PANDU UJI: smart #1 Brabus – EV pantas dan tangkas!

PANDU UJI: smart #1 Brabus – EV pantas dan tangkas!

Untuk mereka yang masih belum tahu, smart automobile merupakan subsidiari di bawah Mercedes-Benz, di mana jenama tersebut dengan dua model popularnya iaitu smart fortwo dan forfour telah pun dijual di pasaran tempatan oleh DaimlerChrysler Malaysia (sekarang dikenali sebagai Mercedes-Benz Malaysia) pada pertengahan era 2000.

Penjualan kedua-dua model berkenaan kemudiannya dihentikan oleh Daimler, namun ia kemudiannya dihidupkan kembali pada 2019 apabila gergasi automotif China, Geely telah menandatangani perjanjian dengan Daimler bagi membangunkan semula jenama smart; kali ini ia bukan sahaja menghasilkan kereta kompak, tetapi hanya menampilkan unit rangkaian kuasa elektrik penuh. Model-model baharu dari smart akan dibangunkan oleh Geely, tetapi Mercedes-Benz masih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aspek rekaan.

Model konsep untuk kerjasama ini didedahkan di IAA Mobility Show di Munich, Jerman pada September 2021, digelar sebagai smart Concept #1, manakala versi produksi dengan rupa yang hampir sama membuat kemunculan sulungnya di Berlin pada April 2022.

Dengan insentif yang diberikan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan penggunaan EV di Malaysia, Geely dan Proton dilihat tidak mahu melepaskan peluang tersebut di mana smart #1 dilancarkan secara rasmi di sini pada November tahun lalu, di mana anak syarikat Proton iaitu Pro-Net bertanggungjawab untuk mengendalikan smart Malaysia.

PANDU UJI: smart #1 Brabus – EV pantas dan tangkas!

Tiga varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia bermula dengan dua model asas dengan hanya satu motor elektrik iaitu smart #1 Pro berharga RM189,000 bagi varian Pro dan smart #1 Premium berharga RM219,000. Manakala unit yang penulis uji pada kali ini adalah dari versi prestasi tinggi diberikan lencana penala Mercedes-Benz iaitu Brabus, dijual pada harga atas jalan tanpa insuruan RM249,000.

Seperti yang disebutkan tadi, model produksi #1 ini hampir menyerupai versi Concept #1 dengan menampilkan bentuk badan keseluruhan yang direka seperti gula-gula jelly bean. Perincian lain yang dibawa dari model konsep termasuk rekaan lampu hadapan dan belakang LED yang merentangi keseluruhan lebarnya, liang udara bawah hadapan berbentuk trapezoid, kemasan skid plate di bawah bampar hadapan dan belakang, pembuka pintu yang tenggelam, bumbung panaromik, tiang-C yang tebal dan kesemua pintu dengan cermin tingkap tanpa bingkai.

Apa yang berbeza, terdapat liang udara tambahan pada sisi bampar hadapan, dan pintu direka normal tanpa konfigurasi suicide door pada model Concept #1. smart #1 ini juga menerima penutup gril aktif yang membolehkan SUV ini mencapai pekali seretan serendah 0.29.

Sebagai sebuah model yang dikelaskan sebagai sebuah SUV, semua varian dibekalkan dengan sepadang rel bumbung dan rim 19-inci dan jarak kelegaan tanah 182 mm. dan juga sepasang rel bumbung. Varian Brabus ini berkongsi dimensi tayar 235/45R19 dan saiz rim 19-inci yang sama dengan varian lain, tetapi ia diberikan rekaan rim Dynamo yang nampak lebih sporty dan juga tayar UHP Dunlop SP Sportmaxx.

Rekaan smart #1 ini turut disuntik dengan beberapa elemen rekaan dari Mercedes-Benz, dan antara yang boleh dilihat jelas adalah bentuk kluster lampu belakang yang direka seperti model Mercedes-Benz EQA atau EQB, manakala grafik dalamnya seperti grafik stardust lampu belakang S-Class W222.

