Untuk pasaran tempatan, Kia EV9 2024 mula dibuka untuk tempahan pada April lalu, dan kemudian pada Mei telah diperkenalkan kepada umum. Hari ini, model SUV elektrik terbaru Kia ini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia.
Datang dalam dua varian iaitu GT Line enam-tempat duduk dan juga versi tujuh-tempat duduk, kedua-duanya dijual pada harga RM369,668 dan RM374,668 — yang merupakan harga atas jalan tidak termasuk insurans. Kia EV9 2024 merupakan model kedua Kia yang menggunakan Electric Global Modular Platform (E-GMP). Ia mempunyai ukuran dimensi 5,010 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,755 mm tinggi dengan jarak roda 3,100 mm. Jarak kelegaan tanahnya pula ialah 177 mm.
SUV elektirk tiga-barisan tempat duduk ini dijana oleh bateri bervoltan tinggi 99.8 kWh, dan dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menyalurkan kuasa ke gandar hadapan dan belakang menerusi transmisi e-Shift. Satu cas penuh membolehkan EV9 mencapai jarak perjalanan hingga 505 km. Janaan kuasa keseluruhannya mencecah 380 hp dan 700 Nm tork.
Baterinya boleh dicas menggunakan pengecas AC Type 2 dengan 11 kW yang akan mengambil masa sekitar 10 jam 30 minit untuk penuh. Dengan pengecas pantas DC CCS2 350 kW pula, ia boleh dicas dari 10%-80% dalam 24 minit. Dengan sistem pengecas Integrated Charging Control Unit (ICCU), model ini juga lengkap dengan ciri vehicle-to-load (V2L) berkapasiti hingga 3.6 kW untuk membekalkan kuasa bagi aksesori dan peranti elektrik.
Rekaan luarannya meletakkan model ini berbeza jauh dengan yang lain. Dengan imej kontemporari dan sofistikated, EV9 hadir dengan identiti Digital Tiger Face yang dilengkapi Digital Pattern Lighting Grille. Lampu utama LED automatik bentuk menegak yang menampilkan dua kluster Small Cube Projection serta lampu nyalaan siang LED menjadikan wajah depannya unik dan menonjol. Di belakang, ia dilengkapi dengan lampu Star Map LED.
Selain itu, penampilannya turut dipengaruhi oleh rekaan bampar depan dan belakang yang memberikannya imej kukuh, ada landasan bumbung, rim aloi 21-inci dengan tayar 285/45/R21, sunroof serta pintu belakang larasan kuasa. Suspensinya menggunakan jenis MacPherson di hadapan dan jenis multi-link di belakang. Manakala sistem breknya pula menggunakan cakera berliang untuk kedua-dua bahagian hadapan dan belakang.
Di dalam, Kia EV9 2024 menampilkan papan pemuka panoramik apungan yang seakan bersambung dari roda stereng hingga ke bahagian tengah kabin. Ia dilengkapi dengan dua skrin sentuh 12.3-inci yang disepadukan dengan skrin paparan 5-inci digital, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik dan cermin pandang belakang paparan penuh jenis kamera.
Selain itu, SUV ini juga diberikan sistem audio Meridian® dengan 14-pembesar suara, suis mod pemanduan, pedal penukar gear di belakang stereng, pendingin hawa automatik dua-zon, pengecas telefon pintar tanpa wayar, dua unit soket kuasa serta empat unit USB port.
Kedua-dua varian ini menawarkan konfigurasi barisan pertama dan kedua tempat duduk dengan rekaan ala lounge, menyerlahkan sisi kemewahan dan keselesaannya. Bagi tempat duduk pemandu, ia diberikan ciri larasan kuasa empat-arah dengan fungsi mengurut dan Premium Relaxion. Manakala untuk tempat duduk penumpang hadapan, ia juga hadir dengan larasan kuasa dua-arah dengan fungsi Premium Relaxion — dengan semua kerusi dibalut dengan kulit.
Bagi aspek keselamatan, Kia EV9 2024 dilengkapi dengan ciri standard yang merangkumi 10-beg udara (hadapan pemandu dan penumpang, bahagian lutut pemandu, sisi, tirai dan sisi tengah), ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), EBD, Bantuan Brek (BA), Kepekaan Penumpang Belakang (ROA), cagak ISOFIX untuk barisan kedua dan ketiga serta Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).
Tidak hanya itu. SUV ini turut tampil dengan Ciri Keselamatan Termaju yang terdiri daripada Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Bantuan Pengelak Pelanggaran Parkir (PCA), Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Pelanggaran Trafik Lintasa Belakang (RCCA), Pemantauan Pandangan Titik Buta (BVM, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW), Bantuan Ikut Lorong (LFA2), Kawalan kelajuan Pintar (SCC) dan Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA2).
Model CBU dari Korea Selatan ini ditawarkan dengan lima pilihan warna: Ocean Blue, Snow White Pearl, Pebble Gray, Aurora Black Pearl dan Iceberg Green. Jaminan lima-tahun/150,000 km dan jaminan bateri EV lapan-tahun/160,000 km turut diberikan.
Sempena pelancaran rasmi ini, Kia EV9 2024 akan dipamerkan di Tun Razak Exchange hingga 16 Jun ini.
Kia EV9 GT Line AWD 7-tempat duduk
Kia EV9 GT Line AWD 6-tempat duduk
Foto rasmi Kia EV9 2024
- EV9 Global Reveal
- 2024 EV9
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.