Honda Civic Type R FL5 dilancarkan di Malaysia – RM400k untuk FWD produksi terpantas di Nürburgring

Honda Civic Type R FL5 dilancarkan di Malaysia – RM400k untuk FWD produksi terpantas di Nürburgring

Selepas ia tiba di beberapa negara ASEAN termasuk Vietnam, Filipina, Thailand dan Indonesia, kini tiba pula giliran Malaysia untuk menerima hot-hatch Honda Civic Type R generasi baharu. Model yang dikenali dengan kod casis FL5 ini ditawarkan hanya dalam satu varian, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM399,900.

Walau bagaimanapun, atas permintaan tinggi dari seluruh dunia, Honda Malaysia hanya berjaya memperolehi 19 unit Type R FL5 ini untuk dijual di sini, untuk kuota tahun ini. Dan untuk menentukan siapa yang dapat peluang untuk membelinya, tempahan untuk kereta ini bukan dibuka secara siapa cepat dia dapat, sebaliknya satu sistem undian akan dibuat. Perincian berkenaan sistem undian tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Ini merupakan model ketiga Civic Type R yang dijual secara rasmi oleh Honda Malaysia selepas Civic Type R FD2R (2007) dan juga Civic Type R FK8 (2017). Sama seperti barisan model-model Honda lain yang dijual di sini, Type R FL5 ini masih diberikan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Honda Civic Type R FL5 dilancarkan di Malaysia – RM400k untuk FWD produksi terpantas di Nürburgring

Model ini telah membuat penampilan sulung globalnya pada Julai tahun lalu, dan ia diasaskan dari kerangka Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Model generasi baharu ini dihasilkan dengan dimensi yang lebih panjang, lebih rendah dan lebih lebar, serta disifatkan Honda sebagai “Type R paling cantik pernah dibina”.

Ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia 15 mm lebih lebar dari Civic hatchback standard, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah.

Berbanding FK8 yang menampilkan liang udara bonet yang direka sebagai skup udara, liang pada bonet model 2023 ini nampaknya berada di kedudukan lebih hadapan, dan ia tenggelam untuk mengalirkan udara panas dari ruang enjin keluar. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, dengan skirt sisi seakan direka sebagai splitter udara.

Manakala di belakang, ia menerima diffuser yang lebih besar dari sebelum ini. Tiga tip ekzos masih kekal menjadi identiti Civic Type R, tetapi ia nampak berbeza kerana tip yang paling besar berada di tengah, berbanding FK8 yang menampilkan tip paling kecil di tengah. Spoiler belakang bersaiz besar juga dilengkapkan pada Type R baharu ini, tetapi ia kini direka ala GT-Wing.

Perincian-perincian luaran Civic Type R ini bukan dihasilkan untuk tujuan estetika semata-mata. Rekaan rekaan gril hadapan misalnya, ia dihasilkan dengan ruang kemasukan udara lebih besar membolehkan radiator beroperasi pada kadar 48% lebih baik dari FK8.

FL5 masih lagi dijana oleh enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo, iaitu enjin asas yang sama seperti generasi FK8 sebelumnya. Namun ia telah ditambah baik dengan kemaskini pada pengecas turbo yang dihasilkan dengan saiz, bentuk serta jumlah bilah turbin yang dioptimakan bersama bentuk aliran udara dari salur kemasukan, serta sistem ekzos yang lebih efisien.

Honda Civic Type R FL5 dilancarkan di Malaysia – RM400k untuk FWD produksi terpantas di Nürburgring

Hasilnya, FL5 mampu bernafas dengan kuasa 319 PS pada tahap 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,600 hingga 4,000 rpm. Angka tersebut adalah sama dengan Type R FL5 untuk pasaran ASEAN yang lain, dan dilihat sedikit rendah berbanding model pasaran Jepun yang diwartakan berkuasa 330 PS dengan tork sama 420 Nm. Namun ia masih 9 PS/20 Nm berbanding FK8 pasaran ASEAN termasuk Malaysia sebelum ini.

Selain itu, model baharu ini juga menerima sistem Active Sound Control pada sistem ekzos yang menampilkan injap aktif bagi memberikan aliran gas dan juga bunyi yang lebih “merdu”. Ia juga diberikan flywheel yang lebih ringan dari sebelum ini untuk respon enjin yang lebih baik.

Enjin berkenaan masih lagi hanya dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual – jadi yang masih belum mahir dan tidak minat dengan pedal klac, Type R FL5 ini masih belum sesuai dengan anda. Transmisi manual yang lengkap dengan LSD berkenaan dipertingkat dengan perisian sistem rev-match (heel & toe automatik) yang diperkemas, serta tuil dan pagar “H-pattern” yang dioptimakan bagi memberikan penukaran gear yang lebih jitu.

Honda Civic Type R FL5 dilancarkan di Malaysia – RM400k untuk FWD produksi terpantas di Nürburgring

Gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Honda Civic Type R ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 272 km/j.

Kesemua fender yang lebar pada Civic Type R ini melindungi set roda dengan rim kemasan hitam berdiameter 19-inci dengan tayar bersaiz Michelin Pilot Sport 4S 265/30R19 dan juga sistem brek jenis two-piece dari Brembo.

Ini bermakna rim yang digunakan pada model generasi baharu ini adalah 1-inci lebih kecil, dan menggunakan tayar yang lebih lebar kerana FK8 sebelum ini diberikan rim 20-inci dengan tayar 245/30R20. Kombinasi rim dan tayar baru ini menjadikan lebar antara tayar kiri dan kanan di hadapan bertambah 25 mm, sementara di belakang bertambah 12.7 mm.