Varian Brabus ini nampak lebih garang berbanding Pro dan Premium kan? Ini kerana ia diberikan liang udara palsu pada bahagian atas bampar hadapan (di atas jalur lampu), tambahan spoiler dagu di bawah bampar hadapan, spoiler bumbung lebih besar, rekaan diffuser belakang berbeza serta serlahan kemasan merah pada jalur-jalur bawah bampar dan kemasan sisi bawah pintu, liang udara pada gril bawah bampar hadapan, penutup cermin sisi dan juga angkup brek.

Bagi memberi amaran bahawa ini bukan EV biasa-biasa, emblem-emblem dengan tulisan ‘Brabus’ ditampal pada spoiler hadapan, kemasan sisi pintu dan juga pada diffuser belakang.

smart #1 ini juga sebenarnya meriah dengan lampu. Ia diberikan lampu isyarat membelok sequential, lampu pembuka pintu, lampu pada gril hadapan, lampu tambahan pada cermin sisi, logo smart bernyala pada tiang-C dan pelbagai lagi. Malah lampu-lampu ini juga memberikan nyalaan ‘selamat datang’ ketika kunci dibuka, dan boleh membuat persembahan khas mengikut rentak lagu yang dimainkan menerusi sistem audio di dalam kereta.

PANDU UJI: smart #1 Brabus – EV pantas dan tangkas!

Perincian luaran lain yang turut diberi termasuk bumbung panaromik, cermin sisi dengan pemanas, auto-malap dan auto-dipping ketika mengundur, pintu tailgate bantuan kuasa dan pelbagai lagi. smart #1 Brabus boleh dipilih dengan tujuh kombinasi warna badan berbeza. Sekiranya pembeli memilih warna bumbung Radiant Red, ia boleh digandingkan dengan warna badan Atom Grey–Matte, Meta Black dan Cyber Silver.

Manakala pembeli yang mahukan pilihan warna bumbung hitam, ia boleh digandingkan dengan warna badan Digital White, Laser Red dan Cyber Silver. Satu-satunya pilihan monotone untuk varian Brabus ini hanya ditawarkan untuk Atom Grey-Matte (yang nampak seperti warna-warna kelabu magno Mercedes-AMG), namun ia masih boleh dipilih dengan bumbung berwarna Radiant Red.

Apabila anda masuk ke kabin, beberapa pengaruh rekaan-rekaan dari Mercedes-Benz juga boleh ditemui seperti rekaan papan pemuka yang bersambung dengan konsol tengah pada kedudukan agak tinggi, suis pemilih ‘PNDR’ menggunakan tuil pada konsol stereng, jalur lampu suasana kabin dengan LED 64-warna dan pelbagai lagi.

Kabin versi Brabus ini nampak masih seiras dengan varian-varian lain, tetapi menerima beberapa perincian istimewa. Ia dilengkapi dengan skrin utama 12.8-inci dengan sistem navigasi bina-dalam, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto dan digandingkan dengan sistem bunyi premium dari Beats menampilkan 13-pembesar suara.

Sistem bunyi ini bukan hanya memberikan bunyi muzik dan persembahan lampu yang baik, malah ia juga menjadi saluran untuk mengeluarkan bunyi enjin palsu, yang didakwa diinspirasikan dari bunyi enjin V6. Dengan lantai rata menerusi platform SEA ini, satu ruang storan yang agak besar dapat diberikan di bahagian bawah konsol tengah.

Pemandu akan menerima perincian khas seperti paparan instrumen digital HD penuh yang direka nipis bersaiz 9.2-inci, paparan head-up berwarna penuh 10-inci yang dipancar ke cermin hadapan, roda stereng dengan upholsteri gandingan kulit dan Alcantara serta logo Brabus bernyala di bawah, tempat duduk larasan kuasa 10-hala dengan fungsi memori dan juga set pedal aloi.

Untuk tempat duduk, sekali lagi semua varian menampilkan rekaan tempat duduk yang sama dengan fungsi larasan kuasa dan berliang pada bahagian hadapan, tetapi untuk varian Brabus ini ia menerima upholsteri Ultra Sued, serlahan jahitan benang merah dan juga sulaman logo Brabus pada perehat kepala hadapan.

