Smart Concept #1 diperkenal – SUV elektrik era baru di bawah pemilikan bersama Geely dan Daimler Group

Smart Concept #1 diperkenal – SUV elektrik era baru di bawah pemilikan bersama Geely dan Daimler Group

Kami percaya, ramai yang ingat dengan Smart sebagai pengeluar kereta kecil untuk kegunaan bandar. Sekarang, anda boleh padamkan memori tersebut kerana jenama ini sudah ada pemilik baru. Pada tahun 2019, Geely menjadi rakan kongsi Daimler (sekarang dipanggil Mercedes-Benz AG) untuk jenama Smart, dengan pegangan 50:50 dan model Concept #1 ini adalah hasil pertama untuk era elektrik baru jenama ini.

Ia diperkenalkan sewaktu IAA Mobility Show di Munich, Jerman, dan dinyatakan sebagai satu “pandangan jelas model produksi pertama bagi kenderaan elektrik penuh generasi baru Smart.” Melalui Concept #1 ini, ia menggunakan bentuk sebuah SUV.

Menurut Smart lagi, Concept #1 membawa “dimensi luar sangat kompak” dan “rekaan tradisional Smart” kepada “sebuah kenderaan konsep dengan ciri berteknologi tinggi dan premium.” Ia mempunyai ukuran 4,290 mm panjang, 1,910 mm lebar dan jarak roda 2,750 mm. Sebagai perbandingan, ia lebih panjang daripada Perodua Ativa, tetapi lebih pendek daripada SUV segmen B.

Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan, Smart memberitahu, dengan sekali imbas sahaja anda boleh mengenali ini adalah model Smart, tetapi dalam masa sama ia mempunyai rekaan yang progresif. “Concept #1 baru yang sporty ini adalah definisi semula jenama Smart dalam cara yang menarik dan matang. Kami telah mencipta satu DNA rekaan baru yang mempunyai potensi untuk menjadikan Smart sebagai satu jenama peneraju,” kata ketua bahagian rekaan Daimler Group, Gorden Wagener.

SUV ini banyak menggunakan garis yang mengalir dan bentuk badan yang licin, sementara pintu tanpa bingkai pula menjadikan sambungan cermin menjadi lebih bersih dan mewujudkan kesan visual bumbung terapung yang lebih baik. Keliling bahagian bawah kenderaan dipasang dengan kemasan hitam seperti kebanyakan SUV lain dan rim pula menggunakan saiz 21 inci.

Perincian menarik lain adalah seperti pembuka pintu tersembunyi, dan pintu belakang yang dibuka secara terbalik, yang bermakna tiada tiang tengah. Lampu utama hadapan dan belakang menggunakan unit LED, dan ia boleh menghasilkan pertunjukan cahaya sendiri.

Smart Concept #1 diperkenal – SUV elektrik era baru di bawah pemilikan bersama Geely dan Daimler Group

Smart juga membuat perbandingan Concept #1 ini dengan sebuah sedan, dengan mengatakan bahawa walaupun bahagian luarnya kompak, kabin masih sangat luas kerana roda berada betul-betul di penjuru. Binaan asas khas untuk kenderaan elektrik juga menjadikan SUV konsep empat tempat duduk ini mempunyai ruang kaki serta badan yang sama luas seperti kenderaan segmen atas padanya.

Bumbung panoramik kaca yang besar di atas kenderaan membenarkan lebih banyak cahaya masuk ke dalam, seterusnya memberikan rasa ruang yang lebih luas dan suasana seperti ruang rehat. Ia juga dilengkapi dengan lampu suasana termasuk pada lantai, corong pendingin hawa elegan serta konsol tengah yang terapung antara dua tempat duduk hadapan dan bersambung dengan papan pemuka.

Tiada butang kawalan ciri pada papan pemuka kerana semuanya boleh dilakukan menggunakan skrin 12.8 inci di tengah dengan sistem infotainmen dilengkapi Artificial Intelligence, yang boleh mempelajari perilaku pengguna dan menyesuaikan kenderaan dengan mengikut kegemaran mereka. Aplikasi telefon pintar yang dibangunkan untuk kenderaan ini bukan sahaja boleh bertindak sebagai kunci digital, malah menyediakan pelbagai lagi fungsi serta servis lain. Sistem audio adalah daripada Beats.

Smart memberitahu model generasi baru mereka mempunyai komputer utama berkuasa yang mengawal empat domain iaitu infotainmen, sistem bantuan pemandu, fungsi elektromobiliti khas serta tetapan elektrik/elektronik kenderaan. Sistem komputer kenderaan ini boleh dikemas kini dalam talian.

Fungsi lain yang diberitahu ada pada Concept #1 adalah sistem bantuan letak kereta, bantuan stereng evasif, bantuan atas lebuh raya serta bantuan lorong kecemasan. Smart juga mendakwa bahawa model generasi baru mereka akan menjadi antara peneraju kenderaan elektrik penuh di dalam segmennya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required