Bulan lalu Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China telah menaikkan maklumat berkenaan EV baharu yang bakal dilancarkan oleh salah satu jenama EV Geely iaitu Geometry yang diberi nama Geometry Xingyuan, iaitu hatchback segmen-B yang bakal berhadapan terus dengan BYD Dolphin.
Apa yang menarik, bentuk sisi Geometry Xingyuan ini dilihat seakan sama dengan siluet model hatchback yang muncul dalam teaser jenama EV Proton iaitu eMas (dieja e.MAS) baru-baru ini. Dan dengan lebih maklumat dibocorkan oleh portal automotif China telah menguatkan lagi bahawa Xingyuan merupakan kembar kepada hatchback EV Proton eMas tersebut yang bakal dilancarkan di sini pada masa hadapan.
Menurut laman PC Auto, Xingyuan dijangka bakal menampilkan motor elektrik “11-dalam-1”, bateri lithium logam fosfat (LFP) Aegis “bilah pendek”, sistem infotainmen Flyme Auto dan juga suspensi jenis bebas pada bahagian belakang. Kesemua perincian ini menyamai SUV EV segmen-C Geely Galaxy E5 yang dibina bersama Proton bagi menghasilkan Proton eMas 7 yang bakal dilancarkan di Malaysia lewat tahun ini.
Dengan kesemua kelengkapan tersebut, Geometry Xingyuan ini nampaknya turut akan menggunakan platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) yang sama seperti Galaxy E5. Platform yang sama dikenali sebagai Global Modular Architecture (GMA) oleh Proton, dengan lima model awalan akan dilancarkan termasuk eMas 7 yang dikenali dengan kod GMA 01. Jadi tidak mustahil Xingyuan adalah jelmaan GMA 02 atau GMA 03 kerana ia diasaskan dari platform yang sama.
Geometry Xingyuan ini ditawarkan dalam dua pilihan motor elektrik tunggal iaitu 79 PS (58 kW) dan 116 PS (85 kW), kedua-duanya hanya memacu roda hadapan. Dalam maklumat yang didedahkan oleh MIIT tempoh hari, model ini bakal ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 30.12 kWj untuk jarak gerak 310 km dan 40.16 kWj untuk jarak gerak 410 km. Namun maklumat pada portal PC Auto pula menyebut Xingyuan boleh bergerak sejauh lebih 500 km untuk satu cas Penh bateri.
Dari segi saiz, Geometry Xingyuan ini menampilkan dimensi panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,570 mm dan jarak roda 2,650 mm. Jadi berbanding BYD Dolphin, hatchback EV Geometry ini adalah 155 mm lebih pendek, 35 mm lebih lebar dan jarak roda pula 50 mm lebih dekat.
Jika SUV segmen-C diberikan angka ‘7’ pada namanya seperti model sedan S70 dan SUV X70, ada kemungkinan hatchback segmen-B ini akan diberi nama sebagai eMas 5 seperti SUV segmen-B Proton X50. Jadi apa pendapat anda sekiranya hatchback ini benar-benar ditawarkan oleh Proton kelak? Boleh jadi pesaing sengit untuk BYD Dolphin disini nanti?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.