Kes “Bezza gula” yang tular pada awal tahun ini antara contoh mengapa agak sukar untuk pengguna mendapatkan gantian unit kereta yang baharu sekiranya unit yang baru dibeli dari pengeluar mempunyai masalah yang besar. Perkara ini mungkin akan lebih mudah untuk dikendalikan sekiranya negara kita mempunyai undang-undang ‘Lemon Law’ yang sudah digunapakai di beberapa negara maju.
‘Lemon Law’ ialah undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.
Oleh itu, semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan bahawa pembentang usul atau meminda akta baharu berkaitan ‘Lemon Law’ disasarkan akan dibuat di Parlimen seawal Mac tahun depan, lapor Bernama.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagi tujuan tersebut pihaknya telah melantik sekumpulan pakar perunding yang terdiri daripada pakar perundangan akan menjalankan kajian perundangan berkaitan Lemon Law dalam usaha mewujudkan kerangka perundangan perlindungan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa, serta turut akan menyediakan laporan pelaksanaan kajian amalan terbaik di beberapa negara dan mengadakan siri libat urus dengan pihak berkaitan.
“Mereka akan memulakan kerja dari Jun hingga penghujung September ini dan selepas itu, mereka akan mengemukakan laporan komprehensif untuk dibentang kepada kementerian.
“Laporan itu akan menjadi asas kepada pertimbangan bagi kementerian dapatkan keputusan dasar sama ada perlu wujud satu akta khusus bagi Lemon Law atau kita laksanakan pindaan kepada akta sedia ada,” katanya.
Menurut Armizan lagi terdapat empat undang-undang di Malaysia yang bercirikan Lemon Law seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967. Tambahnya, KPDN akan membuat keputusan berdasarkan laporan pakar perunding terbabit dan jika dipersetujui di peringkat kementerian, proses seterusnya ialah membawanya untuk penilaian impak kawal selia.
“Sekiranya semua telah dipersetujui termasuk Jemaah Menteri, kita akan bawa ke proses sama ada pindaan atau akta baharu di Parlimen yang disasar seawal Mac 2025,” katanya.
Walau bagaimanapun, KPDN akan melaksanakan dua strategi interim sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamadkan, kata Armizan. Strategi tersebut adalah pendayaupayaan perlindungan pengguna iaitu penubuhan pasukan rundingan khas berkaitan aduan kenderaan bermotor di KPDN dan pengukuhan proses Tirbunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM).
Jelasnya lagi kaedah rundingan yang akan digunakan ialah tiga pihak iaitu antara kementerian, pembeli kereta dan pengedar atau pengilang. Antara syarat dan kriteria pelaksanaan rundingan khas dalam terma rujukan itu ialah kenderaan persendirian baharu berusia tidak melebihi enam bulan dari tarikh pendaftaran dan masih dalam tempoh waranti yang sah sepanjang tempoh kelayakan rundingan serta tidak dimodifikasi.
Beliau mengakui mekanisme aduan bagi pengguna yang berdepan isu kenderaan baharu sedia ada tidak memenuhi standard kualiti dan prestasi serta tuntutan awal dengan pemain industri kurang berjaya selain tidak dapat diselesaikan ialah mengemukakan aduan kepada KPDN melalui saluran rasmi yang disediakan.
Jadi KPDN pada masa sama sedang dalam proses mendapatkan kerjasama BNM supaya satu penyelarasan dan penyeragaman berkaitan surat persetujuan dibuat antara institusi perbankan atau kewangan bagi membolehkan pengguna mengemukakan tuntutan tebus rugi di TTPM atau mahkamah, tambah Armizan.
Menurutnya lagi ketika ini, antara kekangan yang dihadapi ialah kesukaran mendapatkan surat persetujuan daripada bank atau institusi kewangan susulan isu pemilikan kenderaan di bawah Akta Sewa Beli 1967 atau Akta 212.
“Tafsiran pemilikan kenderaan di bawah Akta 212 adalah pemilik kenderaan merupakan bank atau institusi kewangan dan penyewa kenderaan pula merupakan pengguna dan hak milik kenderaan hanya akan diserahkan kepada pengguna apabila selesai pembayaran.
“Maka strategi kedua ini dijangka membantu para pengguna menyelesaikan tuntutan mereka di TTPM dengan jayanya,” kata beliau.
Armizan juga berkata kedua-dua strategi interim adalah intervensi oleh kerajaan bagi membantu pengguna apabila tuntutan awal dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan.
“Sehubungan itu, kerajaan amat berharap serta berbesar hati sekiranya pemain industri terutama industri automatif bersedia untuk menyahut hasrat kerajaan selain sedia bekerjasama melindungi hak pengguna serta memupuk pasaran yang adil dan telus,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.