Nissan Z Proto didedahkan – kelahiran semula Datsun 240Z dengan enjin turbo berkembar, transmisi manual!

Nissan Z Proto didedahkan – kelahiran semula Datsun 240Z dengan enjin turbo berkembar, transmisi manual!

Ketika Toyota GR Supra didedahkan, kita boleh lihat sebahagian peminat-peminatnya melontarkan pelbagai kritikan terhadap model generasi baharu tersebut, antaranya ada yang menyatakan bahawa ia adalah BMW, dan rupanya tidak sama dengan model generasi keempat JZA80 serta tidak secantik model konsep Toyota FT-1.

Rasanya perkara yang sama tidak langsung akan diluahkan oleh peminat model Fairlady Z dari Nissan ketika model prototaip untuk generasi seterusnya didedahkan sebentar tadi – model yang masih digelar sebagai Z Proto tersebut adalah projek 100% dari Nissan, dan ia menyerlahkan dengan jelas rupa model klasik kereta sport Z generasi pertama iaitu Nissan Fairlady 240Z/Datsun 240Z S30Z!

Walaupun ia masih dalam bentuk prototaip, Presiden Nissan Makoto Uchida mengesahkan bahawa ini bukan kereta konsep dan bentuknya adalah sangat hampir pada bentuk produksi. Anda boleh lihat hampir kesemua bahagian pada model generasi baharu ini dihasilkan berdasarkan rupa pada 240Z.

Nissan Z Proto didedahkan – kelahiran semula Datsun 240Z dengan enjin turbo berkembar, transmisi manual!

Pertama sekali pada mukanya – ia diberikan bonet hadapan yang panjang bersama bonjol tengah berbentuk-V, dan juga dua lagi bonjol sisi yang masing-masing berhubung terus dengan lampu hadapan. Lampu berkenaan juga direka seakan lampu 240Z, atau lebih spesifik dari model ‘homologation special’ 240ZG yang menampilkan pelindung lutsinar diluarnya, mankala dua jalur LED lengkung di atas dan bawah membayangkan lampu bulat pada model klasik tersebut.

Sekali tengok, bampar hadapan Z Proto ini kelihatan seperti bampar model generasi Z33 350Z, tapi jika anda lihat dengan lebih teliti, ia sebenarnya masih diinspirasikan dari 240Z yang menggunakan spoiler hadapan tambahan seperti watak anime/manga Wangan Midnight, ‘Devil-Z’.

Pada bahagian sisi, garis badan Proto Z ini tidak boleh dinafikan bahawa ia sama seperti 240Z. Ia tampil dengan bumbung yang curam kebelakang dan juga tingkap cermin sisi belakang yang bersaiz kecil. Untuk menambah imej retro model ini, ia turut diberikan satu jalur kemasan krom sepanjang atas tingkap terus ke sisi pintu hatch belakang.

Oh ya, logo ‘Z’ pada bahagian sisi atas belakang ini dan pada bahagian-bahagian lain juga kini kembali menggunakan logo lama seperti pada 240Z.

Di belakang, Nissan menyatakan lampu dan juga keselurhan panel berwarna hitam pada bahagian tersebut adalah diinspirasikan model generasi keempat Z32 300ZX. Namun ia tidak kelihatan janggal kerana 240Z juga menampilkan lampu belakang dengan elemen rekaan dua bar melintang.

Bampar belakang Z Proto ini menerima kemasan diffuser gentian karbon yang besar dan turut menempatkan dua tip ekzos. Emblem ‘Fairlady Z’ dengan tulisan sama seperti pada model S30Z turut dilekatkan pada sebelah kanan pintu hatch model prototaip generasi baharu ini.

Nissan Z Proto didedahkan – kelahiran semula Datsun 240Z dengan enjin turbo berkembar, transmisi manual!

Rupa luaran Z Proto ini dilengkapkan dengan warna dua tona; badan kuning dengan bumbung hitam, kemasan-kemasan gentian karbon pada spoiler hadapan dan skirt sisi, serta rim aloi 19-inci dalam kemasan emas gelap, bersama tayar yang diberikan tulisan putih ‘Nissan Z’ bagi memberikan perisa retro sebenar.

Elemen rekaan 240Z bukan hanya untuk luaran, malah ia turut dibawa ke kabin. Anda boleh lihat dengan jelas rekaan ikonik roda stereng tiga jejari ‘deep dish’ dan juga ‘meter tiga-beradik’ pada bahagian atas tengah papan pemukan sama seperti S30Z diterapkan pada Z Proto ini.

Namun rekaan tersebut diubah sedikit di mana meter dan juga segala kawalan pada konsol tengah lebih dihalakan kepada pemandu, dan diadun bersama teknologi moden dengan kelengkapan seperti panel instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.3-inci dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh.

Nissan Z Proto didedahkan – kelahiran semula Datsun 240Z dengan enjin turbo berkembar, transmisi manual!

Nissan masih belum memperincikan spesifikasi mekanikal pada kereta sport Z generasi baharu ini. Namun apa yang telah disahkan, ia akan kembali dijana enjin V6 dengan dua pengecas turbo seperti Z33 300ZX, dan juga menerima kotak gear manual enam-kelajuan – sistem transmisi ini satu lagi ciri yang tidak ditawarkan pada lawan senegaranya Toyota GR Supra.

“Z adalah lebih dari sekadar berkuasa dan lincah. Ia direka bagi mewujudkan hubungan antara pemandu, bagi menjadikan kereta tersebut sebagai teman untuk menari untuk pengembaraan mereka di atas jalan,” kata ketua pakar produk Z Proto, Hiroshi Tamura.

Menerusi pelbagai laporan media sebelum ini, dalam bentuk produksi, Proto Z ini akan digelar sebagai 400Z, dan akan dihasilkan menggunakan platform FM (asas yang sama seperti Infiniti Q60 Coupé) yang diolah semula. Ia akan dijana oleh enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar menjana lebih dari 400 hp/500 Nm dan kuasa berkenaan dihasilkan sepenuhnya dari kaedah pembakaran dalaman konvensional, tanpa sebarang bantuan sistem hibrid elektrik walaupun Nissan kini sedang beralih ke teknologi elektrifikasi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required