Bulan lalu, Subaru telah mengumumkan bahawa BRZ generasi kedua akan membuat penampilan tahun ini, dan kereta itu telah dipamerkan waktu acara Subaru Tecnica International Subiefest – tapi dengan tirai dan penyamaran penuh. Kini, mereka mengumumkan pula tarikh pendedahan sebenarnya, iaitu 18 November 2021.
Seperti yang kita tahu, BRZ baru ini juga akan mempunyai kembar daripada Toyota yang dipanggil sebagai GR 86, memandangkan kedua-dua syarikat telah bersetuju untuk menyambung kerjasama pembangunan model sports dua pintu ini.
Bersama dengan pengumuman tarikh ini, Subaru of America turut menyiarkan beberapa teaser termasuklah video yang menampakkan beberapa bahagian kereta itu, bunyinya serta gambar jelas lampu hadapan. Syarikat itu juga telah siap menyediakan screenshot daripada video itu untuk memudahkan peminatnya – tapi gambar itu masih tidak berapa jelas.
Berdasarkan petunjuk yang ada sekarang, rekaan lampu hadapan BRZ sama seperti apa yang ditunjukkan waktu acara Subiefest sebelum ini. Bahagian bawah lampu itu mempunyai jalur LED yang bertindak sebagai DRL, dan rekaan ini turut diguna pada prototaip GR 86 yang ditunjuk pada bulan Ogos lalu.
Gambar yang lebih dekat pula menunjukkan perinciannya, di mana jalur LED itu bersambung sehingga ke tepi dan ia berkemungkinan merupakan unit projector LED kerana mempunyai satu lagi elemen pencahayaan di sebelahnya.
Perincian lain adalah termasuk bonet yang lebih berlekuk, dengan garisan yang pergi dekat kepada lampu utama, manakala bahagian bawah bampar pula mendapat kemasan berbentuk C di sekeliling bukaan udara yang direka semula.
Daripada video yang disiarkan, kita juga boleh melihat rekaan rim model baru ini, yang menggunakan rekaan 10 cabang serta angkup brek dua piston di hadapan. Turut kelihatan adalah bukaan udara kecil berhampiran roda hadapan, yang harapnya adalah unit yang berfungsi dan bukan setakat hiasan sahaja.
Untuk bahagian belakang pula, lampunya kini lebih tajam dan pergi lebih panjang ke bahagian tepi. Garis C-pillar yang lebih beralun menjadikan profailnya lebih lembut, dan ia bersambung sehinga ke but yang mempunyai spoiler ducktail. Bentuk asas kereta ini sebenarnya tidak berubah banyak.
Save the screenshots. We did the work for you. Now watch the full video at subaru.com/2022-brz.
Posted by Subaru of America, Inc. on Wednesday, November 4, 2020
Berdasarkan bunyi enjin yang didengar dalam video itu, ia tidak mempunyai sebarang siulan, dan mungkin masih lagi unit empat silinder boxer NA. Ada khabar yang mengatakan kapasitinya ditingkatkan kepada 2.4 liter dan dilengkapi dengan sistem suntikan D-4S daripada Toyota.
Dengan kapasiti lebih besar, kuasanya juga dijangka lebih tinggi, iaitu 217 hp dan 240 Nm tork, berbanding 205 hp dan 212 Nm pada model sekarang. Ia juga sudah jelas menggunakan pacuan roda belakang, dan bakal ditawarkan dengan transmisi automatik serta manual.
Sudah tentu, banyak lagi yang masih belum diberitahu, dan kita perlu menunggu beberapa hari lagi sebelum BRZ generasi baru ini didedah sepenuhnya kepada dunia. Yang pasti, peminat kereta sports pasti gembira dengan ketibaan model ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.