PANDU UJI: Infiniti Q60 Coupe 2.0L Turbo – jentera sport yang istimewa dari perspektif berbeza

Jika anda mahukan sebuah coupe 2-pintu dengan saiz seperti BMW 4 Series, apa pilihan yang ada untuk anda dari pasaran tempatan? Tentunya dua lagi coupe juga dari Jerman iaitu Mercedes-Benz C-Class Coupe dan juga Audi A5 Coupe. Boleh dikatakan ketiga-tiga model tersebut kini mendominasi segmen berkenaan dan biasa dilihat ditempat-tempat ‘high-end‘ sekitar Kuala Lumpur bukan?

Awal bulan ini, sebuah lagi coupe dalam kelas tersebut telah masuk ke pasaran Malaysia, yang sedikit berlainan dari tiga model tadi. Ia dihasilkan oleh jenama yang masih lagi belum membanjiri segmen premium di Malaysia, dan ia bukan buatan Jerman – ia adalah produk divisi mewah Nissan, digelar Infiniti Q60 Coupe.

Model ini membuat kemunculan globalnya pada tahun 2016 di North American International Auto Show (NAIAS), Detroit, dan ia sebenarnya merupakan versi coupe dari sedan empat-pintu Q50. Rupa luaran Q60 versi produksi ini juga boleh dikatakan sangat mirip dengan model konsepnya yang mula didedahkan pada tahun 2015. Seminggu selepas dilancarkan di Malaysia, kami diberi peluang untuk memandu coupe ini menerusi sesi pandu uji media yang dianjurkan oleh Inspired Motors, pengedar sah Infiniti di Malaysia.

Q60 diberikan lampu hadapan LED dengan jalur LED lampu nyalaan siang yang direka seolah-olah sedang memberikan renungan yang provokatif. Kedua-dua lampu hadapan kelihatan berhubung antara satu sama lain menerusi gril dengan bahagian luaran kemasan krom, yang direka dengan konsep lengkung berkembar (bahagian atas seolah-olah imej cermin untuk bahagian bawah).

PANDU UJI: Infiniti Q60 Coupe 2.0L Turbo – jentera sport yang istimewa dari perspektif berbeza

Grill tersebut sebenarnya menggambarkan jambatan, manakala cerminan di bawahnya mewakili imej jambatan yang muncul pada permukaan air. Bentuk seakan anak panah juga diberikan pada bahagian tengah ‘jambatan’ yang bersambung dengan bahagian badan kereta ini. Menurut Infiniti, bahagian tersebut sebenarnya adalah sambungan kepada logo Infiniti yang berada di bawahnya, di mana logo tersebut sendiri bermaksud ‘jalan yang tidak berpenghujung (infiniti)’.

Keseluruhan badan kereta ini diberi rekaan yang mendebarkan dengan garisan-garisan badan yang begitu kompleks. Dua tulang diberikan pada bonet hadapan yang memberikan imej maskulin tambahan pada mukanya. Benjolan-benjolan turut diberikan pada setiap ruang roda memberikan rupa yang berotot pada badannya.

Tidak cukup dengan itu, garisan bahu yang cukup menyerlah diberikan yang bermula pada lampu hadapan, terus ke otot belakang menerusi pintu dan melalui pembuka pintu. Gaya yang agak gagah ini juga dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi kemasan dua ton berdiameter 19-inci, dibaluti tayar Dunlop SP Sport Maxx 050 bersaiz 255/40R19.

Jika BMW terkenal dengan ‘Hofmeister Kink‘ pada tiang cermin belakang, Infiniti telah membina imejnya tersendiri pada bahagian tersebut dengan menampilkan rekaan berbentuk sabit di sudut bawah tingkap sisi belakang.

Beralih ke belakang, penutup but Q60 diberikan spoiler yang terbina sekali dan kelihatan bersambung dengan garisan bahu. Lampu belakang Q60 ini direka dengan bentuk seakan model empat-pintunya iaitu Q50, tetapi lebih tirus dan bahagian hujung sebelah luar kelihatan mengalir kebawah. Berbanding Q50 yang menampilkan plat nombor pendaftaran pada penutup but, plat untuk Q60 pula dialihkan ke bampar untuk memberikan rupa keseluruhan bahagian belakang yang lebih landai.