Perincian lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa dua zon, penapis udara kabin N95, corong udara belakang, fungsi pendingin dan pemanas pada ruang storan konsol tengah, kemasan bendul pintu berlampu, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan lain-lain.

smart #1 ini diberikan kunci kawalan jauh yang unik berbentuk seperti piring, atau err…nampak macam suis pemanggil pelayan di restoran Sushi King pun ada. Ia juga menampilkan aplikasi telefon pintar Hello smart yang bukan sahaja untuk fungsi kunci, malah turut memberikan pemantauan dan membuat pra-tetapan dari jauh, serta pengesan lokasi kereta dan juga fungsi pemberitahu sekiranya kereta sedang dicuri.

Aplikasi Hello smart ini juga berintegrasi dengan skrin infotainmen kereta ini, dan bagi penulis ini merupakan kelebihan pada EV jenama smart berbanding EV jenama lain. Jika anda menggunakan sistem navigasi bina dalam kereta ini, ia akan memberitahu sekali sama ada perjalanan yang akan anda buat berkenaan boleh sampai atau tidak dengan baki cas elektrik yang ada pada bateri.

Aplikasi ini juga boleh menunjukkan arah stesen pengecas yang berdekatan, lengkap dengan informasi jenis pengecas tersebut lengkap bersama kadar tarif. Malah pembayaran juga boleh dibuat menerusi aplikasi tersebut menerusi telefon pintar.

Boleh percaya ke anggaran jarak yang ditunjukkan menerusi aplikasi ini? Ada dua jenis anggaran jarak yang diberi untuk dipilih oleh pemandu iaitu Standard dan Dynamic. Jika anda memilih mod Dynamic, anggaran jarak yang diberikan bagi penulis agak tepat dan ia sentiasa berubah mengikut gaya pemanduan pemandu itu sendiri.

PANDU UJI: smart #1 Brabus – EV pantas dan tangkas!

Atas kertas, satu cas penuh bateri lithium nikel mangan kobalt oksida (NMC) berkapasiti 66kWj yang dibekalkan pada smart #1 Brabus ini didakwa memberikan jarak gerak sejauh 400 km dalam kitaran WLTP. Namun dengan kaki penulis yang agak berat, satu cas penuh kereta ini jarak gerak yang dicatatkan adalah sekitar 300 km. Itu kalau dipandu secara ‘biasa-biasa’, kalau ia dikerah lebih laju jarak tersebut akan lebih berkurangan.

smart #1 ini diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA) rekaan Geely, iaitu platform yang sama digunakan oleh jenama-jenama di bawah Geely yang lain. Jadi walaupun banyak perinciannya direka dengan rupa diinspirasikan dari Mercedes-Benz, rasa pemanduannya pula rasa tidak ada kaitan dengan jenama premium dari Jerman berkenaan.

Dengan platform tersebut, bateri NMC yang dibekalkan menjadi ‘alas’ sepenuhnya dengan diletakkan di bawah lantai kabin. Kesemua varian smart #1 ini menerima motor elektrik berkuasa 272 PS (200 kW) dan tork maksima 343 Nm yang diletak pada gandar belakang bagi memacu kedua-dua tayar belakang.

Apa yang menjadikan versi Brabus ini lebih berkuasa dari dari Premium dan Pro adalah tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan, yang bukan sahaja menjadikan kuasanya bertambah dengan angka keseluruhan 428 PS (315 kW) dan tork maksima 543 Nm, malah pengendalian dan juga cengkamannya juga jauh lebih baik dengan kemampuan pacuan semua roda.

PANDU UJI: smart #1 Brabus – EV pantas dan tangkas!

Ini membolehkan smart #1 Brabus ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat, atau lebih pantas dari Volvo C40 Recharge yang lebih mahal yang mencatatkan masa 4.7 saat dalam pecutan sama.

smart #1 ini menampilkan dimensi panjang 4,270 mm, lebar 1,822 mm, tinggi 1,636 mm dan jarak roda sejauh 2,750 mm untuk ketiga-tiga varian. Dengan tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan menjadi varian Brabus ini model yang paling berat, ditimbang pada 1,900 kg berbanding 1,780 kg untuk Pro dan 1,800 kg untuk Premium.

