Toyota GR86 mula dijual di Jepun – bermula RM102k

Toyota GR86 mula dijual di Jepun – bermula RM102k

Selepas didedahkan pada April lalu, Toyota 86 generasi kedua yang kini digelar sebagai GR86 secara rasminya mula dijual pada pasaran Jepun dengan harga bermula 2,799,000 yen (RM102k) bagi model asas RC 6MT sehingga 3,512,000 yen (RM128k) untuk model tertinggi RZ 6AT. Model ini turut ditawarkan dalam program langganan Kinto One dengan bayaran bulanan serendah 21,450 yen (RM783) sebulan.

Sama seperti Toyota 86 generasi sebelumnya, GR86 masih dibangunkan bersama Subaru BRZ 2022. Dari segi rekaan, GR86 menampilkan hampir keseluruhan rupa yang sama dengan BRZ termasuk lampu dan bampar belakang. Elemen utama yang membezakan antara kedua-duanya adalah bampar dan gril hadapan – GR 86 menerima rekaan “Gril Matrix” serta diapit dengan liang udara sisi bersama kemasan hitam berbentuk-L.

Perincian lain seperti lampu hadapan dengan bentuk titisan air bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-C bersepadu, liang udara sisi yang memang berfungsi, bumbung “double bubble” dan juga spoiler ekor itik yang bersepadu terus dengan penutup but belakang adalah seiras dengan BRZ.

Toyota GR86 mula dijual di Jepun – bermula RM102k

Subaru BRZ dan Toyota GR 86 ini diasaskan dari casis generasi sebelumnya, tetapi diolah dengan elemen dari Subaru Global Platform yang baharu. Ini membolehkan ia mencapai ketegaran torsi 50% lebih kuat dari sebelum ini hasil dari sistem cagak casis yang telah diperkuatkan.

Dimensi untuk model generasi baharu ini juga tidak banyak berubah dari model sebelumnya, dengan GR 86 diukur mempunyai 4,265 mm (+25 mm) panjang, 1,775 mm lebar, 1,310 mm (-10 mm) tinggi, serta jarak roda sejauh 2,575 mm atau 5 mm lebih panjang. Manakala beratnya pula adalah sekitar 1,260 kg hingga 1,290 kg bergantung kepada varian.

Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA yang lebih besar. Toyota GR 86 dan Subaru BRZ kedua-duanya dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm (sedikit lebih berkuasa dari BRZ 2022 USDM).

Model asas ‘kosong’ Toyota GR86 RC yang mudah untuk dijadikan asas projek atau kereta lumba

Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.

Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik (model asas RC hanya menerima kotak gear manual). Menurut Toyota, GR 86 mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota 86 generasi sebelum ini.

Toyota turut menyatakan bahawa model dengan transmisi automatik turut akan datang sekali bersama pakej bantuan pemanduan Subaru EyeSight, termasuk teknologi keselamatan pra-pelanggaran.

Bahagian dalaman GR 86 ini juga nampak seiras dengan Subaru BRZ generasi baharu. Ia menampilkan papan pemuka, sistem infotainmen, paparan instrumen digital, suis susunan seperti kekunci piano untum sistem pendingin hawa semuanya sama untuk kedua-dua model. Apa yang berbeza cuma logo Toyota dan lencana GR pada roda stereng.

Ketika dilancarkan hari ini, Toyota turut menawarkan pelbagai kelengkapan tingkat taraf GR Parts – bukan sahaja untuk kosmetik, malah turut melibatkan komponen prestasi. Antara peralatan tersebut termasuk kit suspensi, kit brek lebih besar dengan angkup monoblok, rim aloi forged 19-inci rekaan jejari-Y, serta pelbagai kemasan gentian karbon – kesemuanya dengan cop GR.

GALERI: Toyota GR 86 dengan GR Parts

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required