Memandangkan kenderaan elektrik (EV) kian diterima baik di pasaran tempatan, membuatkan lebih banyak model EV akan dilancarkan di sini. Ini termasuklah Nammi 01, satu lagi EV yang juga dikenali sebagai Dongfeng Box. Model ini telah dikesan di Puchong oleh pembaca paultan.org, yang hanya mahu dikenali sebagai “EV fan”.
Nammi 01 dibangunkan dengan platform Quantum Architecture No. 3 oleh Dongfeng, dengan padanan motor pacuan tunggal sehingga 163 PS di mana ada beberapa saluran berita China mendakwa motor tersebut hanya menghasilkan kuasa sekitar 95 PS. Motor tersebut dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 42.3 kWh, yang didakwa mampu memberikan jarak gerak hingga 430 km mengikut standard ujian CLTC, dan kelajuan tertinggi sekitar 140 km/j.
Berukuran 4,030 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,660 mm, Nammi 01 ini lebih pendek sebanyak 260 mm berbanding BYD Dolphin, tetapi lebar 40 mm, dan jarak rodanya juga lebih pendek sebanyak 40 mm berbanding model BYD itu. Untuk kelengkapan keselamatan, Nammi 01 dilaporkan akan menampilkan fungsi ADAS termasuk menyokong bantuan pemanduan Tahap 2.
Bulan lalu, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menerusi anak syarikatnya Central Auto Distributors Bhd (CADB), telah menandatangani perjanjian sefahaman dengan NexV Manufacturing untuk memasang Dongfeng Box/Nammi 01.
Menurut Pekema, NexV akan menyediakan kemudahan untuk pemasangan tempatan Nammi 01, manakala CADB akan mengendalikan pemasaran dan pengedaran produk. Dengan pengesahan NexV berhubung pemasangan Nammi 01/Dongfeng Box untuk kegunaan tempatan, maka sahihlah EV kompak ini akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.
GALERI: Dongfeng Box a.k.a. Nammi 01 di Auto China 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.