Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mengesahkan, setakat Mac 2024, pertambahan sebanyak 268 stesen pengecas kereta elektrik (EV) telah beroperasi, menjadikan jumlah terkumpul Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) kini mencecah 2,288 unit.
Katanya, MITI juga masih lagi mengekalkan sasaran 10,000 stesen pengecas baharu tetapi sasaran Pengecas Pantas arus terus (DC) dinaikkan dari 1,000 stesen pengecas ke 1,500 stesen.
“Semasa Mesyuarat JK Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) yang dipengerusikan TPM, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, mesyuarat dimaklumkan bahawa pasaran EV di dalam negara terus mencatatkan perkembangan yang pesat bagi tiga bulan pertama pada tahun ini. Sehingga bulan Mac 2024, hampir 11,000 unit kenderaan BEV dan hibrid telah dijual,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya baru-baru ini.
Tambah beliau, NEVSC turut membincangkan konsep Paspot Bateri EV di mana semua bateri EV perlu mempunyai ID agar kita dapat memastikan semua bateri yang telah tamat hayatnya dapat dikesan dan dikitar semula selaras dengan konsep ekonomi kitaran. Kenderaan EV juga perlu menjadi sebahagian daripada ekonomi kitaran.
“Masih banyak lagi inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi menambahbaik ekosistem EV sedia ada. Insya-Allah, kita akan bersama-sama menggerakkan pembangunan industri dan ekosistem EV negara secara progresif,” katanya lagi.
Pada Mac lalu. MITI mengumumkan untuk kekalkan sasaran pemasangan 10,000 pengecas EV yang tersedia di seluruh negara menjelang tahun 2025 seperti yang digariskan pada 2021 di bawah Cetak Biru Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.