Bampar belakang juga diberikan kemasan seperti diffuser di bahagian bawah, yang turut menempatkan dua tip ekzos berbentuk-oval. Ia turut disertai kemasan seperti liang udara pada bahagian hujung, yang direka bagi menyeimbangkan rekaan liang udara pada bampar hadapan.

Masuk ke kabin, tiada paparan instrumen digital sepenuhnya diberikan – pemandu akan berhadapan dengan dua meter analog utama memberikan bacaan rpm enjin dan juga kelajuan kereta. Namun, ia tetap diberikan skrin paparan informasi TFT berwarna 5-inci pada bahagian tengah yang memberikan pelbagai maklumat.

Secara keseluruhan, papan pemuka Q60 ini tidaklah begitu radikal seperti penampilan bahagian luarnya. Ia menampilkan konsol tengah yang besar untuk membahagikan kiri dan kanan. Liang penghawa dingin tengah yang direka menegak mengapit skrin paparan navigasi yang terletak dibahagian paling atas. Di bawahnya pula diletakkan pula skrin sesentuh untuk sistem infotaimen Infiniti InTuition, diapit oleh suis-suis kawalan penghawa dingin.

PANDU UJI: Infiniti Q60 Coupe 2.0L Turbo – jentera sport yang istimewa dari perspektif berbeza

Selain dari sentuhan, sistem infotaimen berkenaan boleh juga dikawal dengan suis putaran yang terletak dibelakang tuil penukar gear. Sistem tersebut juga dihubungkan kepada sistem audio Bose Performance yang terdiri dari 13-pembesar suara.

Q60 diberikan tempat duduk balutan kulit semi-aniline (dengan dua pilihan warna, Graphite atau Gallery White) larasan berkuasa (14 hala dan memori untuk pemandu, 12 hala untuk penumpang) dan turut diberikan mekanisma bagi memudahkan penumpang belakang masuk dan keluar. Selain dari selesa, tempat duduk pemandu yang disertakan dengan larasan untuk bahagian penyokong sisi ini juga mampu memegang badan anda dengan tetap dan kemas.

Bercakap tentang kabin belakang, bahagian belakang coupe ini masih lagi boleh menyediakan ruang lutut yang cukup untuk dewasa, dengan tempat duduk yang agak selesa, namun ruang kepalanya agak terhad kerana bumbung belakang direka begitu rendah.

Untuk menonjolkan imej yang sporty, tiada kemasan kayu diberikan tetapi warna hitam yang mendominasi kabin coupe ini disulami dengan panel-panel aluminium dan juga serlahan jahitan benang putih pada tempat duduk, papan pemuka, tombol gear dan juga roda stereng.

PANDU UJI: Infiniti Q60 Coupe 2.0L Turbo – jentera sport yang istimewa dari perspektif berbeza

Infiniti Q60 dijana oleh enjin 2.0 liter empat-slinder turbo, menghasilkan kuasa 211 hp pada takat 5,500 rpm dan juga tork maksima 350 Nm bermula 1,250 hingga 3,500 rpm. Kuasa berkenaan kemudiannya dihantar ke gandar belakang menerusi transmisi automatik tujuh-kelajuan 7G-Tronic.

Angka kuasa dan transmisi berkenaan macam pernah dengar? Enjin dan kotak gear dari Q60 ini sebenarnya merupakan unit yang sama menjana Mercedes-Benz C 250 dan ia juga menerima talaan yang sama pada model dari Jerman berkenaan. Tetapi, dengan berat badan 1,719 kg, pecutan dari 0-100 km/j mengambil masa 7.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 235 km/j. Berbanding Merc yang hanya mempunyai berat hanya 1,480 kg, ia mampu mencatatkan 6.8 saat pada jarak pecutan sama.

Fakta-fakta diatas cuma angka-angka yang dicatatkan di dalam brosur, bagaimana pula prestasi sebenarnya ketika dipandu? Secara jujur, Q60 tidak menyajikan letusan kuasa yang mendebarkan ketika anda memijak pedal pendikit secara agresif. Bukan bermakna ia tidak laju, tetapi ia hanya memberikan perasaan seakan memandu sebuah sedan mewah empat pintu seperti Mercedes-Benz E200.

Kuasa yang diberikan agak linear, memudahkan anda untuk menjangkakan kuasa yang bakal menerjah, tetapi seperti yang disebutkan tadi, boost turbo yang diberikan tidak punchy, dan tidak memberikan debaran daya-G yang membolehkan anda melekap ke tempat duduk pemandu.

