Toyota GR Supra kini diberi tambahan kuasa 48 PS — dari RM589,987 tanpa SST hingga 31 Disember 2020

Toyota GR Supra kini diberi tambahan kuasa 48 PS — dari RM589,987 tanpa SST hingga 31 Disember 2020

Sebagai kemaskini terbaru untuk kereta sport GR Supra, UMW Toyota kini memperkenalkan versi dikemaskini bagi model berkenaan untuk pasaran tempatan. GR Supra 2020 kini diberikan peningkatan; enjin 3.0 liternya kini menerima pertambahan output kuasa.

Peningkatan berkenaan tertumpu kepada enjin enam-silinder turbocas yang digunakan, dengan kini menghasilkan 285 kW (388 PS) kuasa antara 5,800 dan 6,500 rpm; peningkatan sebanyak 14% dari sebelumnya. Tork maksimum pula kekal pada angka 500 Nm, tetapi dicapai pada julat yang lebih luas antara 1,800 rpm – 5,000 rpm berbanding 1,600 rpm – 4,500 rpm sebelum ini.

Meningkatkan output kuasa ini tidak hanya melalui talaan semula, tetapi turut melibatkan penambahan manifold ekzos dua cabang utama dengan enam port (berbanding hanya dua), bertujuan memperbaiki pengurusan haba enjin.

Toyota GR Supra kini diberi tambahan kuasa 48 PS — dari RM589,987 tanpa SST hingga 31 Disember 2020

Rekaan piston baru juga mengurangkan nisbah mampatan enjin daripada 11:1 kepada 10.2:1. Enjin yang dipertingkat dengan julat tork yang lebih tinggi ini mengekalkan keupayaan rev yang tinggi dengan kelancaran optimum. Dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF sebagai standard, tempoh pecutan 0-100 km/j kini menjadi 4.1 saat, berbanding 4.3 saat sebelum ini.

GR Supra terbaru ini turut menerima talaan semula casis dengan pertambahan rod prestasi untuk meningkatkan lagi ketahanannya. Selain penggunaan angkup brek berwarna merah dengan logo Supra di depan, lain-lain spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang ada kekal sama.

Warna badan Deep Blue Metallic kini tidak lagi ditawarkan, tetapi pelanggan masih boleh memilih dari tujuh warna lain — Prominence Red, Lightning Yellow, White Metallic, Silver Metallic, Ice Grey Metallic, Black Metallic dan Matte Storm Grey Metallic.

Toyota GR Supra kini diberi tambahan kuasa 48 PS — dari RM589,987 tanpa SST hingga 31 Disember 2020

Ciri keselamatan standard termasuk sistem-sistem aktif yang bekerjasama untuk membantu pemandu sekiranya perlu. Sebagai tambahan, ada juga ciri seperti sistem pemantau tekanan tayar, sensor parkir pintar dengan fungsi brek kecemasan serta peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang.

Dijual pada harga bermula RM589,987 (*dengan pengecualian cukai jualan dan tidak termasuk insurans) dan RM611,880 (*tanpa pengecualian cukai jualan dan tidak termasuk insurans), GR Supra terbaru kini boleh ditempah melalui bilik-bilik pameran terpilih Toyota GR Garage di seluruh negara.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required