Selepas dipertontonkan kali pertama di ASEAN sewaktu Bangkok Motor Show Mac lalu, Honda e:N1 kini dibawa pula ke pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Bukan sekadar dibawa untuk tontonan, Honda juga menyatakan keinginan untuk menjual HR-V versi elektrik itu di Indonesia, bermula tahun depan.
Juga dikenali sebagai e:NS1 di China dan e:Ny1 di Eropah, e:N1 ini dipacu oleh motor elektrik hadapan berkuasa 204 PS (150 kW) dan tork 310 Nm. Dengannya, kenderaan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 160 km/j.
Bateri 68.8 kWh yang digunakan pada model ini boleh memberikan jarak gerak sehingga 412 km mengikut kitaran WLTP, manakala pengecasan pula boleh dibuat menggunakan sama ada menggunakan sumber AC sehingga 11 kW (10-80% dalam masa enam jam) atau DC sehingga 78 kW (0-80% dalam masa 45 minit).
Pada bahagian luar, e:N1 dapat dibezakan melalui gril tertutup, yang juga menempatkan soket sambungan kepada pengecas serta bampar hadapan yang mempunyai kemasan berbentuk L di penjuru. Melengkapkan penampilannya adalah lencana khas Honda untuk EV.
Masuk saja ke dalam anda terus boleh melihat skrin sesentuh menegak 15.1 inci, yang digunakan untuk sistem infotainmen, serta boleh disambung kepada telefon menggunakan Apple CarPlay dan Android Auto. Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital 10.25 inci sementara pada konsol tengah tiada lagi tombol gear dan ia diganti dengan pemilih jenis butang.
Ramai di Indonesia mengharapkan e:N1 ini akan dijual seperti kereta biasa, sementara di Thailand ia cuma boleh disewa melalui 12 syarikat sewa kenderaan di sana. Bagi kita di Malaysia pula, Honda Malaysia pernah memberitahu mereka ingin memberi fokus kepada model hibrid terlebih dahulu kerana ia adalah lebih praktikal buat masa ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.