Produksi Saga akan dipindah ke Tanjong Malim pada 2026 – Proton mulakan projek tambah kilang stamping

Produksi Saga akan dipindah ke Tanjong Malim pada 2026 – Proton mulakan projek tambah kilang stamping

Proton mengesahkan bahawa produksi Saga akan dipindahkan dari Shah Alam ke Tanjong Malim pada 2026, dan oleh itu ia akan membina fasiliti stamping baharu di Proton City bagi memudahkan proses tersebut kelak. Majlis pecah tanah untuk barisan yang dikenali sebagai Stamping E dan Stamping F tersebut telahpun berlangsung pada 23 Julai lalu, dan pengumuman rasminya dibuat hari ini.

Menurut Proton pelaburan berjumlah RM253 juta telah diperuntukkan untuk projek ini, yang dijangka juga akan menampung peningkatan jumlah pengeluaran keseluruhan serta model-model baharu yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat. Dua barisan stamping baharu ini adalah penambahan kedua yang dirancang oleh Proton bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran alat gantinya selepas kilang untuk barisan stamping D dirasmikan pada 14 Mac 2023 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Penambahan rangkaian stamping E dan F adalah penting bagi rancangan pengembangan volum pengeluaran masa depan Proton kerana ia memberi kami lebih banyak fleksibiliti untuk meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan pasaran. Sepanjang tahun 2023 sehingga Jun 2024, kilang Tanjong Malim telah menghasilkan sebanyak 6,067,064 komponen, di mana 395,211 daripadanya adalah dari rangkaian D. Jumlah ini akan berkembang dengan pesat apabila pengeluaran untuk Proton Saga dipindahkan ke sini pada tahun 2026,” kata CEO Proton Dr Li Chunrong.

Barisan Stamping E bakal menampilkan proses pengecapan empat peringkat dengan mesin pengecapan 1600 tan dan tiga mesin 800 tan, manakala rangkaian F akan menggunakan proses pengecapan lima peringkat dengan mesin pengecapan 2000 tan, 1200 tan, dan tiga mesin dengan daya pengecap 1000 tan.

Selain mesin pengecapan, robot juga akan digunakan untuk memindahkan alat ganti antara stesen kerja, manakala teknologi IR 4.0 akan dilaksanakan dengan menggunakan data secara langsung dan pembelajaran mesin untuk meningkatkan kualiti alat ganti yang dihasilkan, kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Tambah pengeluar automotif nasional itu lagi, barisan stamping baharu ini akan membantu mengurangkan lagi kebergantungan Proton terhadap alat ganti import untuk model-modelnya, dan ia akan melindungi syarikat daripada kemungkinan gangguan dalam perdagangan global, dan menambahbaik bekalan alat ganti tempatan. Pada masa yang sama, pelaburan ini akan meningkatkan kecekapan yang sedia ada di Tanjong Malim dan akan menyumbang kepada pembangunan berterusan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

Produksi Saga akan dipindah ke Tanjong Malim pada 2026 – Proton mulakan projek tambah kilang stamping

“Ketika Proton bergerak ke arah menyatukan operasi pengeluaran kami di Tanjong Malim, kami terus berusaha untuk meningkatkan penyumberan alat ganti tempatan kami. Selain daripada pertimbangan kos dan keselamatan alat ganti, kami terus mempertahankan matlamat kerajaan untuk meningkatkan penyertaan tempatan dalam industri automotif melalui penciptaan pekerjaan pada pelbagai peringkat,” tambah Dr. Li.

Selepas produksi MPV Proton Exora ditamatkan di Shah Alam pada Oktober tahun lalu, Saga kini merupakan satu-satunya model yang masih dihasilkan di kilang asal Proton yang terletak di Hicom Shah Alam tersebut. Ini bermakna operasi kilang yang mula mengeluarkan unit sulung Proton Saga generasi pertama pada 9 Julai 1985 itu akan dihentikan selepas 41-tahun pada 2026 nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required