Tesla tak hebat mana, kami lebih baik – ketua EV Geely

Tesla tak hebat mana, kami lebih baik – ketua EV Geely

Platform modular Sustainable Experience Architecture (SEA) dari Geely adalah sangat penting buat mereka dalam rancangan untuk menawarkan lebih banyak model-model yang dijana kuasa elektrik sepenuhnya (EV), yang kini mempunyai permintaan yang sangat tinggi di China.

Platform berkenaan bukan sahaja membolehkan Geely menghasilkan pelbagai model elektrik dalam pelbagai saiz dan juga segmen, malah ia turut ditawarkan kepada pengeluar lain untuk menggunakannya jika mereka mahukan untuk dijadikan asas bagi model elektrik masing-masing.

Namun, walaupun nama Geely itu sememangnya besar di China, mereka masih lagi dibayangi oleh jenama yang sememangnya menumpukan hanya kepada kenderaan elektrik iaitu Tesla. Jenama dari Amerika Syarikat tersebut kini sudah pun bertapak di China dan sudahpun menawarkan pelbagai model.

Walau bagaimanapun, Geely tidak gusar dengan situasi tersebut kerana mereka percaya bahawa model-model akan datang mereka yang diasaskan dari platform SEA akan menawarkan ciri yang lebih baik dari apa yang ditawarkan oleh Tesla.

Ketua jurutera untuk platfrom SEA di Geely Auto Group, Kent Bovelian memberitahu paultan.org dalam satu temuramah berkumpulan baru-baru ini, dia sendiri tidak kagum dengan Tesla dan percaya bahawa platform khas untuk EV dari Geely adalah lebih hebat dari segi mekanikal.

“Kami adalah lebih baik dari Tesla dari segi seni bina mekanikal. Mereka (Tesla) adalah sangat mahir dengan perisian, tapi dari segi seni bina mekanikal, kami lebih baik. Kami mempunyai solusi keberkesanan kos yang lebih banyak dan akan mengalahkan mereka dalam setiap perkara, kecuali prestasi,” kata Bovellan.

Menurutnya lagi, Tesla mungkin hebat dalam pembangunan perisian, tetapi platform EV mereka kalah dalam banyak aspek seperti keluasan ruang dalaman, NVH, kos pemilikan dan juga kos produkasi berbanding platform SEA.

Bovellan mengakui bahawa kemampuan prestasi model-model Tesla agak hebat, namun prestasi model-model dengan platfrom SEA tidaklah jauh ketinggalan. Contohnya untuk Zeekr 001, model pertama diasaskan dari platform SEA, mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai 4 saat serta mempunyai jarak gerak melebihi 700 km untuk satu caj bateri penuh.

“Kami tak kagum dengan Tesla. Saya suka bahawa mereka menuju ke arah yang betul dengan seni bina elektrik, kami juga menuju ke arah yang sama. Mereka adalah yang pertama memperkenalkan sistem asas, tetapi untuk mekanikal, tidak. Oleh itu, kami buat lebih baik,” kata Bovellan.

Dia turut menambah walaupun Tesla menggunakan aluminium yang intensif pada badan model-model mereka, model-model berasaskan platform SEA sebenarnya lebih ringan dengan kombinasi antara aluminium dan logam. Faktor badan yang ringan ini adalah sangat penting untuk kereta elektrik kerana bateri yang digunakan sangat berat.

Kaedah open-source untuk menawarkan platform SEA ini secara terbuka kepada juga akan memudahkan pengeluar lain yang mencari asas bagi membangunkan kereta elektrik mereka untuk bekerjasama dengan Geely dalam memberikan sokongan dan pembekalan.

Buat masa sekarang, tak banyak pengeluar sudi untuk berkongsi teknologi mereka yang telah siap, jadi platform SEA akan memecahkan tradisi berkenaan. Tesla juga sebenarnya mengambil pendekatan yang sama untuk berkongsi pengetahuan mereka dan sudah menawarkan perkongsian paten yang mereka bangunkan sejak 2014.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required