Honda Civic Type R FK8 facelift – hanya satu di M’sia

Honda Civic Type R FK8 facelift – hanya satu di M’sia

Bagi sebuah kereta prestasi sepertinya, Honda Civic Type R FK8 dapat dijual dalam jumlah yang boleh dikira banyak oleh Honda Malaysia. Jadi, apabila model facelift muncul pada tahun 2020, kita menjangkakan ia juga akan dibawa masuk ke dalam negara.

Walaubagaimanapun, ia tidak berlaku – sekurang-kurangnya melalui saluran rasmi Honda Malaysia. Sehinggalah sekarang. Hujung minggu lalu, salah satu pengedar rasmi Honda, iaitu Ban Lee Heng telah mengadakan pameran Type-R di pusat pameran mereka di Melaka, dan salah satu kenderaan yang dipamerkan adalah Type R FK8 facelift. Menurut pengedar ini, kenderaan tersebut bukanlah unit import persendirian, tetapi dibawa sendiri oleh Honda Malaysia (HMSB).

Malangnya itu adalah satu-satu unit yang dibawa. Menurut HMSB, kenderaan ini memang diimport secara rasmi oleh mereka, tetapi syarikat tidak mempunyai perancangan untuk menambah bilangannya. Lagipun, pengeluaran model ini di kilang Honda UK Manufacturing di Swindon telah ditamatkan Julai lalu.

Model facelift ini tidak membawa begitu banyak pembaharuan. Untuk bahagian luar, ia menerima gril yang lebih besar (untuk menambah baik sistem penyejukan), sirip sama warna dengan badan serta tambahan bukaan udara di bampar hadapan dan belakang, serta warna khas Boost Blue seperti unit yang dipamerkan ini.

Di bahagian dalam, ia mendapat roda stereng yang dibalut Alcantara serta tombol gear dengan rekaan baru serta jarak penukaran yang lebih pendek (short shift). Turut diberikan adalah sistem Honda Sensing.

Tiada perubahan pada enjin K20C 2.0 liter VTEC Turbo yang digunakan padanya, dan ia masih menghasilkan jumlah kuasa yang sama seperti sebelum ini – berbeza mengikut pasaran dengan 320 PS pada 6,500 rpm dan 400 Nm antara 2,500 hingga 4,500 rpm bagi pasaran Amerika Syarikat (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan bersama LSD untuk menghantar kuasa ke roda hadapan.

Honda Civic Type R FK8 facelift – hanya satu di M’sia

Bahagian lain yang dinaik taraf adalah brek, di mana ia mendapat cakera hadapan jenis two-piece bersama pad brek baru sementara pada bahagian suspensi, perisian kawalan untuk sistem penyerap hentak adaptif telah diprogramkan semula, suspensi hadapan menerima set bushing baru dan di belakang, bushing pada lengan-B telah dijadikan lebih keras lagi.

Secara rasminya, kami telah diberitahu bahawa kereta ini tidak akan dijual, tetapi salah seorang jurucakap Ban Lee Heng berkata, sekiranya ia dijual, harganya tidak akan pergi jauh berbanding model sebelum facelift ini. Namun persoalannya, adakah ia benar-benar akan ditawarkan kepada pembeli?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

 

Add a comment

required

required