Untuk suspensi, konfigurasi yang digunakan masih sama seperti FK8 iaitu sistem suspensi jenis dua-paksi pada sebelah yang melenyapkan torque steer ketika memecut dan memberikan kelajuan lebih tinggi di selekoh dan juga sistem multi-link di belakang yang telah ditala semula untuk kestabilan laluan lurus

Honda Civic Type R FL5 dilancarkan di Malaysia – RM400k untuk FWD produksi terpantas di Nürburgring

Konfigurasi berkenaan dipadankan dengan penyerap hentak adaptif kawalan elektronik yang akan memberikan larasan mengikut mod pemanduan Comfort, Sport dan R+. Anda juga boleh membuat tetapan sendiri menerusi mod Individual yang membolehkan ia dilaras mengikut selera pemandu. Secara keseluruhan rekabentuk kerangka dan juga suspensi membolehkan Type R FL5 ini 12.7 mm lebih rendah, dan pemandu juga dapat duduk dalam posisi lebih rendah dari sebelum ini.

Model pasaran Malaysia ini hanya ditawarkan dalam warna tradisi Championship White, bersama perincian luaran standard lain termasuk lampu hadapan LED penuh, cermin sisi auto-lipat dengan lampu isyarat membelok LED, lampu kabus belakang dan lain-lain.

Kabin model generasi baharu ini masih mengekalkan tradisi sebuah Type R. Jadi papan pemuka Civic generasi ke-11 dengan liang penghembus udara merentangi sepenuhnya bersama gril sarang lebih masih dikekalkan, dan ia menerima tombol gear aluminium, serta perincian-perincian merah ikonik Type R seperti tempat duduk bucket, karpet kaki, logo pada roda stereng, dan pelbagai perapi lain.

Menurut Honda, tempat duduk bucket untuk Civic Type R generasi baharu ini menggunakan upholsteri seakan sued yang mempunyai pekali geseran yang tinggi, yang mampu mengurangkan pergerakan badan pemandu dalam keadaan menahan daya-G yang tinggi. Tag nombor siri unik tidak lagi diberikan pada konsol tuil gear, sebaliknya dialihkan pada papan pemuka sebelah penumpang.

Khas untuk pemandu, roda stereng Type R FL5 ini tidak lagi dibalut dengan kulit seperti FK8, sebaliknya ia lebih seperti sebuah kereta lumba sebenar yang diberikan balutan Alcantara.

Malah paparan instrumen juga langsung tidak sama dengan Civic FE biasa, kerana ia diberikan paparan digital penuh dengan skrin TFT 10.2-inci bersama shift light melintang pada sebelah atas lengkap dengan penunjuk posisi gear, rekaan meter ekslusif +R, serta juga paparan pelbagai informasi yang memberikan maklumat berkenaan lain yang dipilih pemandu, juga seperti sebuah kereta lumba sebenar.

Honda Civic Type R FL5 dilancarkan di Malaysia – RM400k untuk FWD produksi terpantas di Nürburgring

Perincian dalaman lain yang diberikan pada Civic Type R FL5 pasaran Malaysia ini termasuk brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, pengecas tanpa wayar, sistem pendingin hawa dua-zon serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 9-inci bersama lapan pembesar suara.

Civic Type R 2023 ini juga diberikan sistem data logger Honda LogR, yang memberikan informasi masa-sebenar berkenaan pergerakan mekanikal dan juga sifat kenderaan tersebut yang disebabkan input yang diberikan pemandu. Ia juga diberikan jam randik bagi merekodkan masa lap setiap lap di litar lumba, serta kemampuan untuk berkongsi video pemanduan. Untuk model pasaran Malaysia ini, sistem LogR tersebut sudahpun boleh digunakan di Litar Sepang.

Bagi kelengkapan keselamatan pula, Type R FL di Malaysia ini diberikan lapan-beg udara (termasuk satu untuk lutut penumpang hadapan), dan juga pakej bantuan pemanduan Honda Sensing dengan fungsi termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Road Departure Mitigation (RDM) System, Forward Collision Warning (FCW) System, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lead Car Departure Notification System (LCDN) serta Auto High Beam Headlights (AHB).

Dengan pelbagai kelengkapan dan talaan yang lebih fokus terhadap pemanduan litar, tidak hairanlah Honda Civic Type R FL5 ini masih memegang rekod sebagai kereta pacuan roda hadapan (FWD) produksi paling pantas “The Green Hell” Nürburgring Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 44.881 saat.

Rekod berkenaan dicatatkan di litar sepanjang 20.832 km berkenaan pada 24 Mac lalu. Ia sekaligus memadamkan rekod terpantas produksi FWD sebelum ini dengan masa 7 minit 45.39 saat (7:40.1 pada laluan 20.600 km yang lebih pendek) yang dicatatkan oleh Renault Mégane R.S. Trophy-R pada 2019. Ketika itu, Megane merampas gelaran tersebut dari Civic Type R FK8 yang dinobatkan sebagai model produksi FWD terpantas di Nürburgring dengan rekod 7:43.8 pada laluan 20.6 km pada 2017.

Tidak seperti FK8 yang diproduksi di United Kingdom sebelum ini, produksi FL8 sudah kembali ke Jepun kerana kilang Honda Swindon telahpun ditutup. Jadi semua unit FL8 untuk pasaran seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia dan ASEAN adalah dari kilang Yorii di Saitama, Jepun.

Jadi bagaimana? Adakah harga RM399,900 berbaloi untuk sebuah hot-hatch JDM asli yang masih memegang rekod terkini di Nürburgring?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required