Toyota GR86 dapat suspensi, EPS yang ditala semula serta pilihan edisi khas Hakone, Ridge Green Limited

Toyota GR86 dapat suspensi, EPS yang ditala semula serta pilihan edisi khas Hakone, Ridge Green Limited

Tiga tahun selepas diperkenalkan buat kali pertama, Toyota GR86 kini diberikan naik taraf, yang juga menyaksikan pengenalan model edisi khas di Jepun dan Amerika Syarikat. Menurut pengeluar Jepun itu, naik taraf ini dibuat bagi mendapatkan pengendalian yang lebih baik, dengan input daripada sukan permotoran.

Kedua-dua GR86 manual dan automatik kini mendapat penyerap yang ditala semula, dengan fokus untuk memberikan rasa sentuhan dengan jalan yang lebih baik sambil mengekalkan maklum balas pengendalian yang terus.

Sebagai tambahan, sistem stereng kuasa elektrik (EPS) kenderaan ini telah ditala semula untuk interaksi yang lebih baik kepada pemandu. Hasilnya menurut Toyota, kenderaan dapat memberi prestasi maklum balas lincah tanpa mengorbankan stabiliti stereng, sambil meningkatkan sensasi pengendalian pada prestasi puncak.

Toyota GR86 dapat suspensi, EPS yang ditala semula serta pilihan edisi khas Hakone, Ridge Green Limited

Khas bagi model transmisi manual, sistem kawalan tork enjinnya diubah suai supaya dapat memudahkan proses ‘blip‘ apabila melakukan ‘heel-and-toe‘. Kawalan pendikit juga menerima sedikit ubah suai untuk memberikan maklum balas yang lebih terus kepada operasi pedal, sekaligus juga memudahkan pengendalian pada prestasi puncak.

Untuk model transmisi automatik pula, julat toleransi laju enjin ketika menurunkan gear telah diluaskan lagi, seterusnya membenarkan pemanduan sporty yang disokong oleh julat tork yang lebih luas. Toyota juga memberitahu terdapat tambahan sistem pemerhati tekanan angin tayar dan DRL pada GR86.

Di Jepun, model edisi khas dipanggil sebagai Ridge Green Limited dan menggunakan asas daripada varian RZ. Ia didatangkan dengan warna luar Ridge Green dan rim warna gangsa, manakala bahagian dalam yang kebanyakannya menggunakan warna hitam diserikan dengan kemasan coklat serta sulaman khas pada panel pintu. Turut diberikan secara standard adalah brek Brembo dan penyerap Sachs.

Sementara itu di Amerika Syarikat, model edisi khas ini dipanggil sebagai Hakone Special Edition, dengan mendapat peningkatan yang sama, tetapi dengan tambahan perincian seperti lencana pada penutup but, serta tombol gear dan lampu lantai yang mempunyai cop Hakone Edition.

Hanya 860 unit model Hakone Special Edition akan ditawarkan di Amerika Syarikat, sementara di Jepun, jumlahnya lebih sedikit iaitu cuma 200 unit. Harga untuk GR86 2024 berada antara 2.936 juta ke 3.616 juta yen (RM87k ke RM107k), dan yang paling mahal adalah model Ridge Green Limited, dengan harga antara 3.897 juta ke 3.995 juta yen (RM115k ke RM118k) bergantung kepada transmisi.

GALERI: Toyota GR86 2024 pasaran Jepun

GALERI: Toyota GR86 Hakone Edition 2024 pasaran Amerika Syarikat

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required