Porsche 718 Cayman GT4, Boxster Spyder didedahkan – model tertinggi dengan enjin 4.0L, 420 PS/420 Nm!

Porsche 718 Cayman GT4, Boxster Spyder didedahkan – model tertinggi dengan enjin 4.0L, 420 PS/420 Nm!

Varian jalan raya versi tertinggi untuk Porsche 718 iaitu Cayman GT4 dan versi tanpa bumbung Boxster Spyder kini telah pun diperkenalkan secara rasmi. Menurut Porsche, untuk versi terbaharu ini, kedua-dua model Cayman dan Boxster tersebut berkongsi spesifikasi teknikal asas yang sama.

Untuk enjin, kedua-dua 718 ini dijana enjin bentangan boxer enam-silinder 4.0 liter tanpa bantuan turbo, menghasilkan 420 PS pada takat 7,600 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 5,000 rpm hingga 6,800 rpm. Kuasa dari enjin yang diletakkan ditengah badan kereta ini dialirkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear manual enam-kelajuan, bersama gandar lengkap dengan LSD dan juga sistem Porsche Torque Vectoring (PTV).

Berbanding jentera litar sebenar Cayman GT4 Clubsport, kuasa yang dihasilkan oleh model jalan raya ini adalah 5 PS/5 Nm lebih rendah. Namun ia sudah cukup untuk membolehkan 718 Cayman GT4 dan Boxster Spyder ini untuk memecut dari 0-100 km/ dalam masa 4.4 saat, 0-160 km/j dalam 9 saat dan 0-200 km/j hanya 13.8 saat. Cayman GT4 mampu untuk mencatatkan kelajuan maksima 304 km/j, manakala kembar tanpa bumbungnya pula 301 km/j.

Enjin pada model ini juga diberikan teknologi kawalan silinder adaptif yang membolehkan dua silinder dimatikan ketika enjin beroperasi dalam beban rendah. Ini membolehkan Cayman GT4 dan Boxster Spyder mencapai penggunaan bahan api 10.9 l/100 km, manakala penggunaan gasoline particulate filter mencatatkan emisi CO2 pada kadar 249 g/km.

Porsche 718 Cayman GT4, Boxster Spyder didedahkan – model tertinggi dengan enjin 4.0L, 420 PS/420 Nm!

Walaupun ia mempunyai kapasiti 4.0 liter, enjin ini bukan diambil dari 911 GT3 facelift generasi 991, tetapi ia adalah dari enjin Carrera 3.0 liter yang dibuang pengecas turbo, kemudian bore silinder tersebut dibesarkan bagi menghasilkan siri enjin baharu yang digelar 9A2 Evo, lapor Autocar.

Kenapa Porsche tidak ambil sahaja enjin dari GT3? Ketua Porsche GT Andreas Preuninger memberitahu Road & Track bahawa enjin GT3 yang asalnya diletakkan pada bahagian belakang pada 993 tidak muat untuk diletakkan pada 718 kerana ia perlu dipasang pada bahagian tengah badan.

Kemudian, enjin GT3 tersebut juga tidak akan memberikan prestasi yang baik sekiranya ia ditala untuk kuasa yang lebih rendah. Dan sebab yang terakhir, penggunaan enjin GT3 secara tidak langsung akan menaikkan harga 718 Cayman GT4 dan Boxster Spyder berkenaan.

Bukan hanya kuasa, aspek aerodinamik turut diberi perhatian pada model paling berkuasa ini. Pada bahagian hadapan, ia hadir dengan lip spoiler lebih besar, manakala udara yang merentasi roda hadapan akan distabilkan oleh tirai udara. Kemudian bampar belakang direka semula bagi menempatkan diffuser yang berfungsi sepenuhnya, memberikan 30% dari jumlah keseluruhan downforce untuk gandar belakang.

Porsche 718 Cayman GT4, Boxster Spyder didedahkan – model tertinggi dengan enjin 4.0L, 420 PS/420 Nm!

Untuk model Cayman GT4, ia diberikan GT-Wing yang menghasilkan 20% downforce lebih tinggi dari model sebelumnya. Manakala untuk Boxster Spyder, ia dilengkapi spoiler aktif yang akan keluar secara automatik pada kelajuan 120 km/j. Secara keseluruhan, downforce yang dihasilkan oleh pakej aerodinamik baharu adalah 50% lebih tinggi ‘tanpa menjejaskan daya seretan’ menurut Porsche.

Khas untuk Boxster Spyder, Porsche memadankan bumbung mudah alih ringan bersama mekanisma manual bagi memastikan ia kekal ringan, dalam masa yang sama ‘masih mampu bertahan pada kelajuan maksima’.

Casis kedua-dua Cayman 718 ini ini juga hadir dengan sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) yang membolehkan model tertinggi ini ‘duduk’ 30 mm lebih rendah dari versi standard. Untuk pemanduan yang lebih hardcore, Porsche Stability Management (PSM) boleh dinyahaktif dalam dua langkah.

Untuk sistem brek pula, model ini menampilkan angkup aluminium monoblok tetap secara standard, tetapi pembeli boleh memilih opsyen cakera komposit seramik PCCB. Kedua-dua model 718 ini dibekalkan dengan tayar UHP, membolehkan ia mencatat masa 10-saat lebih pantas di Nurburgring Nordschleife berbanding model terdahulu.

Jika anda rasa Cayman GT4 dan Boxster Spyder ini masih belum cukup hardcore, pakej Clubsport turut ditawarkan, terdiri dari komponen-komponen yang fokus kepada pemanduan litar seperti roll bar besi, pemadam api dan juga tali pinggang enam-point untuk pemandu.

Di UK, Porsche 718 versi paling berkuasa ini sudah pun boleh ditempah, di mana Cayman GT4 dijual pada harga bermula £75,348 (RM394,605), manakala Boxster Spyder pula berharga £73,405 (RM384,424). Di Amerika pula, Cayman GT4 akan dijual pada harga US$100,450 (RM420,041) dan kembar Boxster Spyder pula dijual dengan harga US$97,550 (RM407,915).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required