Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

Geely selepas ini bakal menghasilkan pelbagai model elektrik sepenuhnya (EV) menggunakan platform baharu mereka yang digelar Sustainable Experience Architecture (SEA), di mana ia memang direka khas untuk menghasilkan EV dalam pelbagai jenis kenderaan tak kira saiz mahupun segmen. Ia bukan sahaja akan digunakan oleh semua jenama di bawah kumpulan Geely, malah ia juga ditawarkan secara terbuka untuk pengeluar lain yang mahu menghasilkan kenderaan elektrik mereka.

Jadi untuk memperincikan platform baharu berkenaan, Geely telah mengadakan satu sesi temurmah secara atas talian untuk media Malaysia bersama ketua jurutera platform SEA tersebut, Kent Bovellan yang berasal dari Sweden dan sebelum ini berkhidmat dengan Volvo.

Menurut Bovellan, SEA terdiri dari lima versi yang meliputi pelbagai segmen pasaran. Platform asasnya adalah SEA1 untuk kenderaan bersaiz besar meliputi model segmen-D (saiz-sederhana) sehingga segmen-F (mewah) dan juga SEA2 untuk segmen-B hingga segmen-D. Ia juga dihasilkan dalam versi lebih kecil dan murah iaitu SEA Entry (SEA-E) untuk model segmen-A dan kenderaan bajet serta dalam versi SPA Sport (SEA-S), untuk model lebih Sporty.

Bukan itu sahaja, platform ini turut dihasilkan dalam versi SEA Commercial (SEA-C) untuk model-model komersial yang meliputi kenderaan antara 3.5 tan sehingga 5.5 tan, termasuk bas dengan kapasiti sehingga 12 penumpang serta trak pikap. Kenderaan komersial lebih kecil turut boleh dihasilkan menggunakan platform SEA, dan semua model akan berkongsi pelbagai komponen yang sama bagi mengurangkan kos pembangunan.

Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

Buat masa sekarang platform SEA1 sudahpun digunakan pada model pertama jenama EV Premium Geely iaitu Zeekr, dengan model yang digelar Zeekr 001. Model tersebut adalah SUV dengan gaya coupe, juga merupakan model produksi sebenar bagi Lynk & Co Zero. Selepas ini mereka akan tampil dengan lebih banyak model termasuk MPV, model yang diasaskan dari platform SEA2 dan juga SUV smart yang dihasilkan bersama Daimler.

Kesemua platform ini akan membolehkan Geely menghasilkan pelbagai model tidak kira apa saiz sekalipun. Platform SEA2 membolehkan model-model yang sedang dibangunkan sekarang mempunyai julat jarak roda bermula 2,650 mm sehingga 2,900 mm. Model-model yang dibina menerusi platform SEA1 pula adalah lebih besar, Zeekr 001 misalnya menampilkan jarak roda sejauh 3,005 mm.

Namun Bovellan mengesahkan Geely tidak akan menghasilkan model EV kecil (Mini EV) untuk yang popular untuk kegunaan bandar di China buat masa sekarang yang lebih kecil dan murah dari model segmen-A. Platform SEA paling kecil SEA-E hanya boleh menghasilkan kereta paling kecil dengan jarak roda 2,550 mm.

Jurutera berkenaan turut mengesahkan bahawa kesemua model yang dibina menerusi platform SEA ini menampilkan struktur unibody, walaupun pada platform kenderaan komersial SEA-C dengan pek bateri digunakan untuk menguatkan lagi struktur. Jadi, tidak mustahil Geely akan menghasilkan trak pikap elektrik sepenuhnya selepas ini menggunakan platform berkenaan.

Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

Platform ini juga sangat versatil, yang mampu menghasilkan kenderaan sama ada dengan konfigurasi pacuan hadapan, pacuan belakang mahupun pacuan semua roda dengan pemadanan hanya satu motor atau berberapa buah motor elektrik. Ia juga boleh menggunakan sistem EV dengan range extender di mana bateri boleh dicaj menggunakan enjin pembakaran dalaman yang berfungsi seperti “generator pasar malam.”

Untuk sistem range extender tersebut, enjin pembakaran dalaman tidak akan diletakkan seperti model hibrid biasa, sebaliknya ia hanya akan diberikan enjin yang sangat kompak diletakkan di belakang, manakala kereta hanya digerakkan menerusi motor elektrik di hadapan.

Kesemua model akan ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri. Model-model SEA-E hadir dengan pilihan bateri 58 dan 68 kwj dan Zeekr 001 pula ditawarkan dengan pilihan bateri 86 atau 100 kwj. Bovellan mendedahkan dengan penggunaan kuasa 12.5 kWj untuk setiap 100 km, model paling SEA2 dengan bateri paling kecil sekalipun mampu untuk bergerak sejauh 160 km.

