VIDEO: Bagaimana Honda Civic Type R FL5 diproduksi di kilang Yorii, Jepun; berbeza dari Civic Hatch biasa

VIDEO: Bagaimana Honda Civic Type R FL5 diproduksi di kilang Yorii, Jepun; berbeza dari Civic Hatch biasa

Seperti yang kita ketahui sebelum ini, Honda Civic Type R kini sudah diproduksi semula di Jepun bermula model dengan generasi FL5 terbaharu. Ini adalah kerana kilang Honda di Swindon, United Kingdom yang memproduksi empat model Type R UK sebelumnya iaitu Honda Accord Type R CH1 (1999), Civic Type R EP3 (2001), Civic Type R FN2 (2007) dan Civic Type R FK8 terpaksa ditutup tahun lalu.

Bagi produksi Civic Type R 2023 ini, ia dibuat di kilang Honda Yurii yang berada di Saitama. Ia bukanlah kilang yang sama menghasilkan Civic Type R EK9 dan dan Civic Type R FD2 sebelum ini kerana kedua-dua model berkenaan dihasilkan di kilang Mie Honda yang terletak di Suzuka. Kilang Yurii yang menghasilkan Civic Type R FL5 ini merupakan kilang utama Honda buat masa sekarang, dibuka secara rasmi pada Julai 2013.

Walaupun Honda Civic Type R ini masih diasaskan dari Civic hatchback biasa, proses pemasangannya dilakukan sedikit berbeza – sebab itulah biasanya sebuah Civic biasa yang di’convert’ menjadi ‘Type R jadian’ biasanya tidak akan memberikan kualiti pemanduan yang sama. Dan ini dia video yang disiarkan Honda bagi menunjukkan apa perbezaan proses produksi antara Civic Type R dan juga Civic Hatchback standard.

VIDEO: Bagaimana Honda Civic Type R FL5 diproduksi di kilang Yorii, Jepun; berbeza dari Civic Hatch biasa

Tidak seperti GR Factory milik Toyota yang hanya memproduksi model-model prestasi tinggi GR, kilang Yurii ini masih menghasilkan model-model kompak, sedan, SUV dan MPV Honda yang lain. Jadi Honda menyifatkan untuk menghasilkan model seperti Civic Type R di kilang yang sama adalah sesuatu yang mencabar.

Untuk itu, Honda telah mewujudkan satu barisan pemasangan unik untuk komponen-komponen tertentu bagi Type R dan diintegrasikan bersama barisan pemasangan utama Civic biasa.

Berbanding Civic standard, versi Type R ini menampilkan keempat-empat fender yang jauh lebih lebar. Honda menyatakan bahawa kesemua fender Type R itu merupakan komponen badan yang memerlukan acuan tekan yang paling ‘dalam’ digunakan bagi memberikan bentuk unik tersebut. Dan anda boleh lihat, fender tayar belakang Civic Type R yang ‘kembang’ berkenaan adalah sebahagian dari panel sisi badan, dan bukan komponen yang dicantum kemudian.

VIDEO: Bagaimana Honda Civic Type R FL5 diproduksi di kilang Yorii, Jepun; berbeza dari Civic Hatch biasa

Honda juga memberitahu, bagi menghasilkan panel badan yang lebar seperti ini selalunya memerlukan ia menggunakan beberapa acuan yang ditekan secara berperingkat bagi mengelakkan panel berkenaan retak, berlipat atau meleding. Namun dengan kejuruteraan dan simulasi terbantu komputer yang ada pada Honda membolehkan komponen tersebut dihasilkan dengan hanya satu acuan tekan istimewa dan ia boleh digunakan pada mesin-mesin sedia ada.

Untuk mencantumkan panel-panel kerangka dan juga badan, Civic Type R ini diberikan bahan perekat yang jauh lebih banyak berbanding Civic biasa. Ini secara tidak langsung memberikan lebih kestabilan ketika memandu dan asas kepada prestasi dinamik Type R. Ia juga dicantum memnggunakan kimpalan laser pada bumbung memeberikan kesan cantuman dan juga kimpalan keemasan pintar pada badan bagi menghasilkan kerangka lebih jitu – kedua-dua proses kimpalan ini sebenarnya turut digunakan pada Civic biasa.

Type R FL5 ini masih menggunakan enjin K20C 2.0 liter empat silinder VTEC Turbo sama seperti generasi FK2 dan FK8 sebelum ini, namun ia ditala bagi memberikan 10 PS/20 Nm lebih berkuasa dengan hasil akhir 330 PS/420 Nm. Enjin tersebut juga masih dihasilkan di kilang enjin Anna milik Honda yang terletak di Ohio, Amerika Syarikat dan kemudian di bawa untuk dipasang pada badan yang diproduksi di Jepun.

Manakala kotak gear enam kelajuan manual untuk Civic Type R ini pula dibuat di kilang Mie, Suzuka yang kemudiannya di bawa ke kilang Ogawa di fasiliti pemasangan Honda terletak di Saitama (juga dikenali sebagai “mother factory” Honda) untuk dicantum bersama enjin, sebelum kedua-nya di hantar ke kilang Yurii. Bagi yang belum mengetahui, Type R masih lagi model hanya untuk purist yang tidak ditawarkan dengan kotak gear automatik.

Berbanding Civic standard yang menggunakan suspensi jenis topang Mcpherson biasa pada sebelah depan, Civic Type R menampilkan suspensi jenis dua-paksi yang melenyapkan torque steer ketika memecut dan memberikan kelajuan lebih tinggi di selekoh serta kestabilan lebih baik pada laluan lurus.

Jadi ini menjadi satu lagi cabaran buat kilang Yurii Honda kerana ia memerlukan proses pemasangan yang berbeza dan ia tidak pernah memasang suspensi dua-paksi sebelum ini. Proses penghasilan pemasangan suspensi tersebut (terdiri dari set penyerap hentak dan spring, hab roda dan aci pacu) di buat pada satu barisan khas yang diwujudkan.

Sama seperti operasi kilang Swindon sebelum ini, kilang Yurii menjadi satu-satunya fasiliti yang memasang Civic Type R FL5 untuk dieksport ke seluruh dunia. Model ini telah pun diperkenalkan di Jepun dan Amerika Syarikat pada Julai lalu. Ia juga telah mula diperkenalkan di Asia Tenggara bermula dengan pelancaran yang dibuat di Vietnam pada bulan lalu. Mungkin Type R berkuasa pernah dihasilkan ini akan tiba di Malaysia tahun hadapan?

GALERI: Honda Civic Type R 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required