PANDU UJI: Infiniti Q60 Coupe 2.0L Turbo – jentera sport yang istimewa dari perspektif berbeza

Karekter enjin berkenaan turut menyamai karekter pada transmisinya. Ia memberikan tukaran gear yang cukup selesa, terlalu selesa sehingga ‘sentapan’ yang diharapkan ketika anda mahukan tukaran secara cepat dan agresif tidak dapat dirasa walaupun menggunakan mod Sport.

Saya agak terkejut bila mana saya perlukan tukaran turun dan naik gear secara manual (memandangkan kawalan komputer yang tidak cukup pantas), stereng coupe ini tidak dilengkapi dengan pedal penukar gear dan tukaran perlu dilakukan pada tombol. Agak janggal sebenarnya memandu sebuah kereta yang kelihatan garang sebegini tetapi tiada pedal penukar gear. Namun, seperti juga kereta-kereta mewah buatan Eropah, coupe ini memberikan ‘cruising speed‘ yang agak selesa di lebuhraya pada kelajuan sekitar 160-170 km/j.

Q60 pasaran Malaysia tidak dilengkapi dengan sistem Direct Adaptive Steering (DAS) yang menampilkan teknologi steer-by-wire, sebaliknya ia diberikan sistem stereng berkuasa elektronik-hidraulik. Saya agak suka dengan tindak balas stereng yang diberikan kerana ia masih bersifat natural – tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat, serta anda dapat merasakan apa yang terjadi pada permukaan jalan.

Walaupun enjin 2.0 liter turbo pada perut coupe ini tidak memberikan respon yang agresif, talaan suspensi yang diberikan adalah agak sporty. Kami tidak melalui jalan lama untuk perjalanan ke Pulau Pinang kali ini, jadi pengendalian hanya dapat diuji pada selekoh laju pada lebuhraya.

PANDU UJI: Infiniti Q60 Coupe 2.0L Turbo – jentera sport yang istimewa dari perspektif berbeza

Tiada masalah untuk anda mengambil selekoh pada kelajuan 180 km/h pada lebuhraya, dan ia masih mampu untuk mengubah lorong pada kelajuan tersebut dengan mudah. Talaan yang diberikan pada suspensi double wishbone di hadapan dan multi link di belakang yang agak keras, membolehkan ia memberikan kestabilan, kurang daya olengan dan melekat atas permukaan jalan walaupun dipandu sedemikian.

Cuma, keselesaan Infiniti Q60 ini masih ditahap kereta Jepun kerana ia tidak dapat memberikan keseimbangan antara pengendalian dan keselesaan pada tahap lebih tinggi di mana ‘kejutan badan’ agak terasa ketika ia dipandu pada permukaan tidak rata – mungkin penggunaan rim 19-inci juga menyumbang pada faktor ini.

Satu lagi yang menarik ketika memandu Q60 adalah kadar rendah NVH yang dihasilkan. Coupe ini diberikan ciri Active Noise Cancelation yang meneutralkan bunyi jalan dengan memberikan signal bertentangan, membolehkan anda mendengar muzik dengan berkomunikasi dengan lebih jelas walaupun pada kelajuan tinggi. Ia turut diberikan cermin hadapan akustik untuk menyisihkan bunyi yang tidak diingini pada ruang enjin dari masuk ke kabin.

Infiniti Q60 coupe dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insuran RM308,800 – berbanding Mercedes-Benz C 250 coupe AMG Line yang diberikan enjin dan transmisi sama dijual pada harga RM333,888. Infiniti turut menawarkan tempoh jaminan tujuh tahun tanpa had perbatuan untuk model ini, yang setakat ini tidak dapat lagi ditandingi oleh mana-mana saingannya.

Namun, visi saya untuk coupe yang tidak berapa praktikal sebegini, ia perlulah hadir dengan kuasa yang membuatkan anda ketagih untuk memandunya – namun Q60 dengan enjin 2.0 liter turbo ini tidak memberikan impak sedemikian.

Tetapi, terma kepuasan setiap individu tentu tidak sama bukan? Q60 diberikan rupa agresif, dramatik serta berbeza dengan saingannya yang lain. Ia pastinya akan menangkap mata orang ramai untuk menoleh melihatnya. Rupa kereta ini yang tersendiri tentunya akan membuatkan pemiliknya berada pada satu status yang istimewa – mungkin aspek ini merupakan sesuatu yang tidak ternilai dengan wang dan memberikan kepuasan untuk anda.