Sejak baru-baru ini semakin banyak pula model sports yang dihidupkan semula. Toyota telah memperkenalkan Supra dan tidak lama lagi, Nissan Fairlady Z generasi baru juga sudah ditunjuk. Kini, satu lagi berita menarik, kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ juga akan diperbaharui.

Dua model ini diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2012, dan kali terakhir ia diberikan peningkatan adalah awal tahun ini. Kewujudan model generasi kedua sudah diberitahu sejak hujung tahun lepas tetapi kini Subaru mengumumkan mereka bersedia untuk mendedahkannya secara rasmi dalam tahun ini.

Setakat ini, cuma satu sahaja gambar teaser rasmi yang dikeluarkan, iaitu seperti yang anda boleh lihat di atas, di mana ia cuma menunjukkan bahagian rim 10 cabang serta sirip udara di belakangnya. Walaubagaimanapun, mereka yang berkunjung ke acara 2020 Subiefest World Record Attempt and Charity Drive di Costa Mesa, California dihidangkan dengan sesuatu yang istimewa.

Mereka dapat melihat bentuk sebenar BRZ 2022 (sebalik tirai berjaring) dan gambarnya mula bertebaran dalam internet, termasuk yang dimuat naik oleh stinicktuned ini. Dari apa yang boleh dilihat, lampu hadapan model ini lebih lonjong, seperti Fairlady Z baru ataupun Porsche Cayman.

Sirip udara seperti dalam gambar teaser juga boleh dilihat pada model yang dipamerkan ini, bersama lampu belakang yang lebih tajam sehingga ke tepi. Di atas bahagian but terdapat sedikit lengkungan seperti ducktail yang menjadikan penampilannya masih nampak menarik tanpa spoiler tambahan.

Model 86/BRZ ini mungkin akan terus menggunakan enjin boxer NA daripada Subaru namun ada peminat yang hadir di acara itu percaya ia adalah unit empat silinder 2.4 liter 217 hp (220 PS) dan 240 Nm tork. Jika benar, ini adalah peningkatan sebanyak 400 cc bagi enjin tersebut, berbanding model yang ada sekarang dan transmisi manual juga sepatutnya disediakan sebagai pilihan.