Tesla Model 3 Performance Highland tak dapat habiskan 1 lap sempurna litar Nurburgring

“The Green Hell” – ini adalah nama gelaran yang diberikan pada litar Nurburgring Nordschleife di Jerman. Nama tersebut diberikan kerana litar dengan jarak lebih 20 km dan juga lebih 150 selekoh berkenaan cukup “mendera” pemandu dan kereta yang berlumba di situ, lebih-lebih lagi untuk mereka yang mahu memenangi perlumbaan ataupun mencatatkan rekod terpantas, bukan sahaja kerana jaraknya yang begitu jauh, malah ia terhasil dari pelbagai bentuk muka bumi dan permukaan jalan, serta laluannya juga tidak lebar.

Sebab itulah bagi sesetengah pengeluar, rekod lap di Nurburgring Nordschleife ini adalah penting bagi menunjukkan bukan sahaja talaan pengendalian yang jitu, malah sebagai bukti ketahanan kereta berkenaan dilanyak sepenuhnya bagi menghabiskan setiap laluan di litar ini.

Namun jika anda mempunyai sebuah sedan elektrik “prestasi tinggi” Tesla Model 3 Performance Highland, anda mungkin tidak dapat menghabiskan satu pusingan lap litar ini, seperti yang telah diuji oleh pelumba Misha Charoudin. Bagi yang belum mengetahui, Misha juga merupakan seorang YouTuber dimana kandungan salurannya di platform berkenaan penuhnya dengan videonya menguji pelbagai kereta di Nurburgring Nordschleife.

Tesla Model 3 Performance Highland yang dipandu oleh Misha ini adalah milik seorang pengunjung litar berkenaan yang datang dari Republik Czech, memintanya menguji sedan EV tersebut. Tiada sebarang pengubahsuaian dibuat dimana kereta itu dalam keadaan standard sepenuhnya – dibekalkan dengan dua motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 461 PS.

Pada peringkat awal, Misha memuji pengedalian yang baik diberikan dari Tesla berkenaan walaupun ia masih dalam keadaan asal, dan ia dapat mengikut sebuah BMW M2 F87 yang telah diubahsuai. Namun apabila sampai ke bahagian kelajuan tinggi di litar berkenaan, Tesla tersebut sudahpun sampai ke hadnya dan tidak berdaya lagi untuk mengikut rentak M2 di hadapan.

Misha berjaya mencatatkan kelajuan maksima 240 km/j ketika melintasi Schwedenkreuz, namun apabila pedal brek diberikan beban tinggi ketika di Aremberg pada kelajuan 180 km/j, masalah brek mulai dirasai apabila pedal mula terasa lembut kerana beroperasi pada suhu tinggi. Prestasi brek dirasakan semakin berkurangan selepas itu dan akhirnya brek hadapan mula berasap hanya selepas 5 km dipandu dengan agresif dalam litar di The Green Hell berkenaan.

Dan selepas hampir separuh litar dihabiskan, muncul satu lagi masalah – pemilik Tesla berkenaan mengesan kuasa yang tersedia pada kereta ini telah berkurangan hanya pada 216 kW (355 PS). Ini kerana sistem elektrikal termasuk bateri pada EV tersebut sudah terlalu panas, dan kuasanya diturunkan secara automatik untuk mengelak berlaku sebarang kerosakan.

Kesimpulannya, dalam keadaan standard agak mustahil untuk Tesla Model 3 Performance Highland untuk mencatatkan rekod sebenar di litar ini kerana sistem brek yang tidak mampu bertahan dan isu pengurusan haba yang timbul sekiranya kereta ini di’sesah’ sepenuhnya dalam litar.

Di Malaysia, Tesla Model 3 Performance Highland 2024 ini dijual pada harga bermula RM244k. Harga tersebut dilihat sangat berpatutan untuk sebuah sedan yang mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 3.1 saat. Tapi sekarang mungkin anda sudah tahu kenapa kereta produksi pacuan roda hadapan paling pantas di Nurburgring Nordschleife, Honda Civic Type R FL5 dijual pada harga RM400k bukan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required