Pada Tokyo Motor Show 2011, peminat jentera-jentera JDM menerima apa yang mereka tunggu sejak sekian lama iaitu model kelahiran semula Toyota Corolla AE86, dikenali sebagai Toyota 86. Dan seperti yang diketahui, pembangunan kereta sport berkenaan bukanlah hasil kerja bersendirian dari Toyota kerana platform dan juga enjin model tersebut adalah dari rakan usahasamanya iaitu Subaru, yang turut memperkenalkan ’86’ versinya sendiri dikenali sebagai Subaru BRZ.

Seperti yang ramai sudah sedia maklum, menerusi pelbagai laporan berita sebelum ini yang menyatakan kerjasama berkenaan diteruskan untuk model generasi kedua, serta teaser yang sudah pun disiarkan, ini dia – Subaru BRZ 2022 sudah pun didedahkan sepenuhnya!

Konsep penghasilan versi generasi baharu ini masih lagi sama seperti dulu; ia adalah kereta sport dua pintu, tanpa kuasa yang besar, di mana keseronokan memandunya disumbangkan dari karekter pengendalian yang dihasilkan dari enjin boxer dengan titik graviti rendah, memacu hanya roda belakang serta dengan badan yang ringan.

Menurut Subaru sendiri, BRZ generasi kedua ini disifatkan sebagai kereta yang “lebih mengujakan, lebih keseronokan pacuan roda belakang, dan lebih semuanya untuk mereka yang serius sukakan apa sahaja berkenaan BRZ.”

Untuk model generasi sebelumnya, rata-rata peminat BRZ (dan juga Toyota 86) mempunyai pendapat yang sama iaitu ia perlu lebih kuasa. Jadi Subaru berikan apa yang mereka mahu pada model baharu ini, namun bukan dengan pengecas turbo, sebaliknya BRZ kini menerima enjin NA dengan kapasiti lebih besar.

Enjin boxer empat-silinder dari siri FA masih lagi digunakan, tetapi ia dalam versi 2.4 liter yang menghasilkan 228 hp pada takat 7,000 rpm, serta tork maksima 249 Nm yang boleh dicapai pada takat 3,700 rpm. Kapasiti yang lebih besar ini sudah tentu melibatkan perubahan pada dimensi omboh, di mana ia kini bukan lagi sebuah enjin jenis square; ukuran bore naik dari 86 mm kepada 96 mm, manakala lejang masih kekal 86 mm menjadikan ia sebuah enjin under-square.

Nisbah mampatan juga kini lebih tinggi dengan meningkat dari 12.5:1 kepada 13.5:1. Maka tidak hairanlah bukan sahaja angka kuasa kuda dan tork naik, malah bacaan puncak untuk kedua-duanya juga dapat dicapai pada takat rpm yang lebih rendah.

Sistem suntikan bahan api berkembar port dan juga terus D4S dari Toyota masih digunakan pada enjin ini, bersama sistem Dual Active Valve Control System (DAVCS) bagi mengawal pemasaan bukaan injap kemasukan dan ekzos. Ia masih digandingkan dengan pilihan dua jenis kotak gear enam-kelajuan sama ada manual atau automatik, manakala LSD jenis Torsen pada gandar belakang kini standard untuk semua model iaitu Premium dan Limited.

Platform untuk BRZ ini pula dihasilkan berdasarkan platform generasi pertama yang ditingkat taraf, seperti yang diketahui ia adalah berasal dari platform Subaru Impreza. Jadi khabar angin yang mengatakan model generasi baharu ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) adalah kekal sebagai khabar angin.

Walau bagaimanapun, platform baharu ini menerima pelbagai elemen dari Subaru Global Platform yang baru. Jadi, ia kini menampilkan ketegaran torsi 50% lebih tinggi menerusi sistem cagak casis yang diperkuat. Secara keseluruhan, model baharu ini adalah lebih panjang dengan ukuran 4,265 mm (+30mm), jarak roda sedikit lebih panjang pada 2,576 mm dan ia kini sedikit lebih rendah pada 1,311 mm (-1 mm). Lebarnya pula tidak berubah dengan dimensi 1,775 mm.

Dengan saiz badan dan kapasiti enjin yang sedikit lebih besar ini turut membuat BRZ generasi kedua sedikit lebih berat. Berdasarkan varian kemasan, ia ditimbang dengan berat 1,277-1,286 kg untuk model manual dan 1,299-1,307 kg untuk model automatik – namun sebagai sebuah kereta sport, julat jisim ini masih dalam kategori ringan.

