Kia turut mengambil kesempatan mempamerkan dua model elektrik terbaharunya, EV9 dan juga EV6 dalam acara EVx 2024 yang sedang berlangsung di Setia Convention Centre, Setia Alam.
Untuk model SUV elektrik EV9, SUV tiga-barisan tempat duduk ini dilancarkan di pasaran Malaysia pada 11 Jun lalu, dijana oleh bateri bervoltan tinggi 99.8 kWh, dan dilengkapi dua motor elektrik yang menyalurkan kuasa ke gandar hadapan dan belakang menerusi transmisi e-Shift. Satu cas penuh membolehkan EV9 mencapai jarak perjalanan hingga 505 km. Janaan kuasa keseluruhannya mencecah 380 hp dan 700 Nm tork.
Manakala bagi EV6 pula, yang telah berada di pasaran Malaysia sejak Jun 2022, diberikan penjana kuasa yang menyaksikan gandingan dua motor elektrik untuk pacuan semua-roda yang mampu menghasilkan keseluruhan output mencecah 325 PS (321 hp atau 239 kW) dan tork 605 Nm. Ia memboleh EV6 dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.2 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai hingga 183 km/j.
Selain Kia, jenama automotif lain yang turut mengambil bahagian dalam acara ini termasuklah BMW, MINI, smart, Hyundai, Lotus, Mercedes-Benz dan Chery, selain Kineta dan Trapo.
Menerusi acara EVx 2024 ini, banyak ganjaran menarik menanti anda yang menempah mana-mana model EV di sini. Ganjaran tersebut termasuk baucar bernilai RM1,500 yang merangkumi baucar RM500 untuk filem penapis haba (V-Kool), RM500 untuk alas lantai kereta (DodoMat) dan RM500 untuk kerusi kulit kustom (DK Schweizer). Kesemua baucar ini akan diberikan secara terus di EVx 2024 dan terhad untuk 100 tempahan pertama sahaja.
Bukan itu sahaja, para pengunjung juga berpeluang memandu uji mana-mana model yang berkenaan di hati. Selain itu, anda juga akan dapat mempelajari semua tentang pelbagai aspek elektrifikasi melalui ceramah oleh pakar industri dan mengetahui bagaimana rasanya hidup dengan EV melalui forum perbincangan pemilikan yang diadakan dalam acara selama dua hari ini. Jika ada kelapangan, jangan lupa ke Setia Convention Centre, Setia Alam kerana EVx 2024 akan berlangsung sehingga esok (21 Julai) dari jam 9 pagi hingga 7 malam dan kemasukan adalah percuma!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.