Belum lagi reda ‘bahang’ dari GR Yaris, Toyota kini sudah mendedahkan satu lagi adik beradik model penuh Gazoo Racing iaitu Toyota GR 86. Dengan pendedahan ini, maka lengkaplah ‘tiga-beradik’ model berprestasi tinggi GR – GR 86, GR Yaris dan GR Supra – seperti yang diidamkan oleh presidennya, Akio Toyoda bagi memperingati Celica, MR2 dan Supra pada era 90’an dahulu.

Sama seperti Toyota 86 generasi sebelumnya, GR 86 masih dibangunkan bersama Subaru BRZ 2022 – kembarnya tersebut sudahpun membuat kemunculan sulung di Amerika Syarikat November tahun lalu, dan ia turut diperkenalkan secara rasmi di Jepun bersama GR 86 hari ini. Selepas ini, Toyota GR 86 turut akan dilancarkan di Eropah.

Dari segi rekaan, GR 86 menampilkan hampir keseluruhan rupa yang sama dengan BRZ termasuk lampu dan bampar belakang. Elemen utama yang membezakan antara kedua-duanya adalah bampar dan gril hadapan – GR 86 menerima rekaan “Gril Matrix” serta diapit dengan liang udara sisi bersama kemasan hitam berbentuk-L.

Unit berwarna merah yang didedahkan hari ini juga menampilkan penutup cermin sisi dan juga rim 18-inci berwarna hitam. Tiada lagi tayar ‘eco’ seperti model generasi sebelumnya, Toyota GR 86 menerima tayar prestasi sebenar Michelin Pilot Sport bersaiz 215/40R18.

Perincian lain seperti lampu hadapan dengan bentuk titisan air bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-C bersepadu, liang udara sisi yang memang berfungsi, bumbung “double bubble” dan juga spoiler ekor itik yang bersepadu terus dengan penutup but belakang adalah seiras dengan BRZ.

Subaru BRZ dan Toyota GR 86 ini diasaskan dari casis generasi sebelumnya, tetapi diolah dengan elemen dari Subaru Global Platform yang baharu. Ini membolehkan ia mencapai ketegaran torsi 50% lebih kuat dari sebelum ini hasil dari sistem cagak casis yang telah diperkuatkan.

Dimensi untuk model generasi baharu ini juga tidak banyak berubah dari model sebelumnya, dengan GR 86 diukur mempunyai 4,265 mm (+25 mm) panjang, 1,775 mm lebar, 1,310 mm (-10 mm) tinggi, serta jarak roda sejauh 2,575 mm atau 5 mm lebih panjang.

Bahagian dalaman GR 86 ini juga nampak seiras dengan Subaru BRZ generasi baharu. Ia menampilkan papan pemuka, sistem infotainmen, paparan instrumen digital, suis susunan seperti kekunci piano untum sistem pendingin hawa semuanya sama untuk kedua-dua model. Apa yang berbeza cuma logo Toyota dan lencana GR pada roda stereng.

Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA yang lebih besar. Toyota GR 86 dan Subaru BRZ kedua-duanya dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm (sedikit lebih berkuasa dari BRZ 2022 USDM).

Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.

Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik. Menurut Toyota, GR 86 mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota 86 generasi sebelum ini.

Walau bagaimanapun, model yang bakal dijual bermula musim luruh di Jepun ini masih belum diumumkan harganya. Toyota turut menyatakan bahawa model dengan transmisi automatik turut akan datang sekali bersama pakej bantuan pemanduan Subaru EyeSight, termasuk teknologi keselamatan pra-pelanggaran.

GALERI: Toyota GR 86 pasaran Eropah