Secara asasnya, konfigurasi suspensi untuk casis ini juga masih sama iaitu Topang McPherson di hadapan, dan juga double wishbone di belakang. Ia juga masih menggunakan penyerap hentak jenis pasif. Ketegaran lentur sisi kini 60% lebih keras dari sebelum ini bagi memberikan respon dan juga turn-in ketika masuk ke selekoh yang lebih bagus.

Untuk roda pula, model Premium hadir dengan rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar bersaiz 215/45R17, manakala model Limited dibekalkan dengan rim 18-inci 10-jejari dengan dibaluti tayar bersaiz 215/40R18. Dengan kuasa yang lebih besar, BRZ tidak lagi diberikan tayar ‘eco’ bagi menyenangkan ia menggelangsar, tetapi kali ini ia terus menerima tayar prestasi Michelin Pilot Sport 4 pada rim 18-inci tersebut.

Bentuk asas Subaru BRZ generasi kedua ini masih kekal seperti model generasi sebelumnya, tetapi diberikan perubahan drastik pada muka dan bahagian belakang. Muka model ini diberikan lampu hadapan berbentuk seperti air mata yang nampak lebih ‘gemuk’, bersama jalur lampu nyalaan siang LED berbentuk-C di dalamnya (yang turut berfungsi sebagai lampu isyarat membelok).

Manakala pada bampar, ia direka dengan gril bawah yang besar seperti mulut, dan udara ‘dikaut’ menerusi liang udara sisi dengan kemasan berbentuk-L. Bonet hadapan juga menerima rekaan yang menampakkan BRZ ini lebih gemuk, dan ia seakan bersambung dengan rekaan ‘double bubble‘ pada bumbung seperti model generasi pertama.

Pada bahagian sisi, tiada lagi liang udara kecil pada sebelah atas fender hadapan, tetapi digantikan dengan liang lebih besar pada sebelah bawah yang kelihatan seperti mengalirkan udara keluar dari ruang roda hadapan. Aliran tersebut juga kelihatan seperti terhubung dengan ‘otot’ pada fender belakang menerusi skirt sisi yang lebar.

Di belakang, nampaknya Subaru telah pun mula menggunakan elemen rekaan yang diserlahkan pada model konsep Subaru Viziv dan Viziv Performance STI yang dikatakan bakal dijelmakan sebagai model produksi WRX generasi seterusnya. Ia menampilkan lampu berbentuk-C, bersama but belakang yang sedia lentik tanpa spoiler, serta kemasan diffuser yang sangat agresif pada bampar dan turut menempatkan dua tip ekzos berbentuk bulat.

Pada bahagian kabin, BRZ diberikan papan pemuka dengan rekaan yang lebih bersegi dari sebelum ini, namun liang penghawa dingin sisi yang bulat dan besar masih dikekalkan. Ia diberikan skrin infotainmen bersaiz lapan-inci, dan panel instrumen juga kini dalam bentuk digital bersaiz tujuh-inci.

Roda stereng pula nampak seperti diambil terus dari BRZ facelift generasi pertama. Manakala suis-suis putar sistem pendingin hawa, suis-suis kawalan lain yang disusun seperti kunci-piano, dan juga tombol gear walaupun menerima rekaan baharu, tetapi asasnya nampak hampir sama seperti model sebelum ini.

Berita baik, kereta sport ini masih dibekalkan dengan brek tangan manual bagi membolehkan anda melakukan lebih banyak aksi berbanding brek parkir elektronik yang hanya berfungsi untuk memastikan kereta dalam keadaan statik semata-mata.

Untuk model varian Limited, ia hadir standard dengan sistem telematik Subaru. Manakala model-model dengan transmisi automatik, BRZ generasi baharu ini turut menampilkan sistem keselamatan bantuan pemanduan Subaru EyeSight.

Subaru BRZ 2022 ini masih akan diproduksi di kilang Subaru yang terletak di wilayah Gunma, Jepun, sama seperti model generasi pertama. Ia akan mula dijual pada pasaran Amerika Syarikat pada awal musim luruh 2021 sebagai model 2022. Model ini tidak lagi akan ditawarkan di Eropah, berkemungkinan kerana standard emisi yang semakin ketat pada benua berkenaan.