BMW M4 facelift G82 2024 yang didedahkan kepada dunia awal tahun ini menjadi antara kereta yang dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Malahan, unit yang dibawa itu juga turut dipasang dengan beberapa aksesori daripada katalog M Performance.
Antaranya, untuk bahagian luar adalah termasuk gril, panel aero tambahan tepi bampar hadapan, pelindung cermin sisi, bukaan udara pada fender, spoiler atas penutup but dan diffuser belakang gentian karbon. Memenuhi lagi bahagian belakangnya adalah sistem ekzos M Performance, dengan empat muncung, dibuat daripada titanium dan tujuh kilogram lebih ringan berbanding ekzos asal.
Untuk model facelift ini, M4 G82 menggunakan enjin petrol enam silinder 3.0 liter twin turbo S58 yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 530 PS pada 6,250 rpm dan tork 650 Nm dari 2,750 rpm ke 5,730 rpm (untuk versi Competition). Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan.
Dalam keadaan asal. M4 G82 facelift ini dipasang dengan rim 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, yang masing-masing kemudiannya dibalut dengan tayar 275/35R19 dan 285/30R20.
Masuk ke dalam, model facelift ini membawa rekaan stereng baru dengan terdapat penanda tengah merah serta berbentuk rata di bawah. Kemudiannya pada unit yang dipamerkan di GIIAS ini, ia ditambah lagi dengan kemasan gentian karbon pada stereng, pedal penukar gear, papan pemuka serta sekitar pemilih gear.
Di Indonesia, BMW M4 Competition Coupé G82 facelift ini dijual pada harga bermula 2,457,000,000 rupiah (RM698,666).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.