Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

Selepas mendarat di Indonesia Februari lalu, hari ini Suzuki Jimny dalam badan lebih praktikal iaitu Jimny 5-Door dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Ia ditawarkan dalam hanya satu varian, diimport sepenuhnya (CBU) yang dibawa dari kilang Maruti Suzuki di India, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM199,950. Sebagai perbandingan, Jimny 3-pintu biasa dijual pada harga RM174,900.

Model dengan tambahan pintu belakang ini dihasilkan dengan ukuran 3,985 mm panjang, 1,645 mm lebar, 1,720 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,590 mm. Oleh itu berbanding model biasa, versi 5-Door ini adalah 505 mm lebih panjang dengan jarak roda 340 mm lebih jauh.

Jadi bukan pintu sahaja ditambah, malah bahagian penumpang belakang juga menampilkan ruang kaki lebih luas berbanding versi tiga-pintu. Dalam masa yang sama, tempat duduk belakang juga masih direka bagi membolehkan ia dilipat dengan nisbah 50:50, memberikan ruang kargo maksimum 332 liter jika diperlukan (211 liter sekiranya tempat duduk belaag tidak dilipat).

Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

Model 5-Door ini menampilkan sudut approach 36 darjah, sudut breakover 24 darjah dan sudut departure 47 darjah, berbanding model tiga pintu biasa yang mempunyai sudut approach 37 darjah, sudut breakover 28 darjah dan sudut departure 49 darjah. Saiz badan yang lebih panjang ini juga menyebabkan radius pusingan bagi model 5-Door lebih besar iaitu 5.7 meter, berbanding 4.85 meter bagi model biasa.

Pada sebelah luar, gril hadapan model 5-Door ini menerima serlahan kemasan krom yang tidak diberikan pada model tiga-pintu. Selain itu ia diberikan perincian standard lain seperti lampu hadapan projektor LED, lampu kabus hadapan dan juga rim aloi 15-inci yang dibalut dengan tayar 195/80R15.

Manakala dalam kabin, ia dilengkapi dengan perincian standard seperti sistem penghawa dingin automatik, tempat duduk balutan fabrik, serta sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh 9-inci yang lebih besar berbanding versi tiga-pintu yang hanya menerima skrin 6.8-inci.

Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

Skrin berkenaan menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dan ia turut memberikan paparan untuk kamera undur yang dipadankan secara standard.

Untuk unit rangkaian kuasa pula, Jimny 5-Door ini masih lagi menerima enjin yang sama seperti model tiga-pintu, iaitu enjin K15B 1.5 liter empat-silinder petrol-NA berkuasa 105 PS (103 hp atau 77 kW) dan tork maksima 134 Nm.

Model pasaran Malaysia ini hanya menerima pilihan kotak gear automatik empat-kelajuan konvensional, serta datang standard dengan sistem pacuan empat roda AllGrip Pro 4WD, bersama unit transfer case bagi membolehkan pemandu memilih gear L untuk pemanduan pada permukaan off-road lebih mencabar.

Manakala untuk keselamatan, model yang lebih panjang ini menerima penambahan beg udara sisi dan tirai, menjadikan jumlah beg udara adalah enam unit secara keseluruhan, berbanding model tiga-pintu yang hanya diberikan dua beg-udara. Tetapi ia masih belum dibekalkan dengan sebarang kelengkapan keselamatan aktif, dan hanya diberikan sistem keselamatan pasif seperti ESP, bantuan mula mendaki, sistem brek ABS dan BA.

Lima warna ditawarkan untuk Jimny 5-Door pasaran Malaysia ini. Dua daripadanya iaitu Sizzling Red Metallic dan Chiffon Ivory Metallic menerima bumbung hitam dengan warna spesifik Bluish Black Pearl, manakala tiga pilihan lagi adalah warna monotona iaitu Bluish Black Pearl, Granite Grey Metallic dan Jungle Green.

Namun terdapat perbezaan harga bergantung pada warna yang dipilih; warna-warna metalik memerlukan tambahan RM1,500 menjadikan harganya RM201,450, manakala warna dua tona dengan bumbung hitam pula perlu ditambah RM2,500 menjadikan harganya RM202,450.

Untuk setiap pembelian model ini, pengedar rasmi Suzuki di Malaysia iaitu Naza Eastern Motor turut memberikan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km yang mana sampai dahulu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required