Kerana saingan yang semakin sengit dengan lebih banyak jenama China bertapak, Honda dilaporkan terpaksa menutup salah satu kilangnya di Thailand.
Menurut laporan Nikkei Asia, Honda bakal menutup kilangnya di Ayutthaya menjelang 2025, kerana bahagian pasarannya di sana sudah semakin mengecil selepas permintaan pelanggan terhadap kenderaan elektrik (EV) dan jenama-jenama dari China meningkat.
Jurucakap jenama itu menjelaskan bahawa operasi pemasangan kenderaan Honda akan diteruskan di kilang Prachinburi, sementara fasiliti di Ayutthaya akan diubah hanya bagi menghasilkan komponen kenderaan.
Dengan persaingan yang kini semakin sengit, jumlah produksi Honda dari kedua-dua kilang di Thailand berkenaan jatuh di bawah 150,000 unit setahun dalam empat tahun kebelakangan ini. Untuk rekod, pada 2019 jumlah produksi keseluruhan Honda di Thailand mencapai 228,000 unit. Honda juga merekodkan jumlah jualan di bawah 100,000 unit setahun untuk empat tahun ke belakangan ini di negara tersebut.
Seorang lagi jurucakap menjelaskan bahawa Honda akan membuat pelaburan tambahan untuk kilangnya di Prachinburi bagi beralih untuk menghasilkan model-model hibrid berbanding model dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya. Honda juga telah mula memasang model EV di fasiliti berkenaan menerusi barisan produksi yang telah dikhaskan, bermula dengan model e:N1, iaitu SUV EV yang diasaskan dari HR-V.
Laporan Nikkei Asia ini turut memberitahu bahawa jenama-jenama Jepun seperti Honda dan Nissan sudahpun terjejas dengan saingan sengit yang datang dari pengeluar-pengeluar China dan berpotensi kehilangan pelanggan di pasaran termasuk Asia Tenggara, selepas jenama-jenama China berkenaan berkembang secara agresif ke pasaran eksport dan membina kilang-kilang di luar negara.
Salah satu gergasi automotif dari China iaitu BYD telahpun membuka kilang EV baharunya di Rayong minggu lalu, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 150,000 unit. Langkah itu adalah sebahagian daripada pelaburan bernilai lebih AS$1.44 bilion (RM6.8 bilion) daripada pembuat EV China yang sedang membina kilang di negara Thailand.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.