Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar pada 21 Jun – pesaing Proton X70; 1.6T, 197 PS, 290 Nm; bawah RM130k

Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar pada 21 Jun – pesaing Proton X70; 1.6T, 197 PS, 290 Nm; bawah RM130k

Chery Tiggo 7 Pro sedang mengira detik untuk dilancarkan di pasaran Malaysia, dijangka berlangsung pada Jumaat ini, 21 Jun 2024. Hari ini, sekali lagi Tiggo 7 Pro versi pemasangan tempatan (CKD) dipertontonkan untuk tatapan media tempatan.

Menurut perkhabaran tidak rasmi, Chery Malaysia bakal menetapkan harga di bawah RM130,000 untuk Tiggo 7 Pro yang didatangkan dengan varian tunggal ini. Dengan harga sedemikian, Tiggo 7 Pro lebih cenderung untuk menjadi pesaing bagi Proton X70.

Berukuran 4,513 mm panjang, 1,862 mm lebar dan 1,696 mm tinggi, walau bagaimana pun Tiggo 7 Pro lebih pendek sebanyak 6 mm, lebih lebar sebanyak 31 mm dan 2 mm lebih tinggi berbanding X70, manakala jarak rodanya pula lebih kurang dengan SUV Proton itu. Selain itu, Tiggo 7 Pro juga mempunyai ruang but berkapasiti 475 liter yang boleh dipertingkatkan hingga 1,672 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar pada 21 Jun – pesaing Proton X70; 1.6T, 197 PS, 290 Nm; bawah RM130k

Jika dibandingkan dengan Omoda 5 pula yang sudah banyak berada di jalan raya di Malaysia, Tiggo 7 Pro lebih panjang sebanyak 113 mm, 32 mm lebih lebar dan 108 mm lebih tinggi. Tetapi jika dibandingkan dengan SUV tiga-barisan tempat duduk Tiggo 8 Pro, pastinya ia berbeza dari sudut kelebaran dan ketinggiannya. Di mana Tiggo 7 Pro lebih lebar sebanyak 2 mm tetapi 9 mm lebih rendah berbanding abangnya itu.

Berbanding dengan wajah Omoda 5 yang lebih berani dan ranggi, Tiggo 7 Pro lebih ke arah SUV konvensional. Badannya kelihatan lebih tegak dengan garisan tingkap yang menjulur ke belakang dan tiang-D yang ditampilkan warna hitma seakan memberikan efek ‘bumbung terapung’.

Tiggo 7 Pro juga ditampilkan dengan gril haksagon yang menyerlah dengan taburan kemasan ala berlian pada perumahnya. Manakala sirip biru pada corong pengambilan udara menyerlahkan lagi wajahnya yang tampil agak unik. Selain itu, ia diserikan dengan lampu utama LED yang lebih nipis dengan disepadukan pada indikator jujukan, lampu nyalaan siang LED serta lampu belakang LED penuh.

Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar pada 21 Jun – pesaing Proton X70; 1.6T, 197 PS, 290 Nm; bawah RM130k

Untuk bahagian kabinnya, ia tampil kemas seakan Tiggo 8 Pro dengan papan pemuka minimalis. Ia diberikan panel paparan widescreen dengan dua paparan bersaiz 12.3-inci untuk instrumen dan infotainmen. Bagi versi CKD ini, Tiggo 7 Pro juga diberikan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar secara standard, selain sistem bunyi Sony dengan lapan pembesar suara.

Bagi tempat duduknya pula, Tiggo 7 Pro versi CKD ini didatangkan dengan fungsi memori, pengudaraan dan pemanas untuk tempat duduk hadapan. Selain itu, ia juga diberikan cermin pandang belakang tanpa bingkai, kawalan suhu dwi-zon, pengecas tanpa wayar 50-watt, pencahayaan ambien pelbagai-warna, kemasukan tanpa kunci dengan walk-away auto lock, butang penghidup enjin, upholstery kulit tiruan, bumbung kaca panoramik, sistem kamera 360-darjah dan juga powered tailgate.

Untuk pasaran Malaysia, Tiggo 7 Pro ini ditawarkan dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang menjana kuasa sebanyak 197 hp dan 290 Nm tork. Ini digandingkan pula bersama transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar (7DCT — dengan keupayaan beban tork 390 Nm, lebih tinggi daripada janaan tork enjinnya). Dari segi prestasi, gandingan tersebut membolehkannya mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat. Kadar penggunaan minyak pula didakwa mampu memberikan bacaan 7.0L/100 km.

Berbanding dengan Proton X70 yang kesemua variannya kini diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder dengan hamburan kuasa 177 PS dan tork 255 Nm. Versi 1.8 liter turbo empat-silinder dengan 184 PS/300 Nm kini telah digugurkan dari pasaran.

Tiggo 7 Pro yang dipasang di kilang di Kulim, Kedah ini juga diberikan Advanced Driver Assistance System 2.5. Ia merangkumi Front Collision Warning (FCW), Adaptive Cruise Control (ACC), Multi Collision Brake (MCB), Door Open Warning (DOW), Integrated Cruise Assist (ICA) dan Rear Collision Warning (RCW).

Selain itu, ia juga terdiri daripada Lane Departure Prevention (LDP), Blind-spot Detection (BSD), Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Departure Warning (LDW), Traffic Jam Assistant (TJA), Rear Cross Traffic Braking (RCTB), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Change Assist (LCA), Lane Departure Reminder (LDR) dan Emergency Lane Keeping (ELK).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required