Infiniti Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model Infiniti Q60, sebuah model coupe sports tak lama selepas model berkenaan dikesan sedang diuji di sini April lalu. Menggantikan model terdahulu G35 dan G37, Infiniti Q60 ini ditawarkan hanya dalam satu varian dan diimport sepenuhnya dari Jepun.

Dijual pada harga RM308,800 atas jalan termasuk insurans dan hadir dengan tempoh jaminan tujuh tahun tanpa had perbatuan. Sebagai pilihan, terdapat lima warna ditawarkan; Majestic White, Graphite Shadow, Iridium Blue, Midnight Black dan Dynamic Sunstone Red. Bagi mereka yang berminat boleh mendaftar untuk sesi pandu uji yang akan dibuka bermula 7 Mei.

Infiniti Q60 baru ini mengguna enjin 2.0 liter turbocaj empat-silinder yang menjana 211 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork dari 1,250 rpm hingga 3,500 rpm. Infiniti menggunakan enjin dan kotak gear dari Mercedes-Benz, dan untuk model ini hadir dengan talaan yang sama bagi Mercedes-Benz C250 Coupe, yang dijual pada harga RM334,000.

Enjin suntikan terus itu dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan automatik, pacuan roda belakang. Ia didakwa mampu mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat, dengan kelajuan maksimum 235 km/j.

Model ini turut dilengkapi dengan ciri Adaptive Shift Control (ASC) yang memodulasi corak penukaran gear bergantung kepada keadaan topografikal semasa. Sistem ini turut memantau tabiat pemanduan dan menerapkannya mengikut maklum balas pemandu.

Ciri lain yang turut melengkapinya adalah Drive Mode Selector (DMS), yang menawarkan empat mod pemanduan – Standard, Snow, Personal dan Sport. Selain itu, Direct Adaptive Steering generasi kedua dan sistem suspensi standard (tiada Dynamic Digital Suspension).

Aspek luaran, model ini dilengkapi dengan rim aluminium dua-tona bersaiz 19-inci, dengan tayar 255/40 run-flat, lampu utama LED dengan light guides, lampu kabus LED serta lampu belakang juga dari jenis LED.

Di ruang dalam, sistem infotainmen bagi Q60 ini dikendalikan oleh perisian InTouch, dan dihubungkan kepada dua paparan skrin (8 inci di atas dan 7 inci di bawah). Sistem berkenaan turut dilengkapi dengan ciri CD, MP3 dan USB. Begitu juga dengan sistem navigasi serta simpanan pelbagai profil pemandu yang dihubungkan pada sistem Intelligent Key.

Tempat duduknya boleh dilaras dari 14 cara menjadi ciri standard model ini. Upholstery pula menggunakan material kulit dalam warna Gallery White atau Graphite serta kemasan aluminium di beberapa bahagian kabin kenderaan. Sistem audio pula adalah dari Bose Performance Series, juga dengan ciri lampu suasana, sunroof serta kawalan pendingin hawa dwi-zon.

Bagi mengurangkan bunyi enjin yang kedengaran dari dalam kabin, model ini turut disertakan dengan ciri Active Noise Cancellation serta cermin utama akustik. Bagaimanapun, jika anda ingin mendengar bunyi enjin, hanya perlu aktifkan ciri Active Sound Enhancement dari dalam antaramuka InTouch.

Dari sudur keselamatan, Q60 terbaru ini dilengkapi dengan enam beg udara, serta bahagian hud enjin yang boleh tertanggal bagi tujuan keselamatan pejalan kaki. Selebihnya, ESC, kawalan kestabilan, BAS dengan EBD dan Brake Assist turut tersedia.