Geely Holding telah melancarkan Sustainable Experience Architecture (SEA), iaitu satu struktur kenderaan elektrik yang dapat “menjanjikan perubahan kepada penawaran kenderaan tanpa emisi dan trak dalam pasaran automotif terbesar dunia.”
Geely memberitahu mereka akan menggunakan struktur binaan SEA ini pada semua sembilan jenama automotif yang dimiliki (jumlah ini termasuk Proton), di mana jualan secara keseluruhannya berjumlah lebih dua juta unit pada tahun 2019. Model pertama yang akan menggunakannya adalah Lynk & Co Zero Concept dan produksi akan bermula tahun hadapan.
Geely juga mendakwa struktur ini akan ditawarkan kepada pengeluar kenderaan lain, dan ini adalah yang pertama di dunia. Perbincangan awal dengan pengeluar OEM global lain berkenaan potensi penggunaan SEA sudah dilakukan, tetapi buat masa awal ini, ia cuma akan digunakan bagi jenama di bawah Geely yang mahu merancakkan pengeluaran model EV.
Menurut pereka struktur ini, ia boleh digunakan bagi kenderaan segmen A hinggalah D atau E, dan mempunyai varian untuk kenderaan komersial ringan. Untuk pacuan pula, semua 2WD, RWD atau AWD boleh digunakan padanya. Tambah Geely, SEA dibangunkan dalam masa tiga tahun di pusat penyelidikan dan pembangunan mereka di China, Sweden, UK dan Jerman.
Dalam siaran akhbarnya juga ada menyebut, “Penggunaan SEA akan menarik pelanggan, kedua-dua B2B dan B2C, dengan sistem sambungan, fungsi perkongsian kenderaan, kemampuan e-motor serta kemas kini atas talian yang tidak boleh disaingi, dan ia akan mempunyai fungsi pemanduan autonomous paling canggih dan menawarkan jarak gerak maksimum lebih 700 km, serta kapasiti untuk jarak ini boleh ditingkatkan pada masa hadapan.”