Bagi Zeekr 001, ia mempunyai jarak gerak sejauh 700 km. Dan dengan sistem range extender, Bovellan mendakwa ia boleh bergerak sejauh 1,000 km dengan bateri 40 kWj dan bekalan bahan api sebanyak 40 liter.

Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

Platform SEA ini juga mampu menampung pengecaj cepat DC, dengan SEA1 membenarkan elektrik 400 volt untuk mengecaj bateri dari 10% sehingga 80% dalam masa hanya 30 minit. Ia juga boleh ditingkat taraf dengan sistem 800 volt pada masa hadapan dengan masa mengecaj sekitar 20 minit.

Walaupun platform SEA ini diberikan bateri yang diletakkan pada bawah lantai sama seperti pengeluar lain, Bovellan menyatakan bahawa ia masih menghasilkan kereta serendah 1,480 mm dengan cara mengalihkan berberapa sel bateri ke terowong tengah bagi mengasilkan ruang kaki yang lebih rendah, serta menggunakan karpet dan tempat duduk lebih nipis serta menggunakan bumbung kaca tetap berbanding yang boleh gelangsar.

Ini adalah sangat penting untuk platform SEA-S, di mana Bovellan menyamakannya dengan Platform Premium Elektrik (PPE) Volkswagen yang dihasilkan bersama Audi dan Porsche. Bekas jurutera Volvo tersebut juga menyatakan bahawa model-model yang diasaskan dari platform SEA-S nanti bakal berhadapan terus dengan saingannya dari Porsche seperti model Taycan.

Bovellan juga menyatakan hasil kejuruteraan platform SEA ini adalah lebih hebat dari Tesla hampir dalam kesemua aspek dari prestasi, keberkesanan kos, NVH, pengendalian, ruang dalaman, dan kos penyelenggaraan. Menurutnya lagi, platform SEA ini adalah lebih ringan berbanding platform Tesla walaupun menggunakan gandingan aluminium dan logam, berbanding struktur aluminium sepenuhnya yang diguna pada Model S dan X.

Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

Walaupun dari segi prestasi Tesla masih lebih pantas, model-model SEA ini juga sebenarnya tidak ketinggalan jauh. Zeekr 001 misalnya yang hanya dihasilkan menerusi SEA1 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat. Manakala model sport sebenar kelak yang dihasilkan dari platform SEA-S disasarkan untuk mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat.

Satu lagi perkara yang sangat dititik beratkan dalam penghasilan kereta elektrik ialah jangka hayat bateri. Geely menyatakan bahawa bateri pada platform SEA yang dibekalkan oleh CATL dari China ini mampu mencapai mengekalkan tahap kuasanya tanpa sebarang pengurangan prestasi sehingga perbatuan 200,000, serta boleh bergerak sehingga 2 juta km sebelum kapasitinya berkurangan sebanyak 80%. Menurut Bovellan, sistem penyejukkan yang sangat berkesan adalah faktor untuk mengurangkan kerosakan bateri ini.

Berkenaan konsep “open-source” yang membolehkan Geely berkongsi platform SEA ini dengan pengeluar lain, Bovellan menyatakat Geely turut akan berkongsi data lukisan terbantu komputer (CAD) tiga-dimensi serta informasi yang berkaitan kepada syarikat yang berminat.

Platform SEA Geely untuk kereta elektrik diperinci – boleh hasilkan kereta kompak, sport, hingga trak pikap

Projek ini sudahpun menarik pelbagai pihak untuk bekerjasama – selain Daimler menerusi kerjasama dengan smart, Geely juga kini sedang menghasilkan kenderaan elektrik bersama syarikat gergasi dalam bidang teknologi iaitu Baidu.

Geely juga sedang bekerjasama dengan pembuat telefon pintar Foxconn untuk menyediakan produksi dan konsultasi kereta, sistem pemanduan pintar dan juga servis-servis lain untuk pihak yang berminat. Menurut Bovellan, rakan kerjasama mereka sekarang agak kagum dengan platform ini, apabila prototaip-protaip yang berasaskan platform SEA ini diuji bersama-sama model-model dari Tesla.

Dengan tahap modulariti platform SEA ini yang sangat luas termasuk boleh menghasilkan kereta dari kelas segmen-A sehingga segmen-D, tidak mustahil platform ini turut boleh digunakan oleh Proton sekiranya masa yang sesuai sudah tiba untuk mereka masuk ke segmen elektrik sepenuhnya ini kelak bukan?

GALERI: Zeekr 001

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required