GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

Selain dari Prius, Toyota turut melancarkan satu lagi model ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2024 – ini dia, versi facelift untuk hot-hatch homologasi Kejohanan Rali Dunia (WRC), Toyota GR Yaris 2024!

Model ini telah membuat kemunculan sulung globalnya di Tokyo Auto Salon 2024 awal tahun ini, dan nampaknya Indonesia menjadi negara terawal di ASEAN yang menerimanya. Seperti yang diketahui sebelum ini, GR Yaris sudahpun ditawarkan dalam versi kotak gear manual, dan ia dijual pada harga 1,198,000,000 rupiah (RM345,900) di Indonesia. Versi manual juga masih ditawarkan, dijual pada harga lebih murah iaitu 1,150,000,000 rupiah (RM332,000).

GR Yaris facelift 2024 ini masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama seperti sebelumnya. Ketika diperkenalkan di Jepun Januari lalu, kuasa untuk enjin berkenaan diumumkan meningkat dari 272 PS/370 Nm kepada 304 PS/400 Nm. Namun untuk versi yang dieksport ini ia disahkan menghasilkan kuasa 280 PS and 390 Nm.

Jadi ia sebenarnya mendapat tambahan kuasa sebanyak 19 PS/30 Nm kerana GR Yaris untuk pasaran luar Jepun sebelum ini menjana 261 PS/360 Nm. Ini cukup untuk membolehkan GR Yaris 2024 membuat pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, atau 0.3 saat lebih laju dari sebelum ini.

GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

Bagi model manual, ia masih menerima kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala bagi pilihan versi transmisi automatik yang baru ditawarkan menerusi model facelift ini, ia dibekalkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik yang diberi nama Gazoo Racing Direct Automatic Transmission.

Kotak gear ini akan “belajar” bagaimana rentak pemandu memijak pedal brek dan pedal pendikit bagi membolehkan ia membuat anggaran lebih tepat bila gear perlu ditukar walaupun sebelum perubahan dalam tingkah laku kenderaan berlaku. Dengan itu gear akan ditukar secara automatik dalam tempoh masa hampir sama ketika pemandu berniat menukar gear tersebut, seterusnya akan memberikan tukaran gear yang hampir sama bagaimana pemandu profesional menukar gear, dakwa TGR.

Kotak gear AT ini didatangkan dengan penyejuk minyak ATF secara standard. Ia juga menggunakan material geseran yang sangat tahan panas pada klac penukar gear, bersama penambahbaikkan dibuat pada perisian kawalan transmisi bagi memberikan ‘tukaran gear berkelas-dunia’. Dengan jumlah gear yang lebih banyak berbanding versi manual, kotak gear automatik 8AT ini juga dapat memastikan enjin sentiasa berada pada lengkuk kuasa.

GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

GR Yaris facelift ini juga menerima satu lagi perincian pemanduan baharu yang digelar Drive Mode Select. Menerusi fungsi ini, sistem stereng kuasa elektrik (EPS), penghawa dingin dan unit rangkaian kuasa (enjin dan kotak gear) akan menerima talaan spesifik Sport, Normal atau Eco yang boleh dipilih oleh pemandu. Manakala fungsi pemilih mod 4WD pula adalah sama seperti sebelum ini.

Casis asal GR Yaris yang sememangnya sangat tegar diberikan lebih penambahbaikkan pada model facelift ini. Jumlah bolt yang mengikat badan kereta kepada penyerap hentak telah ditambah dari hanya satu kepada tiga bagi mengelakkan jajaran roda berubah ketika pemanduan, seterusnya meningkatkan input stereng serta memberikan kestabilan kawalan lebih baik.

TGR turut menambah bilangan titik kimpalan (spot weld) sekitar 13% lebih banyak dan menambah jumlah kawasan di mana perekat sturktur digunakan sekitar 24% lebih banyak bagi memberikan ketegaran badan lebih tinggi, seterusnya memberikan pengendalian dan keselesaan ketika memandu.

GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

Satu lagi ciri baharu pada GR Yaris facelift ini adalah Circuit Mode. Menerusi mod ini, ia akan memberikan talaan paling optima bagi pemanduan di litar dengan memberikan fungsi termasuk kawalan anti-lag, pengehad kelajuan dikurangkan sebaik sahaja kereta memasuki litar (dikesan melalui GPS), kipas enjin yang berpusing pada kelajuan penuh dan juga penunjuk penukar gear diberikan pada paparan instrumen. Setiap fungsi ini turut boleh diubah menerusi aplikasi telefon pintar.