Jadi ini satu lagi perincian unik yang ditampilkan oleh smart #1 Brabus. Ini kerana kebanyakkan EV dengan jumlah kuasa besar sebegini biasanya menampilkan badan yang agak besar bagi menempatkan bateri yang besar, tetapi smart #1 Brabus dihasilkan dengan saiz lebih kurang Honda City Hatchback.

Gabungan kuasa dan tork yang cukup besar, pacuan semua roda, rim 19-inci dengan tayar UHP, serta saiz badan yang kompak, menjadikan pengendaliannya cukup baik. Ya, kebanyakkan EV menampilkan pengendalian yang baik kerana pusat gravitinya yang rendah kerana bateri yang berat berada di tengah, namun jarang-jarang ada EV yang tangkas seperti smart #1 Brabus ini kerana saiz badannya yang tidak besar.

PANDU UJI: smart #1 Brabus – EV pantas dan tangkas!

Agihan tork antara roda hadapan dan belakang juga dibuat dengan cukup baik – walaupun sentakan tork akan membuatkan penulis melekat di tempat duduk setiap kali memecut, ia masih lagi ‘jinak’ dan anda tidak perlu takut untuk menekan pedal pendikit di selekoh.

Penulis difahamkan bahawa smart #1 Brabus ini masih berkongsi kerangka dan kelengkapan mekanikal lain termasuk sistem brek yang sama sepenuhnya dengan varian Pro dan Premium, dan cuma dibezakan hanya pada tambahan satu motor pada gandar hadapan serta talaan penyerap hentak dan spring yang sedikit berbeza. Jadi asas smart #1 ini sememangnya sudah cukup bagus bagi memberikan pemanduan yang seronok sebenarnya.

Dari segi praktikaliti pula smart #1 ini menawarkan but belakang dengan kapasiti 411 liter. Ya, ia tidaklah besar, tapi but tersebut menampilkan lantai yang rata serta mempunyai ruang storan tersembunyi di bawahnya untuk menyimpan kabel pengecas dan juga barang-barang lain.

Kalau ada barang lebih besar untuk dibawa, tempat duduk belakang boleh dilipat (nisbah 60:40) sepenuhnya bagi memberikan maksimum 986 liter. Dan walaupun pada bahagian but hadapan sudah dipenuhi dengan gandar dan motor elektrik, #1 Brabus ini masih menampilkan ruang storan “frunk” berkapasiti 15 liter sama seperti versi pacuan roda belakang Pro dan Premium.

Untuk keselamatan, smart #1 diberikan kelengkapan seperti tujuh beg udara, sistem pemantau tekanan angin tayar, cagak tempat duduk Isofix pada tempat duduk belakang, bantuan mula mendaki dan bantuan turun bukit, kawalan brek selekoh (CBC) dan pelbagai lagi.

Ia turut dibantu sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan hampir 30-fungsi disenaraikan dalam kertas spesifikasi dan dikelaskan mempunyai kebolehan pemanduan autonomous Tahap 2. Antara fungsi tersebut termasuk cruise control adaptif dengan bantuan tukar lorong, bantuan kesesakan trafik (TJA), parkir autonomous sepenuhnya dan pelbagai lagi.

smart #1 Brabus ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM249,000, dilihat sangat kompetitif berbanding pesaing terusnya yang lain. Sebagai contoh Volvo C40 Recharge dengan kuasa 408 PS/670 Nm dijual pada harga RM288,000, namun versi coupe untuk XC40 ini menampilkan jarak gerak yang lebih jauh iaitu 550 km. Manakala pencabarnya keluaran Mercedes-Benz sendiri iaitu EQA 250 AMG Line dengan motor elektrik tunggal berkuasa 190 PS/375 Nm dan jarak gerak 429 km dijual pada harga RM296,888.

Namun bagi penulis sendiri, sekiranya anda mahukan EV untuk dipandu setiap hari ke tempat kerja, hantar anak ke sekolah, dan sebagainya, varian Pro atau Premium sudah memadai. Sementara smart #1 Brabus ini pula adalah lebih sesuai untuk dijadikan ‘permainan’ sekiranya anda mempunyai bajet yang lebih besar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required