BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

Mexico menjadi negara pertama menerima trak pikap pertama daripada BYD, yang dipanggil sebagai Shark dan ia dilancarkan dalam dua varian iaitu GL berharga 899,980 peso (RM251,600) dan GS pada harga 969,800 peso (RM271,000).

Menggunakan asas daripada SUV Bao Leopard 5, trak plug-in hybrid ini digerakkan oleh sistem Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid yang melibatkan enjin empat silinder 1.5L turbo 192 hp (143 kW) bersama dua motor elektrik – yang di hadapan berkuasa 228 hp (170 kW) dan 310 Nm, manakala yang di belakang berkuasa 201 hp (150 kW) dan 340 Nm. Kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah lebih 430 hp.

Ini membolehkannya untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum 160 km/j, manakala penggunaan bahan api pula berada pada kadar 7.5 km bagi setiap 100 km. Bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 29.58 kWh yang digunakan mampu memberi jarak gerak elektrik 100 km, dan menyumbang kepada jarak perjalanan keseluruhan sejauh 840 km. Ia juga boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 40 kW, yang boleh menaikkan kuasa bateri dari 30 ke 80% dalam masa 20 minit.

BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

Sama seperti Leopard 5, Shark dibina atas kerangka ladder frame dengan bateri bersepadu, manakala bahagian suspensi terdiri daripada tetapan independent double wishbone di hadapan dan belakang. Ruang barangan di belakang mempunyai kapasiti 1,450 liter dan boleh membawa barang sehingga 2,665 kg. Kemampuan menarik pula adalah 2,500 kg.

BYD mendakwa, Shark adalah model paling besar dalam kelas satu tan dengan mencatat ukuran panjang 5,457 mm, lebar 1,971 mm dan tinggi 1,925 mm. Ini menjadikan ia 132 mm lebih panjang, 71 mm lebih lebar dan 110 mm lebih tinggi berbanding Hilux yang menjadi pesaing utamanya. Ia malah lebih besar berbanding Tacoma.

Melihat kepada rekaannya, Shark tampil seperti kebanyakan trak lain dengan bentuk berpetak dan tegap, dengan di hadapannya terdapat tulisan BYD besar di tengah dan lampu DRL berbentuk C yang kelihatan bersambung di tengah dengan kemasan pada bucu bonet. Rim menggunakan unit 18 inci.

BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

Di dalam, banyak bahagian diambil daripada Leopard 5, termasuk butang pilihan mod pemanduan yang berada di stereng, serta tombol gear dan pelbagai lagi suis di konsol tengah. Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 12.8 inci yang boleh dipusing seperti Dolphin, manakala di hadapan pemandu terletak skrin instrumen 10.25 inci. Turut diberi adalah fungsi kawalan suara, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kunci digital, kamera 360 darjah dan head-up display 12 inci.

Daripada aspek keselamatan, Shark datang dengan enam beg udara dan boleh dipilih dengan pelbagai sistem bantuan pemandu seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Rear Collision Warning, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik.

Trak ini sudah sah akan memasuki pasaran Australia serta Afrika Selatan, dan pernah dijumpai dengan stereng yang berada di sebelah kanan. Ini sekaligus meningkatkan kemungkinan ia juga akan memasuki pasaran Asia Tenggara seperti Thailand dan Malaysia, tetapi syarikat itu perlu bersaing dengan model diesel lebih lasak yang sudah sedia popular.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required