KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan (YDP) Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diumumkan menjadi pemilik bagi nombor plat kenderaan FFF 1 yang dikeluarkan sempena ulang tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ke-78 pada awal Mei lalu.
Menurut laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, nombor plat berkenaan dibida dengan nilai RM1.75 juta, sekaligus menjadi nilaian bidaan tertinggi yang tercatat dalam sejarah negara. Difahamkan bahawa RM1.75 juta tersebut akan disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke, di Istana Negara. Pada pertemuan itu, Loke turut mempersembahkan secara simbolik nombor plat kenderaan berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Pada Februari lalu, Sultan Ibrahim diumumkan menjadi pemilik bagi ‘GOLD 1’, nombor plat pendaftaran kenderaan yang dikeluarkan khas sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50. Nombor plat berkenaan dibida dengan nilai RM1.5 juta.
Siri FFF dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid bermula 11 Mei 2024 dan berlangsung selama lima hari. Tidak seperti bidaan nombor plat yang dikeluarkan khas seperti GOLD, tiada harga minima yang ditetapkan serta tiada kategori untuk bidaan FFF.
Malah pada 1 Jun lalu, JPJ turut menawarkan baki siri nombor pendaftaran istimewa siri FFF yang boleh dibeli terus di kaunter JPJ Ibu Pejabat Bahagian Pelesenan Kenderaan atau di semua Pejabat JPJ Negeri. Di mana penawaran baki siri FFF ini adalah sehingga ia habis dijual, bermakna tiada tempoh tertentu bagi penjualan yang ditetapkan. Selagi masih ada baki nombor, maka ia akan terus dibuka untuk dijual.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.