000 ke 200,000 yuan (sekitar RM99k ke RM131k).

Menurut laporan, E5 dibina atas platform Geely Electric Architecture (GEA), yang boleh menerima pelbagai jenis penggerak dan menggunakan merupakan evolusi daripada platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang digunakan untuk model seperti Polestar 4, Volvo EM90 dan Zeekr 001.

Buat masa ini, perincian penggerak Galaxy E5 masih belum didedah tetapi Geely memberitahu, ia akan datang dengan sistem pemanduan pintar 11-dalam-1 serta sistem keselamatan bateri Shendun. Laporan yang dikeluarkan oleh CarNewsChina mengatakan, kementerian industri dan informasi teknologi (MIIT) China menunjukkan E5 akan ditawarkan dengan tetapan satu motor berkuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW), laju maksimum 175 km/j dan bateri lithium iron phosphate (LFP).

Berkenaan dimensi, E5 mencatat ukuran panjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm dan jarak roda 2,750 mm. Catatan ini menggambarkan sebuah SUV saiz sederhana, dengan jejak seperti Honda CR-V yang dijual di negara kita. Ini juga bermakna, ia lebih besar berbanding Tesla Model Y.

Untuk rekaan, E5 dilihat mendapat inspirasi daripada sedan Galaxy E8, dengan ciri rekaan sama, seperti lampu utama yang nipis serta jalur lampu di keliling kemasan di hujung bampar. Bahagian tepi mempunyai sedikit lekuk dan pembuka pintu menggunakan jenis yang rata dengan permukaan.

Di bahagian belakang terdapat jalur lampu panjang yang bersambung dari kiri ke kanan dan di bahagian tengah terdapat lencana tulisan Geely. Atas penutup but terdapat spoiler pendek. Masuk ke dalam pula, kita dapat melihat skrin sesentuh sistem infotainmen yang besar pada papan pemuka serta panel instrumen digital.

Di bahagian lain terdapat ciri seperti konsol tengah lebar dengan tombol kawalan di atasnya, head-up display, roda stereng berbentuk heksagon, pembesar suara atas papan pemuka serta pelbagai ruang simpanan barang.

Seperti yang dilaporkan Mac lalu, Proton memberitahu EV yang mereka akan keluarkan adalah sebuah model baru yang dibangunkan bersama Proton dan Geely, dan ia bukanlah sebuah model semasa yang sekadar ditukar lencananya. Dengan harga jualan yang menarik, mungkinkah SUV ini akan menjadi asas kepada EV yang akan dikeluarkan oleh Proton nanti?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required