Geely Galaxy E5 kembar Proton eMas 7 dilancar di China – bermula RM70k, lawan terus untuk BYD Atto3

Geely Galaxy E5 kembar Proton eMas 7 dilancar di China – bermula RM70k, lawan terus untuk BYD Atto3

Selepas didedahkan pada Mei lalu, SUV EV Geely Galaxy E5 secara rasminya dilancarkan di pasaran China pada Sabtu, 3 Ogos lalu. Apa yang menarik, pelancaran itu dibuat hanya sehari selepas model kembar yang dibangunkan bersama iaitu Proton eMas 7 (ditulis e.MAS 7) didedahkan di Malaysia pada Jumaat lalu.

Pada pasaran berkenaan Galaxy E5 dijual pada harga bermula 112,800 yuan (RM70k) hingga 148,800 yuan (RM92k), lebih murah berbanding harga anggaran 123,000 yuan (RM76k) hingga 157,000 yuan (RM97k) yang diumumkan Geely sebelum ini. Malah menurut laporan CarNewsChina, pelanggan yang membeli model ini sebelum 1 Oktober, mereka turut ditawarkan dengan diskaun 3,000 yuan (RM1.8k) membolehkan ia dijual pada harga lebih murah bermula 109,800 yuan (RM68k).

Geely Galaxy E5 dan Proton eMas7 dihasilkan dengan dimensi 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm. Jadi SUV ini akan bertanding dalam kelas segmen-C dan di China Galaxy E5 merupakan lawan terus kepada BYD Atto 3 yang hadir dalam saiz dan kelengkapan hampir sama.

Geely Galaxy E5 kembar Proton eMas 7 dilancar di China – bermula RM70k, lawan terus untuk BYD Atto3

Ia merupakan model yang diasaskan dari platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), atau untuk Proton ia dikenali sebagai platform Global Modular Architecture (GMA). Platform ini juga sebenarnya adalah evolusi yang diasaskan dari Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely untuk digunakan oleh jenama-jenama dibawah naungannya yang lain.

Semua varian bagi Galaxy E5 pasaran China ini menerima satu motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat. Namun ia ditawarkan dalam dua versi bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri bermula bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 440 km atau kapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 530 km mengikut kitaran ujian CLTC.

Semua spesifikasi unit rangkaian kuasa dan angka prestasi pada Geely Galaxy E5 ini nampaknya sama sepenuhnya dengan Proton eMas7 yang telah didedahkan minggu lalu.

Dari segi kelengkapan dalaman, Galaxy E5 menerima skrin utama yang direka ‘terapung’, paparan instrumen digital bersama paparan head-up. Manakala model Premium menerima perincian lebih baik seperti 16 pembesar suara termasuk yang dipadankan pada perehat kepala, serta menampilkan sistem Flyme Auto yang dikatakan direka bagi memberikan fungsi intuitif seperti telefon pintar yang dikuasakan oleh CPU Dragon Eagle One 7 nm.

Geely Galaxy E5 kembar Proton eMas 7 dilancar di China – bermula RM70k, lawan terus untuk BYD Atto3

Proton telah mengesahkan bahawa eMas 7 turut akan menerima sistem Flyme Auto yang sama, namun perincian lain masih belum diumum malah rupa bahagian kabinnya juga masih belum ditunjuk.

Galaxy E5 ini merupakan model pertama Geely yang dihasilkan terus dengan variasi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan sebelah kanan (RHD), dan pembangunannya turut disertai oleh 230 tenaga kerjas dari Proton, membolehkan ia dikenali sebagai model usahasama kedua-dua jenama tersebut.

Oleh itu unit-unit awalan untuk Proton eMas 7 kelak akan diimport sepenuhnya (CBU) dari China terlebih dahulu, dan dengan harga baharu yang diumumkan oleh Geely ini mungkin boleh membayangkan eMas 7 akan dijual pada harga bermula sekitar RM100k untuk permulaan, ia tahap minimum yang ditetapkan oleh kerajaan bagi EV CBU hingga hujung tahun depan.

Selepas ia dihasilkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD) kelak, Proton eMas 7 mungkin boleh dijual pada harga bermula bawah RM100k.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required