Pada bahagian luaran, perubahan rekaan yang dibuat bukan hanya bersifat kosmetik kerana ia berfungsi bagi meningkatkan prestasi. Pada bahagian hadapan, gril pada bahagian bawah menampilkan mesh logam yang sangat nipis bagi mengurangkan beratnya, namun ia masih sangat kuat serta menyerlahkan tulisan “GR Four” pada elemen sarang lebah tersebut.

Manakala kemasan pada bahagian bawah kedua-dua sisi bampar hadapan direka agar ia boleh diasingkan dari bahagian utama, bagi memudahkan sebarang pembaikan atau restorasi dibuat dengan lebih mudah. Liang aliran udara juga direka lebih besar untuk penyejukkan yang lebih baik.

Terdapat juga liang udara pada bahagian sisi bagi mengeluarkan haba dari unit sub-radiator dan penyejuk minyak ATF. Liang udara pada bahagian bawah bampar belakang direka bagi membebaskan aliran udara bawah lantai, membolehkan daya seretan dikurangkan dan haba dari peredam bunyi juga dialir keluar.

GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

Kluster lampu belakang baharu pada GR Yaris ini juga direka bukan hanya untuk rupa semata-mata. Menurut TGR, bahagian atas dan bawah lampu tersebut menampilkan rekaan yang boleh mengurangkan risiko kerosakan serta memberikan penglihatan lebih baik. Lampu brek ketiga juga tidak lagi diletak pada spoiler belakang, sebaliknya diasingkan bagi membolehkan spoiler tersebut direka lebih baik. Logo Toyota juga tidak lagi dilekat pada pintu hatch GR Yaris facelift ini.

Model pasaran Indonesia ini didatangkan standard dengan Performance Pack (sama seperti model yang dijual di Malaysia sebelum ini), jadi ia menerima perincian seperti LSD jenis torsen pada gandar hadapan dan belakang, serta set rim aloi BBS 18-inci.

Dalam kabin, perubahan lebih drastik diberikan terutamanya pada bahagian papan pemuka. Papan pemuka GR Yaris facelift ini mungkin nampak pelik, namun ia sebenarnya lebih mengutamakan pemandu dan direka diinspirasikan dari jentera lumba GR Yaris yang digunakan dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance dan dan juga Kejohanan Rali Jepun.

Bahagian konsol tengah papan pemukan berkenaan telah dipalingkan 15 darjah menghadap pemandu, bagi memudahkan segala paparan dilihat dan juga suis pada bahagian tersebut mudah dicapai oleh pemandu. Bagi model manual, tombol gear telah dinaikkan 75 mm lebih tinggi berbanding tombol gear pada model CVT sebelumnya.

GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

Berbeza dari versi pre-facelift yang hanya menampilkan paparan meter analog, model kemaskini ini menerima paparan instrument digital penuh dengan skrin 12.3-inci. Skrin berkenaan memberikan lebih banyak maklumat seperti suhu ATF bagi model automatik, penunjuk posisi gear dengan amaran tukaran gear, rekaan susunan meter berbeza mengikut mod pemanduan dan pelbagai lagi.

Rekaan tempat duduk hadapan GR Yaris baharu ini mungkin nampak sama seperti sebelum ini. Namun sebenarnya Toyota telah merendahkan posisi duduk sebanyak 25 mm, selari dengan kedudukan roda stereng yang juga kini lebih rendah.
Sudut pandangan pada cermin depan juga kini lebih baik kerana kedudukan cermin pandang hadapan di tengah telah dialih lebih ke atas serta konsol tengah telah direndahkan lagi 50 mm.

Selepas dilancarkan di Indonesia, boleh dijangkakan Toyota GR Yaris facelift 2024 ini bakal dilancarkan di negara ASEAN yang lain seperti Thailand dan juga Malaysia. Dengan adanya pilihan kotak gear automatik, mungkin saingan untuk mendapatkan hot-hatch yang dihasilkan terhad ini akan lebih sukar dari sebelum ini?

Toyota GR Yaris facelift 2024 manual di GIIAS 2024

Toyota GR Yaris facelift 2024 automatik di GIIAS 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required